Ahad 19 Mac 2017, buat pertama kali saya menjejak kaki ke sini. Turut serta anak-anak saya yang bertiga dan kakak Ijah dan anaknya. Seperti sebelum ini, kami "menumpang kasih" aktiviti syarikat Pokme kerana mereka lebih berpengalaman dengan aktiviti di hutan. Ini penting, di hutan lain adatnya. Tak boleh sembarangan, sebab itu perlu ada orang yang lebih berpengalaman.
Ini rentetan peristiwa kami pada hari tersebut.
7.30 am | Sarapan Pagi
Berkumpul untuk sarapan pagi di Jalan Melur, berhampiran Taman Saga. Isi perut itu wajib ya kawan, untuk aktiviti lasak sebegini. Biar ada tenaga. Seeloknya biar ada karbohidrat dan protein. Sempat juga kami dapatkan bekalan air dan gula-gula di 7-11 berhampiran.8.40 am | Flat Taman Saga
Berkumpul di tapak permulaan. Tanda kawasannya mudah, ada sebuah blok apartment warna putih yang sangat jelas dilihat dari jauh. Saya kongsikan lokasinya di bawah.Flat Taman Saga |
Menuju ke tapak permulaan Trail B |
Saya dimaklumkan ada beberapa pilihan trek untuk mendaki bukit ini. Hari itu kami memilih Trail B, katanya lebih "mencabar" berbanding Trail A.
Itu saya tak tahu.
9.00 am | Trail B
Selepas melakukan senaman meregangkan badan, kami beransur memulakan perjalanan. Tidak sampai 10 minit, trek sudah mula mendaki. Laluan hanya muat untuk satu orang dalam satu-satu masa dan jika ada pertembungan, salah satu pihak perlu berhenti dahulu. Kebanyakan laluan betul-betul di tepi lereng bukit dan gaung di sebelah agak curam dan dalam. Mujur ada tali yang disediakan hampir sepanjang sisi pendakian.Mendaki tanpa henti untuk 30-40 minit pertama |
Rehat dulu |
Entah kenapa, kali ini saya benar-benar penat. Tidak sampai setengah jam saya sudah terasa letih, peluh mencurah-curah mengalir. Saya semakin jauh ditinggalkan anak-anak dan kali ini, saya di belakang sekali!
Aduh! Apa silapnya?
Penangan Saga tak boleh dibuat main, oi!
9.50 am | Bukit Saga Hilltop
Kami tiba di Bukit Saga Hilltop lebih kurang selepas 50 minit. Saya antara yang paling belakang. Ada 2-3 orang dari kumpulan kami sudah berpatah balik, kerana letih dan tidak mampu meneruskan perjalanan. Ya, Bukit Saga rasanya tak sesuai untuk "cuba-cuba". Perlu ada persediaan fizikal dan mental.Di check-point ini kawasannya agak luas, dan meriah dengan pendaki hujung minggu dan mungkin juga warga Taman Saga dan sekitar. Kemudahan rehat dan senaman disediakan di sini. Kami berehat agak lama menunggu ahli kumpulan yang lain, dan saya berkesempatan mengumpul tenaga.
Sampai awal |
Power! |
Sekitar Hilltop Bukit Saga, Ampang |
My Nieces |
My Precious |
10.30 am | Menuju Ke Air Terjun
Setelah berehat (yang agak lama), kami teruskan perjalanan ke air terjun. Ahli kumpulan semakin berkurangan tetapi anak-anak saya semuanya masih bersemangat. Setakat ini, masing-masing masih kekal bertenaga.Dari Hilltop ke air terjun, lebih banyak laluan menurun yang boleh dikatakan hampir semuanya agak curam. Perlu ada kekuatan kaki (dan lutut) untuk menampung badan. Sesetengah laluan yang berlecak juga memberi cabaran tambahan.
Siap sedia ke air terjun |
Pemandangan menarik sepanjang laluan |
Tunggu giliran untuk turun |
Laluan yang agak curam dan licin |
Waktu ini saya sudah kembali mendapat rentak. Mungkin sudah mendapat rehat yang cukup sebentar tadi. Difikir-fikir, mungkin saya letih kerana sarapan pagi yang belum dihadam penuh ketika saya memulakan trekking. Agaknyalah.
