Mencipta Kenangan Manis Di Pesisir Morten, Melaka

Saya mudah benar terpengaruh dengan buku yang saya baca. Terbawa-bawa kalau sudah suka. Terutamanya buku-buku yang berkisar kembara (dan sejarah), mulalah saya kemaruk mencari maklumat lanjut dan berangan-angan mahu menjejak kaki ke lokasi yang dinyatakan dalam buku-buku itu.

Membaca Laskar Pelangi, saya sudah pun terbang ke Pulau Belitong, Indonesia.

Membaca buku Sang Pencerah, saya sudah pun sampai ke Jogjakarta.

Membaca trilogi Selimut Debu, saya angau mahu ke negara-negara yang namanya berakhiran "stan".

Buku tempatan?

Tak banyak, tapi ada satu yang melekat dalam kepala sudah sekian lama.

Kampung Morten, Melaka.

Seperti tajuk buku yang ditulis oleh Raiha Bahaudin; Kunang Pesisir Morten.

Selepas membaca buku beliau (2015), sudah saya sematkan dalam hati mahu ke kampung ini. Dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, akhirnya 23 Mac 2019 mencatat sejarah hasrat yang tertunai. Lebih manis, saya ke sana bersama-sama keluarga besar saya seramai 20 orang!

Traders Villa Homestay

Puas mencari di internet dan bertanyakan rakan-rakan, akhirnya saya memilih Traders Villa kerana pilihan ini sahaja (yang dijumpai) boleh memuatkan keluarga besar kami sekali gus dalam satu rumah.

Ini maklumat berkenaan homestay ini;
  1. Harga satu malam hujung minggu (keseluruhan rumah dengan 5 buah bilik) ialah RM1,150.
  2. Deposit sebanyak RM300 dikenakan ketika check-in, dipulangkan apabila check-out dengan syarat tiada apa-apa kerosakan. Cukai pelancongan juga dicaj sebanyak RM10.
  3. Tidak dibenarkan untuk memasak, tetapi ada disediakan microwave. Peti sejuk juga ada. Untuk air panas, penapis air Coway sedia digunakan.
  4. Tidak ada ruang tamu di dalam rumah (kecuali di dapur), jadi untuk berkumpul beramai-ramai perlu ke beranda.
  5. Ada sebuah bilik (bilik #1) yang terletak di luar, bersebelahan beranda.
  6. Ada juga tiga (3) buah bilik tambahan terletak di bangunan bersebelahan.
  7. Ruang parkir mencukupi.
  8. Kedai makan agak jauh bagi warga emas, tetapi hanya memerlukan 10 minit jalan kaki secara santai ke warung makan orang kampung yang berhampiran. Ada juga "food court". Pilihan makanan hanyalah sekadar mengenyangkan perut.
  9. Sekitar kampung adalah terbuka untuk pengunjung berjalan-jalan. Suasana meriah dengan lampu bergemerlapan (waktu malam). Sesekali bunyi bot pelancong yang menyelusuri Sungai Melaka memeriahkan lagi suasana.
  10. Kombinasi moden (bangunan hotel di seberang sungai) dan kampung yang padat menyajikan pemandangan unik.
  11. Klik untuk ke Laman FB Traders Villa




Villa Sentosa (Malay Living Museum)

Waktu petang memang waktu yang sesuai untuk berjalan kaki di sekitar kampung. Saya sempat membuat satu pusingan besar dan menikmati suasana desa yang damai. Rumah-rumah Melaka yang kecil (dan comel) memang mengujakan.

Tahu-tahu saja saya sudah berdiri di hadapan sebuah rumah besar yang berwarna hijau, Villa Sentosa. Sayang, saya sampai agak lewat dan rumah itu sudah tutup untuk kunjungan pelawat. Tak susah pun mencari rumah ini. Ikut saja laluan tepi sungai, pasti jumpa.

Melihat dari luar saja, saya sudah naik angau. Rumah yang dibina pada tahun 1921 ini memang rumah impian saya. Entah kenapa, asyik benar saya dengan rumah tradisional Melayu. Jadi, kalau berjumpa dengan rumah sebegini memang saya takkan lepaskan peluang untuk menginjakkan kaki.

Itulah.

Kita hanya mampu merancang.

Untuk melepaskan rindu dendam, sempat saya rakamkan beberapa keping gambar buat kenangan. Sekiranya ada yang ingin masuk ke rumah ini, boleh saja datang bermula jam 9.00 pagi sehinggan jam 5.00 petang.

Klik untuk ke Laman FB Villa Sentosa.



Homestay Kampung Morten

Sebenarnya banyak homestay di kampung ini. Agak hairan kenapa carian di internet hanya menemukan saya dengan beberapa dapatan sahaja. Sempat saya dapatkan beberapa nombor telefon homestay yang ada untuk rujukan akan datang.

Yang paling menggoda hati dan mata, Homestay Yunus. Saya sempat berbual dengan kakak empunya homestay ini. Katanya hari itu (bulan Mac 2019), tempahan untuk bulan Disember sudah pun dibuka. Wow!

Insya-allah, ada rezeki saya akan ke Kampung Morten lagi. Mahu merasa Homestay Yunus dan mahu masuk ke Villa Sentosa.

Insya-allah.

Jambatan Morten Sungai Melaka

Rumah Tradisional Yang Comel



Suasana Malam








0 comments:

Post a Comment

My Instagram