Satu Hari Di Bandar Hilir Melawat A-Famosa, Stadthuys Dan Menara Taming Sari

Kami ada formula yang kami guna kalau mahu "berjalan-jalan".

Keluar awal pagi.

Itulah formulanya. Senang, kan? Ini bukan rahsia, semua orang tahu. Dan yang "bagusnya", tak semua orang mampu mengamalkan formula ini. Jadi, kami adalah sekelompok kecil yang licik mempergunakan peluang. Gitu!

Semasa ke Bandar Hilir Melaka tempoh hari, seawal jam 8 pagi kami sudah terpacak di Dataran Pahlawan. Parkir pun masih banyak yang kosong, sudah tentu kami memilih untuk meletakkan kereta di kawasan yang strategik. Dari Dataran Pahlawan, kami enam beranak berkeliling bandar Melaka hanya berjalan kaki. Penat? Sudah tentu. Tapi banyak saja tempat untuk melepaskan lelah.

A-Famosa Dan Gereja St Paul

Kami memulakan penjelajahan kami ke Kota A-Famosa, kubu pertahanan yang dibina oleh orang Portugis beratus tahun yang lampau. Selalunya, ruang ini penuh dengan manusia tetapi kali ini, kami direzekikan untuk bergambar sekeluarga di hadapan kota yang runtuh ini tanpa ada gangguan. Kami kemudian mendaki ke atas bukit menuju ke Gereja St Paul, gereja Katolik tertua di Asia Tenggara. Bangunan ini dibina pada tahun 1521 oleh seorang kapten Portugis bernama Duerte Coelho.

A-Famosa ini sudah terlalu "biasa", tidak ada daya penarik untuk saya kunjungi sehinggalah saya sedar, kali terakhir saya ke sini entah berapa puluh tahun yang lepas.

Teringat pula rombongan sekolah penghujung tahun 1980-an dahulu, sempena tamatnya peperiksaan UPSR. Hui! Tuanya.

Di hadapan A-Famosa Gereja St Paul Hafiz dan Ummi Si bongsu Empat Permata Hati Abah Ummi Dataran Pahlawan Melaka

Stadthuys

Kalau A-Famosa tinggalan Portugis, Stadthuys pula adalah tinggalan penjajah Belanda. Semasa zamannya, bangunan berwarna merah ini berfungsi sebagai kediaman Gabenor Belanda dan pusat pentadbiran. Ada sebuah gereja di sini dan kebetulan, kami berada di sana pada pagi Ahad. Kawasan dataran ini penuh dengan pelancong dan pengunjung gereja.

Kami sempat bergambar di bahagian belakang bangunan, konon-konon mahukan suasana "Eropah". Kah kah kah!



Medan Samudera

Dari Stadthuys kami berjalan lagi ke medan selera di seberang Muzium Samudera untuk sarapan pagi! Adoi, masing-masing sudah kelaparan memang sedaplah melahap. Perut penuh, kami teruskan kembara ke Muzium Samudera dan Muzium TLDM. Catatan ke dua muzium ini boleh di baca di sini. Sekiranya mahu meneruskan lawatan Sungai Melaka River Cruise, jetinya ada di belakang Muzium Maritim ini.



Menara Taming Sari

Ini kali kedua kami naik Menara Taming Sari. Kali pertama dulu, waktu malam. Kali ini kami dapat melihat sekitar kota Melaka dari ketinggian 80 meter dalam cuaca yang sangat cerah. Kami ada juga menyewa teropong untuk melihat sekeliling, tapi langit yang sangat bersih dan terang sudah cukup untuk kami menjamu mata.

Er! Ada gayat juga sikit. Ehehehe!

Harga tiket (Warganegara Malaysia)
Dewasa; RM17
Kanak-kanak (2-12 tahun); RM11
Warga Emas (55 tahun ke atas); RM8
Orang Kurang Upaya; RM8

Jangan lupa bawa MyKad!

Untuk teropong, kadar sewanya pula ialah RM12.






Taman Bunga Merdeka

Dari Menara Taming Sari, kami berehat di taman bersebelahan. Saya tak tahu nama taman ini sehinggalah saya cari di Google Map, baru tahu namanya Taman Bunga Merdeka. Di sini agak nyaman dan sejuk. Pokok-pokok besar dan rendang menghiasi sekeliling taman, memang menyegarkan. Ada taman permainan untuk lepaskan anak-anak bermain sementara mak dan bapaknya berromantis berselfie manja-manja. Kah kah kah!



Perjalanan satu hari ini memang memenatkan, tapi bagi saya agak berbaloi. Kami teringin juga mahu menaiki beca yang berwarna-warni (dan meriah dengan lagu), tapi faktor cuaca dan keselesaan menjadi faktor menolak.










Reactions

Post a Comment

0 Comments