Muzium Tentera Darat, Port Dickson Menyimpan Sejarah Perjuangan Tanah Air

“Jom kita pergi Muzium Tentera kat Port Dickson?”

“Jom.”

Semudah itu saja saya mengajak isteri ke muzium. Walaupun ada saat “haaa?”, beliau sudah tahu suaminya ini memang agak “rare”. Suka betul ke muzium yang sinonim dengan tempat simpanan barang-barang lama lagi purba, seperti suaminya juga. Anak-anak pun, selalunya redha saja ke mana abah mereka nak bawa sekali pun.

Mudah.


Muzium Tentera Darat

Sedikit pengenalan ringkas berkaitan muzium ini;

Pada tahun 1999, Tentera Darat mula serius merealisasikan hasrat memiliki sebuah muzium yang menyimpan sejarah perjuangan Tentera Darat. Bermula dengan penubuhan nukleus tim projek Muzium Tentera Darat yang terdiri daripada 5 pegawai dan 5 anggota lain-lain pangkat tentera darat. 

Pada tahun 2000, jawatankuasa induk Muzium Tentera Darat ditubuhkan. Jawatankuasa ini berganding bahu dengan nukleus tim projek Muzium Tentera Darat menghasilkan rancangan pembangunan muzium tentera darat yang lengkap. 

Sumber; http://army.gov.my/muziumtd/

Muzium Tentera Darat, Port Dickson
Muzium Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan


Lokasi, Waktu Operasi & Tiket Bayaran Muzium Tentera Darat

Muzium ini dekat benar dengan pantai peranginan terkenal Port Dickson, Negeri Sembilan. Apa lagi dengan lebuhraya yang baik, sangat mudah untuk ke sini. Dari Kuala Lumpur menggunakan lebuhraya PLUS, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit. Ada saya sertakan peta di bawah;

Waktu Operasi
Dibuka setiap hari (kecuali Isnin dan Selasa), dari jam 8.00 am sehingga 6.00 petang.

Bayaran
Percuma

Alamat
Kem Sirusa, Persiaran Pahlawan,
Kampung Baru Sirusa,
71050 Port Dickson, Negeri Sembilan.
Google Map; Muzium Tentera Darat

Laman Web
http://army.mod.gov.my/muziumtd/
http://www.armymuseumpd.gov.my

Ruangan parkir agak terhad, jadi pandai-pandailah meletakkan kereta agar tak mengganggu dan membahayakan orang lain.


Dataran

Melangkah masuk ke ruangan muzium, kita akan disambut dengan replika kapal terbang perang yang diletakkan pada posisi mengereng, seperti mahu membuat manuever. Tinggalkan dahulu kapal terbang itu dan terus saja ke dataran utama yang memerlukan pengunjung menggunakan tangga. Saya tidak nampak pula jika ada laluan lain, jadi saya tidak pasti bagaimana golongan OKU terutamanya yang berkerusi roda mahu ke sini.

Di kawasan dataran ada dipamerkan kenderan-kenderaan yang pernah digunakan sewaktu dulu dan keadaannya tidaklah begitu baik. Sedikit maklumat berkaitan ada juga diletakkan untuk panduan dan maklumat pengunjung.

Muzium Tentera Darat, Port Dickson
Muzium Tentera Darat, Port Dickson
Muzium Tentera Darat, Port Dickson
Muzium Tentera Darat, Port Dickson


Kembara Sejarah

Muzium ini merupakan bangunan lama yang diubahsuai, jadi ianya tidaklah seperti mana-mana muzium (satu bangunan) yang biasa dikunjungi. Kami “mengembara” muzium ini bermula dengan bangunan di sebelah kiri pintu masuk.  Bangunan pertama terbahagi kepada dua bahagian; Era Kesultanan Melaka dan Era British di Tanah Melayu. Manakala bangunan kedua pula banyak pameran berkisar sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan.

Hampir setiap ruang, saya dapati sangat banyak patung yang dijadikan pameran untuk menceritakan sejarah. Saya akui, jika saya seorang diri saya mungkin memilih untuk terus keluar. Anak bongsu saya minta dipeluk sepanjang masa dalam muzium ini. Dengan cahaya yang samar-samar, patung-patung yang tegak kaku berdiri di sudut ruang pameran, saya kira agak menyeramkan. Saya khuatir ini akan menolak orang ramai terutamanya kanak-kanak daripada datang berkunjung. Saya sendiri, melihat sekali lalu saja kerana tak mahu ditinggalkan seorang diri.

Seram oi!

Muzium Tentera Darat, Port Dickson
Muzium Tentera Darat, Port Dickson



Terowong Komunis

Setelah tamat di bangunan kedua, ada satu laluan ke bawah tanah untuk “meneroka” alam komunis. Saya tak pasti adakah sejarahnya komunis di negara ini berkampung dalam tanah seperti Vietcong, tapi demi mendapatkan pengalaman kami beranikan diri anak-beranak turun ke bawah.

Kalau namapun terowong bawah tanah, sudah tentu keadaannya tidak cerah seperti di atas tanah. Lampu malap kemerah-merahan menambah suasana “spooky”, apa lagi melalui lubang-lubang atau bilik pembedahan, bilik perbincangan yang dhiasi patung!

Bikin bulu kuduk ku merinding, pak!

Terowong ini agak panjang dan dinding-dindingnya diletakkan bahan pameran yang berkaitan komunis.

Hmmm! Pakaian dalam pun ada, tahu?

 
Muzium Tentera Darat, Port DicksonMuzium Tentera Darat, Port Dickson


Titi Gantung

Keluar saja dari terowong, pengunjung akan terus sampai ke laman di mana kapal terbang dijadikan pameran. Sayang sekali tak dibenarkan masuk kerana keadaannya yang uzur.

Jadi kami terus saja ke tarikan yang berhampiran; titi gantung. Jarak titi gantung ini tidaklah begitu jauh. Mulanya hanya anak-anak saya yang naik, tapi kemudian sibongsu juga mahu ikut sama diteman ummi. Titinya masih berkeadaan baik, dan semakin tinggi bila menghampiri pertengahan. Kalau gayat, memang inilah masanya melihat masing-masing menjerit ketakutan.

 
Muzium Tentera Darat, Port DicksonMuzium Tentera Darat, Port Dickson
Muzium Tentera Darat, Port Dickson
Muzium Tentera Darat, Port Dickson


Keseluruhannya, muzium ini seperti “extended version” daripada buku teks yang kita pelajari sewaktu di sekolah. Bezanya di sini, kita boleh menyaksikannya secara visual. Berbaloi juga untuk dibawa keluarga, untuk dijadikan peringatan dan pembakar semangat. Melihat pejuang-pejuang yang berkorban demi negara, agama dan bangsa adalah satu perkara yang membangkitkan rasa insaf.

Tanpa mereka, ke manalah kita agaknya hari ini.






Reactions

Post a comment

0 Comments