Pemandangan dalam hutan sentiasa memukau. Saya sangat suka dengan pemandangan cahaya matahari yang tersebar ke lantai hutan, menembusi halangan daun-daun yang menjulai tinggi. Warna hijau yang berbelang-belang antara muda dan tua, sangat cantik. Memang mengkhayalkan. Saya tidak pasti nama tumbuhan ini, sejenis pokok palma barangkali. Sepanjang laluan di Bukit Saga akan banyak kelihatan pokok seperti daun nipah ini. Ada yang kata itu pokok rumbia. Wallahualam.
Daun Rumbia |
12.00 pm | Air Terjun Bukit Saga
Kami sampai ke kawasan air terjun yang sudah meriah dengan kumpulan-kumpulan pendaki yang lain. Ada yang sudah pun kuyup berendam, ada yang mencari tapak, ada yang sudah siap memasak maggie dan air teh. Kami ke sudut yang agak jauh dari air terjun dan berehat melepaskan lelah.Anak-anak?
Sekejap saja tahu-tahu sudah ada di bawah air terjun! Ehehe!
Tak apa lah. Memang saya suka anak-anak ikut aktiviti sebegini. Air terjun/sungai selalunya menjadi "upah". Saya mahu selalu ada aktiviti anak-beranak sebegini. Selain saya mahu mencipta memori bersama anak-anak semasa mereka masih kecil, saya juga mahu hubungan mereka adik-beradik tetap utuh. Kalau diikutkan, akan ada satu fasa anak-anak lebih rapat dengan kawan di sekolah berbanding keluarga sendiri. Itu yang saya bimbangkan. Saya mahu mereka kekal bersahabat sesama adik-beradik.
Ambil giliran turun menggunakan tali |
Air Terjun Bukit Saga |
Dan melihat mereka tergedik-gedik menahan kesejukan air terjun Bukit Saga, memang mengundang senyum. Masalahnya, sudah kecut lisut begitu selagi tak disuruh berhenti takkan mahu lah mereka berhenti. Haih! Kalau sudah jumpa air sungai/terjun, beginilah jadinya.
Puas berehat, puas berendam. Masa untuk balik.
1.00 pm | Pulang ke pangkal jalan
Kami mengambil keputusan untuk menggunakan laluan berbeza untuk balik. Katanya, laluan ini lebih mudah berbanding dengan laluan datang tadi.Yup! Memang mudah. Hanya 20 minit yang pertama perlu mendaki agak tinggi, kemudian jalan mula mendatar. Cuma perlu berhati-hati kerana sangat banyak simpang jalan yang ada. Kami betul-betul ikut tanda "dua garis merah" pada pokok-pokok sepanjang laluan. Kadang-kadang ada juga papan tanda yang digantung pada pokok. Berpandukan tanda-tanda ini, perjalanan agak mudah. Kalau tidak, kebarangkalian untuk sesat agak tinggi kerana terlalu banyak simpang denai yang ada.
Dari air terjun, terus mendaki tinggi |
Laluan balik banyak simpang siur. Ikut tanda cat merah di pokok sebagai panduan. |
Berhenti di simpang menunggu ahli kumpulan. Silap laluan, boleh sampai ke Cheras. |
R&R Bukit Saga |
3.00 pm | Mendarat
Alhamdulillah. Walaupun sedikit risau melihatkan awan yang sangat gelap dan berat sekeliling Bukit Saga, kami sampai ke kereta dalam keadaan yang masih kering. Hanya selepas 10 minit memandu, hujan turun dengan sangat lebat berserta kilat. Memang sangat lega dan bersyukur kerana bukan lagi berada di atas bukit.Seram oi!
Gambar Kumpulan |
Bukit Saga secara keseluruhannya tidak begitu senang, dan tidak juga begitu susah. Stamina perlu ada. Persediaan mental dan fizikal juga wajib. Jangan terikut-ikut, teruja tanpa hala.
Yang penting juga, jagalah alam. Sebagaimana alam berkhidmat kepada manusia tanpa jemu.
Jom naik Bukit Saga!
1 Comments
Terima kasih atas perkongsian Tuan.. Panduan mudah untuk beginner macam saya
ReplyDelete