Mengenang Sejarah Di Muzium Samudera Dan Muzium TLDM, Melaka

Muzium Samudera Melaka

Sudah beberapa kali ke Melaka dan setiap kali itu juga pasti melihat muzium-muzium ini dari jauh. Muzium Samudera lah yang paling jelas antara semuanya kerana bentuk yang unik.

Sebuah kapal besar di atas darat!

Rupanya muzium ini adalah replika kapal Flor de La Mar, kapal yang menjarah hasil pusaka negeri Melaka untuk dibawa pulang ke Portugal. Malangnya kapal itu dilanda ribut di lautan, lalu hanyut tak ditemui lagi.

Hmmmm!

Tak pelik kah?

Kapal penjajah yang "mencuri" hasil kekayaan negara, dijadikan replika untuk kenang-kenangan di Melaka?

Muzium Samudera

Muzium ini dibina sejak tahun 1990 lagi dan dirasmikan pada tahun 1994. Terletak di muara Sungai Melaka, muzium ini terletak sangat hampir dengan tarikan lain yang ada di sekeliling seperti Stadhuys dan Menara Taming Sari.

Untuk memulakan lawatan, pengunjung harus menaiki kapal yang setinggi 34 meter ini menggunakan tangga yang tersedia. Agak tinggi, maka berhati-hati dengan setiap langkah. Pintu masuk ke dalam muzium ada pada dek utama, tetapi sebelum itu boleh naik setingkat lagi untuk melihat bilik nakhoda kapal. Itu di bahagian depan, di bahagian ekor pula ada juga ruangan kecil (dipenuhi peta lama) untuk dilawat.

Muzium berbentuk kapal ini setinggi tiga tingkat. Pastikan berada di laluan yang betul di setiap tingkat kerana bahan pameran disusun mengikut tahun kejadian. Keadaan di dalam ini walaupun terkepung (tiada tingkap) tapi agak selesa. Walaupun ketika kami di sana pengunjung agak ramai, perjalanan lancar sahaja. Maklumat lengkap kedatangan penjajah-penjajah yang menguasai Melaka memenuhi ruang pameran. Kisah lagenda Hang Tuah juga ada diselitkan.

Muzium Samudera dari Menara Taming Sari

Muzium Samudera (Fasa 2)

Keluar dari Flor de La Mar ini, jangan terus keluar. Ada satu lagi muzium di bahagian belakang kapal ini yang lebih banyak mempamerkan maklumat tentang bot-bot tradisional dari serata dunia. Begitu juga dengan sejarah pengangkutan air tempatan.

Muzium Samudera 2

Muzium TLDM

Di seberang jalan Muzium Samudera, ada sebuah lagi muzium yang boleh dikunjungi. Muzium Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM). Tak banyak berbeza dengan corak pameran Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan. Pengunjung boleh melihat contoh-contoh pakaian seragam untuk berbeza jawatan dan pangkat, dan juga peralatan-peralatan tentera yang pelbagai.

Jangan lupa untuk ke bahagian luar muzium kerana ada sebuah lagi kapal yang boleh dinaiki. Kapal tentera laut yang dibawa ke darat! Saya tak pasti sama ada dibenarkan untuk masuk ke dalam perut kapal, kerana kami hanya berlegar di ruang dek saja sepanjang masa di sana.

Muzium TLDM Melaka Muzium TLDM Muzium TLDM

Tiket & Waktu Operasi

Ingat! Tiket yang dibeli di Muzium Samudera jangan dibuang kerana tiket yang sama boleh digunakan untuk masuk ke dalam Muzium TLDM.

Harga tiket;
RM 5.00 - Dewasa (atas 12 tahun)
RM 3.00 - Kanak-kanak (7-12 tahun)

Jadi untuk sibongsu kami, percuma!

Waktu Operasi;
Isnin - Khamis; 9.00 pagi - 5.00 petang
Khamis - Ahad; 9.00 pagi - 6.30 petang

Keterangan lanjut;
Tel; +606 282 6526 (PERZIM), +606 283 0926 (Muzium Samudera)
Email; admin@perzim.gov.my
Tiket Muzium Samudera





Reactions

Post a Comment

0 Comments