Langkah Menghindari Serangan Pacat Sewaktu Hiking

Saya memanglah suka masuk hutan, panjat gunung, mandi sungai segala. Ya tuhan, kalau dapat ikut aktiviti luar macam ini boleh jadi gedik menggeletis. Seronoknya tak tertanggung. Aktiviti ini "murah", sihat dan kalau kena cara, dapatlah kita belajar satu dua perkara dari kejadian alam.

Tapi.

Yalah, ada tapinya.

Antara perkara yang menyeramkan kalau masuk ke hutan ini ialah pacat. Makhluk panjang yang anjal ini, kecil saja. Tapi watak dan ketrampilan beliau dah serupa Lord Voldermort, ahli sihir jahat musuh Harry Potter. Masuk dalam hutan, nama dia pun orang tak berani nak sebut. Mr P lah, Vampire lah. Pendek kata, istilah seperti "You-Know-Who" atau "He Who Must Not Be Named" terpaksa digunakan. Kalau guna nama betul nanti dia dengar, macam kena seru. Nyit nyit nyit dia datang.

Eeeee... atut!

Pacat ni, kalau sebesar hujung penyapu lidi tu saya beranilah. Selamba (ye ke?) saya tarik, tenyeh dengan tangan. Tapi kalau yang besar, panjang dan sejenis berkelakuan aktif menggelinyang terminum ketum sewaktu mahu menyerang saya, memang tak lah. Ampun. Bersilatlah jawabnya.

Sumber gambar; https://australianmuseum.net.au/learn/animals/worms/leeches/

Tips Mengelak Pacat

Saya ada baca beberapa tips yang dikongsikan oleh kaki-kaki hiking dan ada yang saya cuba;

1) Rendam stokin/kasut dengan air tembakau
Beli tembakau sontel yang dijual di kedai-kedai runcit dan rendamkan dalam air. Rendamkan sekali stokin yang bakal digunakan semasa hiking. Keringkan stokin tanpa dibilas dengan air bersih. Siramkan juga air tembakau pada kasut. Masa naik Gunung Berembun hari tu, saya siap sapu tembakau (kering) pada badan dan leher. Eheehhe!

2) Bygon
Antara penyembur serangga yang paling berkesan. Semburkan saja pada kasut, stokin dan seluar.

3) Minyak / Krim Panas
Yang ini memang saya buat sebab takut kaki kejang. Selalunya saya sapukan di kawasan betis.

4) Air garam
Ini katanya lebih kepada waktu mahu menanggalkan gigitan pacat. Siramkan saja air garam pada pacat yang sudah mabuk darah itu, luruhlah ia.

5) Air Dettol
Ini saya tak pasti keberkesanannya. Trip saya yang baru ini ada ahli kumpulan yang bawa air Dettol ini.

6) Pakaian yang bersesuaian
Lagi banyak yang tertutup, lagilah selamat. Tidak kawan, tidak. Jenis kain pun memainkan peranan. Ingat "He Who Must Not Be Named" tu tak pandai menggerudi? Ahli kumpulan kami hari tu pakai stokin bola yang tebal pun, elok je tercogok pacat nyonyot darah di bahagian keting kaki.

Banyak lagi tips yang dikongsi, tapi ini saja yang saya ingat. Berkesan atau tidak, kenalah uji sendiri. Eheh!

Selalunya, saya ambil konsep "jangan belek jangan tilik" dari mula masuk ke hutan sampailah selamat sampai ke garisan penamat. Kalau ada makhluk tu melekat di kaki, saya biarkan saja. Kalau ada. Kalau. Tapi kalau dah tiga empat ekor buat reunion pacak straw hirup darah manis saya secara serentak, haruslah saya menggelupur dan melontarkan kata-kata nista pada mahkluk tuhan tak seksi ini.

Heheeh!







Reactions

Post a Comment

0 Comments