Terjun Tiruk Penuh Gaya Di Lata Berembun, Jelebu

Sabtu, 16 Februari 2019.

Kami mendaki Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun di Jelebu, Negeri Sembilan. Ini bukan catatan penuh, hanya cerita, gambar dan video semasa berada di kemuncak pendakian; Lata Berembun.



Kami bertolak turun dari puncak Gunung Berembun pada jam 2.00 petang. Siapa tahu, perjalanan selama 2 jam 45 minit seterusnya menjadi mimpi ngeri untuk seorang lelaki kacak Gombak yang penggayat.

Muka yang manis, habis luruh bertukar menjadi kelat bagai tergigit biji langsat.

Tidak ada senyum.

Tidak ada gurauan mesra.

Tidak ada bual-bual kecil menghidupkan suasana.

Kelu.

Percayalah, kalau ada kalimat popular "tak jauh dah, lima minit je lagi" diucapkan oleh mana-mana ahli kumpulan, nescaya setongkol kayu balak saya rodok ke pusatnya. Saya toreh pula dahinya dengan duri pokok rotan yang tajam berbisa, lalu saya perahkan asam limau pada hirisan-hirisan halus itu.

Biar dia terseksa!

Sakit hati kita, wak.

Perjalanan hampir tiga jam itu hanya menuruni gunung dengan kecerunan hampir 60-80 darjah. Tanpa henti. Kaki saya menggeletar laju terutamanya di bahagian betis kerana menampung berat badan supaya tidak tumbang. Menggigil-gigil. Laju, bagaikan getaran angklung!

Saya pewai.

Kali pertama ini berlaku semenjak aktif dengan aktiviti menggunung sejak tahun 2016.

Pada penunjuk jarak yang ditampal pada pokok, 7500 meter, sudah nampak kelibat anak sungai nun jauh di bawah. Saya semakin rawan. Bila nak sampai? Jalan dan terus jalan, 50 meter pun bagai jarak Ultra Marathon 30 kilometer yang saya sertai pada tahun 2017 dulu.

Dada sudah sesak.

Kalau tak sampai lagi, aku nak baring terus atas trek ni! Lantaklah, aku dah penat. Otak sudah tak waras tersampuk syaiton yang direjam.

Mujur, masih ada sekelumit rasa sabar dan akhirnya pada kedudukan 7700 meter, kami sampai di "syurga".

Lata Berembun.



Saya hampir mahu menangis, tapi sebagai lelaki kacak dari Gombak yang berkarisma, saya menahan diri. Saya lucutkan kasut dan stokin, jari-jari kaki menggeliat meraikan kemenangan. Tanpa berbasa-basi, air jernih dari Gunung Berembun memeluk saya yang keletihan, lalu perlahan-lahan dendam saya pada trek yang kejam diurut jatuh hanyut bersama air.

Segar. Nyaman.

Senyum kembali terukir di bibir.

Berembun memang kejam. Tapi hadiahnya yang tak terbanding, bisa melunturkan marah lalu menimbulkan cinta.

Lelaki kacak dari Gombak, hari ini sudah rindu mahu bersiram di jeram kecil Lata Berembun.

Aduhai!

Memang bencinta.

Video Di Lata Berembun

Ini ada video kami terjun tiruk menyegarkan badan di sana. Aduh! Segar betul.










Reactions

Post a Comment

1 Comments

  1. Kawasan sini ramai tak orang dan sesuai tak untuk berkhemah sehari 2

    ReplyDelete