Arasta Bazaar, Spice Bazaar & Grand Bazaar. Jom shopping!

Semasa mencari maklumat tentang Istanbul, Spice Bazaar dan Grand Bazaar memang banyak saya jumpa sebagai lokasi membeli-belah yang terkenal. Arasta Bazaar pula terletak di kawasan laluan setiap hari jika mahu keluar berjalan. Dekat benar dengan hotel kami.

Arasta Bazaar

Antara ketiga-tiga bazaar ini, Arasta lah yang paling kecil. Lokasinya betul-betul bersebelahan dengan Masjid Biru (bahagian depan menghala Kaabah). Keadaan di sini agak tenang, dan harga barangan yang dijual agak mesra pelancong.

Mahal.

Heheehe! Tak ada apa-apa barangan yang kami beli di sini selain hanya bertanya-tanya untuk membanding harga. Pekedai-pekedai juga ramah berbual dan melayan kami.

Apa saja barangan yang ada dijual di bazaar lain, ada juga di sini. Itulah, yang membezakan adalah harga.



Spice Bazaar

Dari Hagia Sophia, kami menyusuri kaki lima jalan sejauh 1.2 kilometer menuju ke Spice Bazaar (atau dikenali juga sebagai Mısır Çarşısı, bermaksud Egyptian Bazaar). Terletak dalam daerah Fatih, bazaar berbumbung ini terletak berhampiran stesen tram Eminonu. Kami memilih untuk berjalan kaki kerana mahu melihat-lihat sekitar Istanbul, memerhati tingkah laku manusia Turki.

Spice Bazaar tidak banyak berbeza berbanding Arasta Bazaar dari segi barang jualan, cuma di sini lebih meriah dengan orang ramai dan kedai jualan yang banyak. Harga barang-barang juga tidaklah ketara berbeza. Yang saya perhatikan, bazaar ini bersih dan tersusun. Jadi "seronok" mahu membeli-belah. Sistem pengudaraan juga bagus, tidak ada bau-bau yang kurang menyenangkan "trademark" tempat membeli-belah begini di tempat lain.

Ada tips yang orang kongsikan kalau ke Spice Bazaar.

Beli barangan di luar bangunan. Beli dari kedai-kedai di lorong luar.

Sebab, harganya lebih murah!

Benar. Kami membeli beberapa jenis jajan (Turkish Delight, kekacang, kopi) di sini dengan harga yang sangat banyak berbeza.

Beli punya beli, sampai beg terberanak sudah.

Kah kah kah!



Grand Bazaar

Kali pertama kami ke sini ialah pada hari Ahad. Manalah kami tahu bazaar ini ditutup hari itu. Maka kami berjalan-jalan di bahagian luar saja. Banyak jualan seperti mana kita lihat di Rantau Panjang, Padang Besar atau pun kedai-kedai bundle.

Bazaar ini merupakan antara bazaar berbumbung yang besar dan tua di dunia. Terdapat 61 lorong dan 4,000 kedai jualan di dalam bazaar ini. Pembinaannya bermula sebaik saja kerajaan Ottoman menakluk kota Konstantinopel sekitar tahun 1456, untuk menjana pembangunan ekonomi setempat. Direkodkan pada tahun 2014, Grand Bazaar menduduki tempat pertama sebagai lokasi tarikan pelancongan di dunia dengan catatan 91,250,000 pengunjung.

Wow!

Untuk ke sini agak mudah. Naik saja tram dan turun di stesen Beyazıt-Kapalıçarşı. Kami sudah merasa kedua-dua cara; tram dan jalan kaki.

Agak ralat sebenarnya sebab kami tak berpeluang meronda di dalam bazaar ini memandangkan kami tiba agak lewat (pada hari ketiga) dan kebanyakkan sudah tutup beroperasi. Sempat jugalah kami beli sejadah untuk kenangan.



Mesra

Satu perkara yang saya perasan, kebanyakkan peniaga di sini sangat mesra dengan pelanggan. Walaupun sekadar berborak-borak, bertanya harga atau mendapatkan maklumat lanjut tentang barangan jualan mereka, kita masih dilayan baik. Tidaklah saya kata semua, tapi rata-rata yang kami jumpa memang begitu.

Agaknya, mahu menjaga hubungan dengan pelanggan. Apa lagi nama "Malaysia" sangat mesra di kalangan mereka.

Silap haribulan, kita diajak duduk bersila menghirup teh panas!

Sakan.

Manis betul mulut nak memujuk kita berbelanja.

Dari "nak tengok-tengok je", sampai jadi beranak-pinak beg kesudahannya!

Jaga-jaga.

Cekalkan hati kalau ke sana.





Reactions

Post a Comment

0 Comments