Percutian Pendek 2H1M Di Cameron Highlands, Pahang

Hujung minggu yang lepas (18 dan 19 Julai), kami enam beranak berangkat ke Tanah Tinggi Cameron untuk percutian pendek dua hari satu malam. Semuanya dirancang dalam tempoh satu minggu. Memang kali ini percutian kami semuanya ala-ala minit akhir, bermula ketika ke Temerloh, Pahang tempoh hari untuk makan ikan Patin tempoyak.

Ini itinerari kami di sana'

Hari Pertama (Sabtu, 18 Julai 2020)

Kami mulakan pemanduan seawal jam 7.30 pagi, selepas mengisi perut bersarapan di kedai. Tempoh perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 1/2 jam, memandangkan kami memilih untuk menggunakan jalan Simpang Pulai.

11.45 pagi, kami tiba ke destinasi utama iaitu Big Red Strawberry Farm. Setakat hari ini, kami belum lagi "gagal" singgah ke ladang strawberry di atas bukit untuk menjamu selera. Walhal, tempat lain banyak saja yang menawarkan makanan yang sama. Menu kami tentu saja kentang goreng panas, Waffle, Sundae, dan yang wajib; strawberry coklat. Yummy!

Percutian Pendek 2H1M Di Cameron Highlands, Pahang
Hafiz di Big Red Strawberry Farm


2.30 petang kami bertolak ke tempat penginapan kami hari itu di Hotel De La Ferns. Lokasi hotel ini agak terasing dari dua tempat utama di Cameron Highlands, iaitu terletak di antara Brinchang dan Tanah Rata. Bagi kami yang lebih sukakan tempat yang sunyi, Hotel De La Ferns memang menepati citarasa.

Asalnya kami mahu berjalan kaki saja ke pasar malam, memandangkan jaraknya dari hotel lebih kurang satu kilometer (kira-kira 15-20 minit berjalan kaki). Lagipun petang tu jalan agak sesak dengan kereta. Tetapi cuaca agak tak menentu (hujan), jadi kami putuskan untuk memandu. Pemanduan tak sampai 5 minit, menjadi hampir 20 minit. Hampir jam 5 petang, kami berjaya sampai dan mendapatkan tempat parkir. "Berbaloi" juga apabila kami disambut pengalaman baru merempuh kabus tebal. Walaupun hanya seketika, tapi memang tak dapat dilupakan terutamanya anak-anak.

Selepas Maghrib, kami singgah ke kedai steamboat yang betul-betul bersebelahan dengan hotel. Harga dan makanan agak berpatutan, namun layanan kurang patut. 


Hari Kedua (Ahad, 19 Julai 2020)

Selepas sarapan di hotel (RM35 per kepala, kalau tak termasuk pakej), kami meluangkan masa berjalan kaki kira-kira 300 meter dari hotel untuk bergambar dengan binaan "I LOVE CAMERON HIGHLANDS" yang terletak di selekoh jalan. Ini juga antara faktor menyebabkan kesesakan apabila orang ramai memberhentikan kereta di sini untuk bergambar.

Oleh kerana ini bukanlah kali pertama kami ke Cameron Highlands, tujuan kedatangan kami kali ini memang semata-mata mahu makan dan membeli sedikit buah tangan. Kebanyakan tempat tarikan pelancongan yang lain sudah kami lawati sebelum ini, jadi tak berbaloi untuk bersesak dan membayar yuran masuk. Eheh!

Cuma kali ini, kami mengambil keputusan untuk turun ke bawah menggunakan jalan Tapah.

Ini, memang pengalaman agung!


Melenggang Perut Di Route 59

Saya belum pernah menggunakan jalan Cameron Highlands-Tapah (Route 59) ini, jadi hari itu mencatat pengalaman yang pertama. Seawal jam 9 pagi kami sudah check-out dari hotel untuk pulang ke Gombak. Perjalanan baik saja, berselekoh kiri kanan tetapi keluasan jalan masih memudahkan. Sampailah ke Ringlet.

Melepasi pekan kecil itu, bermulah pengembaraan penuh onak dan duri kami enam beranak ibarat perjalanan Frodo Baggins dan Samwise Gamgee mahu memusnahkan cincin sakti.

Kemain!

1/ Jalan sempit! Berselisih dengan lori (yang banyak) memerlukan saya memberhentikan kereta di sisi jalan.

2/ Banyak tanah runtuh. Walaupun kecil, tetapi tetap merbahaya terutama jalan selekoh. Pemandu yang memandu laju boleh saja terbabas merempuh tanah ini sekiranya tidak berhati-hati.

3/ Jalan yang berselekoh tajam. Memang sepanjang satu jam dari Tanah Rata ke Tapah, saya membuat upacara "lenggang perut" tanpa rela. Kempis tak juga. Haih!

4/ Jalan berlubang di sana-sini. Jadi, hati-hati kalau tak mahu kereta rosak dan tersadai dalam hutan seorang diri. Gulp!

5/ Sediakan plastik untuk penumpang kereta anda. Eheheheh! Daripada 6, dua daripada kami kecundang disebabkan pening dan loya. Ikut perangai siapa lah tu mabuk naik kereta?

6/ Banyak anjing di tengah jalan. Saya rasa anjing-anjing ini sudah "terdidik" untuk mendekati kereta mengharapkan makanan, mungkin. Bukannya melarikan diri, sebaliknya diam berdiri dan ada seekor dua cuba mendekat.

7/ Perhatikan juga bahu jalan jika mahu berhenti. Selain ada tanah runtuh, kadang-kadang ada juga anjing yang warna bulunya hampir sama dengan warna daun-daun kering, tidur di situ!

8/ Banyak juga jualan kraftangan orang asli di sepanjang jalan. Hasil-hasil hutan pun ada seperti rebung, madu dan lain-lain. Durian ada juga, tapi kami tak berhenti beli memandangkan penumpang yang sedia mabuk jalan boleh menjadi lebih mudarat dengan bau durian yang kuat.

9/ Laluan kayuhan basikal. Ramai juga yang mengayuh di sini, dan ada juga satu dua yang degil tak mahu memberi jalan kepada kenderaan besar. Haih! Cari nahas betul.

10/ Ada sungai dan air terjun Lata Iskandar untuk berhenti rehat seketika. 

Cukuplah sekali ini saja kami menggunakan Route 59. 

Insaf!

Percutian Pendek 2H1M Di Cameron Highlands, Pahang
Laluan Route 59 yang mengerikan perut!







Reactions

Post a Comment

1 Comments