Mendaki Gunung GAP Dan Gunung Ulu Semangkuk Di Bukit Fraser, Pahang

"Jangan masuk aktiviti larian jarak jauh dah lepas ni."

"Kalau jogging biasa boleh doktor? Setakat 5 km atau 10 km."

"Boleh, tapi jangan masuk event. Event ada masa, itu akan tambah pressure."

"Kalau aktiviti hiking, trekking boleh?"

Itu perbualan saya dengan doktor selepas saya menjalankan pemeriksaan jantung di IJN. Ada dua sesi, April dan Oktober 2018. Kedua-dua sesi doktor berpesan begitu. Syaratnya, saya tak boleh membuat aktiviti yang lama (endurance) dan dikongkong masa.

Saya akur.

Demi memastikan diri dalam keadaan baik dan sihat. Bersukan untuk menyihatkan badan, bukan sebaliknya. Sudah dua orang sepupu saya yang "terkorban" akibat acara larian ini. Jadi, patut sangatlah saya patuh pada saranan tuan tabib.

"Kalau aktiviti hiking, trekking panjat gunung, boleh tak doktor?"

"Boleh."

Yeay!

Maka, kita ke GAP & GUS lah.

Abah dan Haris

Gunung GAP dan Gunung Ulu Semangkuk

18 Ogos 2018, kami ke Fraser Hill sekali lagi. Sudah dua kali saya ke sini untuk mendaki Pine Hill & Twin Peak, misi hari ini ialah menawan dua puncak gunung yang kukuh berdiri dalam laluan yang sama. Sudah tentu, saya ke sana dengan kumpulan yang sama dengan pendakian saya sebelum ini. Dan saya ditemani anak bujang, Haris dan juga sahabat seuniversiti, Zafiran.

Seperti biasa, kami solat Subuh dan bersarapan di bandar Kuala Kubu Bharu.

8.00 pagi | Berkumpul di The Gap Resthouse

Permulaan trek ke Gunung GAP dan Gunung Ulu Semangkuk (GAPGUS) betul-betul di tepi jalan. Saya memang tidak perasan langsung laluan itu sehinggalah pendakian bermula. Mujur kami sampai agak awal dan tidak ada masalah dengan urusan parkir. Kereta hanya diletakkan di tepi jalan, jadi berhati-hati dengan barang berharga dan pastikan tidak menghalang laluan.

Oh! Kalau mahu "membuang hajat" sebelum memulakan langkah, ada satu hentian R&R kira-kira 350 meter menghala ke Raub (melepasi simpang masuk ke Fraser Hill).

Seperti biasa, kami mulakan dengan sedikit senaman dan bacaan doa.

Di GAP Guest House

8.30 pagi | Memulakan Pendakian

Hip hap hip hap hip hap!

Terus mencanak pacak perginya. Aduh lah, rasa nak meletup jantung. Hidung pun dah serupa Gua Niah punya besar nak bernafas. Hoih!

Kanopi hutan yang agak tebal dan pagi yang masih awal, ditambah pula dengan kabus membuatkan suasana trek sedikit kelam dan sejuk. Jadi, kepenatan mendaki pacak itu sedikit sebanyak "diseimbangkan" dengan laluan trek yang nyaman. Mulanya kabus tak berapa jelas, tapi semakin mendaki tinggi sudah makin terasa sejuk dan kabus pun makin kelihatan.

Apa lagi, bergambarlah sepuasnya!

Sibuk bergambar, boleh lah claim "sebab tu lah kami lambat".

Kan?

Mencanak menuju GAP

9.30 pagi | Puncak Gunung GAP

Setengah jam pertama pendakian, memang memerah keringat. Tapi setengah jam kemudian lebih santai. Semasa kami sampai di sini, sudah ada beberapa kumpulan lain sedang berehat. Kami pun ambil peluang untuk berehat (dan bergambar) sambil menungu semua ahli kumpulan cukup semua.

Di sini kawasannya agak lapang, dan nasib kami juga agak baik pemandangan pagi yang berkabus sangat cantik.

Kami di puncak GAP Group photo di GAP

9.45 pagi | Menuju Puncak GUS

Kami bertolak ke destinasi seterusnya selepas sedikit taklimat disampaikan. Seperti biasa, kumpulan besar kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan laju, kumpulan kurang laju dan kumpulan lenggang-kangkung. Kah kah kah! Agak-agak, saya di kumpulan mana? Hehehehe! Abang Haris sudah laju dengan kumpulan di depan. Memang tak pernah pun sekali dengan abah dia. Biasalah, orang muda.

Kali ini perjalanan agak jauh. Sudah tentu, kami berhenti berehat beberapa kali untuk melepaskan kentut penat. Air minuman dan bekalan makanan (tenaga) jangan sesekali lupa untuk dibawa. Sekejap ke, dekat ke, pastikan bawa bekalan yang cukup. Untuk saya, selalunya saya bawa sedikit lebih untuk sebarang kemungkinan.

