Travelog Berburu Buku Jakarta - Pesta Buku Antarabangsa Indonesia

Akhirnya, kami ke destinasi utama pertualangan kali ini.

Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF).

Destinasi berburu buku yang kelima.


IIBF 2016
IIBF 2016

Stadium Gelora Bung Karno

Acara IIBF ini berlangsung di Jakarta Convention Center (JCC), berhampiran dengan Stadium Gelora Bung Karno. Dari gerbang tol, kami berjalan kaki menuju ke lokasi acara, melepasi Stadium Bung Karno yang kelihatan gah besar berdiri.

Seperti stadium di Bukit Jalil.
Stadion ini dinamai untuk menghormati Soekarno, Presiden pertama Indonesia, yang juga merupakan tokoh yang mencetuskan gagasan pembangunan kompleks olahraga ini. Dalam rangka de-Soekarnoisasi, pada masa Orde Baru, nama stadion ini diubah menjadi Stadion Utama Senayan melalui Keppres No. 4/1984. Setelah bergulirnya gelombang reformasi pada 1998, nama Stadion ini dikembalikan kepada namanya semula melalui Surat Keputusan Presiden No. 7/2001

Sumber: Wikipedia


Kami tiba di pintu masuk JCC dengan keadaan yang agak sesak. Saya sangka, ini pasti disebabkan acara pesta buku yang akan berakhir hari itu. Rupanya, ada pelbagai acara yang berlangsung serentak.

Ada Indonesia Comic-Con.

Ada majlis perkahwinan.

Ada majlis graduasi.

Dan berhampiran dengan JCC, ada pula pertandingan burung.

Disertai dengan hujan, untuk keluar dari perkarangan stadium ini yang berjarak hanya beberapa ratus meter, perlu mengambil masa kurang lebih satu jam!

Macet banget!!

Stadium Gelora Bung Karno
Stadium Gelora Bung Karno

Berjalan kaki dari gerbang tol
Berjalan kaki dari gerbang tol


IIBF 2106
Yes! Akhirnya.

Pelancong dari Malaysia
Pelancong dari Malaysia


Indonesia International Book Fair

Secara ringkasnya, ini catatan perjalanan dan permerhatian saya sepanjang masa di sana.
  1. Masuk sahaja ke dalam dewan, kami "disambut" dengan sekumpulan pemain muzik tradisi Indonesia. Ini sangat bagus, untuk memperkenalkan budaya. Tapi saya tidak tahu apa namanya. Mungkin pihak penganjur boleh menyediakan sedikit maklumat di situ untuk orang berkenal-kenalan.
  2. Pavilion Malaysia sangat jelas dan kelihatan dari pintu masuk lagi. Ruang pameran juga luas dan memudahkan pengunjung bergerak. Buku-buku yang dipamerkan juga agak "baru" bagi saya. Menggoda. Mujur masih sedar diri. Saya ke sini mahu memburu buku Indonesia lah!
  3. Penulis-penulis buku Malaysia yang saya kenal (secara maya) ada di sana-sini. Sempat berjumpa (x) bos Dubook, bos Thukul Chetak dan beberapa orang lagi. Ada juga berjumpa dengan penulis tersohor, Puan Sri Diah dan Bapa Viral Kebangsaan Tuan Khairul Hakimin.
  4. Kami teruskan ke dewan yang menempatkan buku-buku terbitan tempatan. Susun aturnya lebih kurang sahaja seperti di PWTC atau MAEPS.
  5. Saiz reruai hampir sahaja sama bagi kesemua penerbit, dan bagi saya agak kecil. Mungkin Al-Mizan sedikit besar, tapi tidaklah sebesar reruai pemain utama industri buku di Pesta Buku Malaysia. Oleh kerana kecil, keadaan menjadi agak sesak antara yang sedang membelek dan yang mahu beratur membayar. Begitu juga di Gramedia.
  6. Buku-buku memang pelbagai. Saya jadi rambang mata, tapi masih berhati-hati mahu berbelanja. Banyak kali buku-buku yang sudah dipegang, diletakkan semula. Bajet oh bajet!
  7. Walaupun sudah berpada-pada, saya hairan juga kerana rupiah masih banyak lagi berbaki (daripada peruntukan awal). Walhal, buku sudah memberat dalam jinjingan. Kemudian baru saya sedar, harga kebanyakkan buku yang saya pilih di bawah paras "bajet". Saya meletakkan purata harga buku sekitar RM25-RM30, kerana harga begitu agak standard di tanah air. Rupanya dengan RM15 saya sudah boleh mendapatkan buku yang bagus dan terkini. 
  8. Kegeraman saya memuncak melihat koleksi trilogi LOTR (versi terjemahan) yang berharga sekitar RM21 sebuah (selepas diskaun). Tapi itulah, tidak dibeli kononnya mahu berjimat. :(
  9. Ketika sibuk "membeli-belah", di pentas utama sedang berlangsung bual bicara tentang industri buku indie. Saya tidak sempat mengikutinya.
  10. Ada reruai yang melelong buku sehingga jatuh harga IDR 10,000 sebuah buku, lebih kurang RM3. Buku novel, bukan buku mewarna.
  11. Isi kandungan buku, saya tidak sempat membelek. Terus terang, saya mengambil buku yang mempunyai kulit depan yang menarik, atau yang mempunyai tajuk yang meyakinkan. Tidak kelihatan pula tajuk-tajuk buku seperti "Pacarku Suster Ngesot", "Supir itu Kekasihku" dan seumpamanya.
  12. Perbandingan kasar, PBAKL lebih besar dan meriah. Lebih ramai peserta.
Kumpulan pemuzik tradisonal
Kumpulan pemuzik tradisonal

Di Pavilion Malaysia
Di Pavilion Malaysia

Forum berkaitan buku indie
Forum berkaitan buku indie

Di reruai Mizan
Di reruai Mizan
Bersama Pak Habibie
Bersama Pak Habibie

Kami beransur pulang selepas mengelilingi dewan dari hujung ke hujung. Saya hanya sempat memilih 12 buah buku dengan jumlah perbelanjaan yang agak rendah dari jangkaan.

Baik.

Menuju ke destinasi berbuku buku yang terakhir.

Jom ke Blok M Square.



<< Sebelum
Travelog Berburu Buku Jakarta - Pasar Jatinegara
Seterusnya >>
Travelog Berburu Buku Jakarta - Blok M Square













Reactions

Post a Comment

0 Comments