Sediakan payung sebelum hujan.

Gegadis dalam perjalanan ke GUS

11.15 am | Ulu Tranum

Kami sampai di satu kawasan yang dinamakan Ulu Tranum. Ada juga catatan blog mengatakan ini juga sebagai satu lagi puncak. Wallahualam. Di sini sekali lagi pemandangan hijau yang luas terbentang menggoda mata. Khayal dibuatnya dengan suasana begini, tambah-tambah lagi ada angin gunung bertiup. Sangat nyaman dan melegakan.

Oleh kerana hari kemerdekaan bakal menjelang, ada trekker yang baik hati memacakkan bendera Malaysia di sini. Jadi bersemangat pula kami beramai-ramai, siap bergambar ala-ala Tugu Negara.

Patriotik lah konon. Eheh!

Puas bergambar, kami teruskan perjalanan.



11.45 am | Puncak GUS

Akhirnya! Kami tiba setelah tiga jam menempuh onak dan duri. Hahaha! Kemain. Tapi 200 meter terakhir sebelum sampai ke puncak GUS, treknya memacak tinggi mungkin 80 darjah. Mujur mudah untuk dipanjat dengan berpaut pada akar-akar kayu pokok yang besar.

Kami terlebih dahulu berehat dan terus saja makan tengah hari. Sesudah perut terisi, barulah kami menjelajah ke sekitar kawasan puncak.

Kawasan pertama yang kami teroka ialah "mosty jungle" yang berupa hutan renek yang banyak diselaputi lumut hijau. Kata kawan-kawan, ini lebih kurang seperti di Gunung Irau. Saya tak pernah ke Irau, tapi saya tahu rupanya berdasarkan gambar di internet.

Di sini kami bergambar sakan, dan penuh narsis.

Biasalah tu.

Abah dan Haris acah-acah model Kawan-kawan di Misty Jungle

Selesai di "misty jungle", kami ke bahagian utama puncak. Waktu kami ke sini, sudah ada beberapa kumpulan pendaki lain yang memenuhi ruang. Kami menyelit di mana yang boleh, dan bergambar dengan penuh semangat.

Ada batu tinggi di sini dan untuk orang yang tidak gayat, boleh lah panjat dan menikmati pemandangan luas dari situ. Sekeliling puncak ini hanyalah gunung-gunung lain yang dipenuhi dengan pokok-pokok hijau yang menyegarkan.

Dan di puncak GUS, ada sudut bergambar yang menjadi "trademark" pendaki. Ada dahan pokok yang menjulur ke gaung, dan untuk yang berani bolehlah duduk bergaya di situ berselfie.

Saya?

Jadi tukang ambil gambar cukuplah.

Kami di puncak Gunung Ulu Semangkuk

1.00 petang | Turun

Kami mula beransur turun selepas puas berehat dan tenaga sudah kembali memuncak. Perjalanan ke puncak GAP mengambil masa satu jam setengah, awal setengah jam berbanding perjalanan naik. Kami sekali lagi singgah di Ulu Tranum untuk menikmati pemandangan mewah yang tidak boleh diperoleh di tempat lain.

Begitulah saya kalau trekking / hiking.

Memang mudah benar jatuh hati dengan pemandangan alam sebegini. Warna hijau yang berbelang-belang, warna lantai yang bercampur antara tanah dan dedaun kering, angin hutan yang menderu sehingga puncak pokok terbuai-buai bagai menari, dan sudah tentu bau hutan yang sangat menyegarkan.

Memang khayal.

Nature

2.30 petang | Tiba di Puncak GAP

Kami berehat seketika dan memastikan kedudukan ahli kumpulan yang lain. Penting untuk setiap perjalanan kita cakna tentang keberadaan rakan-rakan agar tidak ada masalah yang tidak diingini berlaku.

3.30 petang | Selamat sampai ke bawah

Alhamdulillah. Kami selamat sampai ke bawah dan syukur tidak ada sebarang insiden yang membahayakan berlaku sepanjang perjalanan.



Trivia Gunung GAP & GUS

  1. Ketinggian Gunung GAP ialah 3,881 kaki (1,183 meter)
  2. Ketinggian Gunung Ulu Semangkuk ialah 4,573 kaki (1,394 meter)
  3. Total masa pendakian; 7 jam
  4. Jarak (pergi dan balik) ialah 8.11 km.
  5. Tidak ada sumber air (semulajadi) di sepanjang laluan.


Video

Ini video sepanjang pendakian kami di Gunung GAP dan Gunung Ulu Semangkuk.








Reactions

Post a Comment

1 Comments