Tujuh Oleh-oleh Dari Istanbul Untuk Dibawa Pulang

Antara kembara saya yang tak berapa banyak ke serata alam ini, Istanbul lah yang paling banyak saya berbelanja. Indonesia (Jakarta) banyak juga, tapi berburu buku itu memang sudah diniatkan awal lagi. Ini, membeli-belah macam rombongan ke Rantau Panjang, Kelantan atau ke Padang Besar, Perlis.

Sakan!

Nak kata barangnya murah, tidak juga. Tapi lebih kepada unik dan sememangnya bercirikan khas Turki.

Ini antara buah tangan yang saya beli dan bawa pulang.

1) Baklava Karaköy Güllüoğlu

"Kat mana ya nak cari Baklava yang sedap?"

"Abang pergi ke Karaköy Güllüoğlu, Baklava situ memang terkenal."

Lalu, dengan menaiki tram dari stesen Sultanahmet kami berhenti di stesen Karaköy, stesen yang sama untuk ke Galata Tower. Tambang setiap kali naik tram tanpa mengambil kira destinasi ialah 2.60 Turki Lira seorang.

Dari stesen (yang ringkas tapi agak mengelirukan), kami berjalan kaki sekitar 350 meter berpandukan rakan baik kami sepanjang masa di Istanbul, Encik Google Map.

Pap!

Kami sampai di depan kedai dan keadaan agak sesak dengan pelanggan dari dalam dan luar negara.

Kami terjengok-jengok di dalam rak kaca dan muncullah baklava makanan khas orang Turki yang menggiurkan. Warnanya, bentuknya memang menggoda.

Kami terkial-kial bagaimana mahu membuat pesanan kerana tiada arahan berbahasa Inggeris, mahu bertanya pekerja pun semuanya sibuk belaka dengan tugas masing-masing. Hanya berpandukan pada sticker yang ditampal pada dinding rak kaca, kami pun mula membuat pesanan.

Saya memilih untuk membeli hanya 500 gram, campuran baklava berbagai jenis dengan total harga 60 Turki Lira.

Potongan-potongan makanan tradisi itupun masuk ke dalam kotak kecil, dan air liur saya menitis-nitis membanjiri bumi.

Ya ampun.

Entah berapa kali menelan air liur.

Bagusnya, tanpa disuruh kotak itu akan dibalut dengan plastik kedap udara, dan jika tidak dibuka boleh tahan sehingga tiga bulan.

Insya-allah.

Boleh buat pembuka selera semasa berbuka puasa nanti.

Tapi itu lah, takut tak sampai Gombak nanti baklava ini tersimpan rapi dalam gedung perut saya yang indah itu.

Heh!

Oh ya! Dengan beg khas baklava itu kami berjalan keliling Istanbul dan rata-rata yang menegur kami (orang tempatan) mengatakan baklava Karaköy Güllüoğlu ini memang tidak ada tandingan yang lain.

Wow!



2) Turkish Delight

Ini namanya Turkish Delight, ataupun Lokum. Sejenis manisan tempatan. Boleh dikatakan di mana-mana pun sekitar Istanbul ada dijual makanan istimewa ini.

Rasanya bergantung kepada perisa, kebanyakkannya manis dan masam. Ada Rose, Delima, Limau dan Nutella. Isinya pula kacang cerdik (pistachio). Teksturnya kenyal, seperti dodol. Jadi memang perlu dikunyah untuk menikmati.

Harga bergantung pada lokasi.

Sekitar Arasta Bazaar (sebelah Blue Mosque) dan Grand Bazaar, harga yang diletak ialah Lira 120-135 sekilo. Belum tawar-menawar, sudah diberi harga diskaun serendah Lira 90.

Kami beli di Spice Bazaar (kedai di bahagian luar) dengan harga Lira 65 sekilo. Setelah "disiasat", Lokum ini sama sahaja. Kalau ada penjual yang mengatakan Lokum mereka berasaskan madu (bukan gula seperti kebanyakkannya), harus berhati-hati. Yang menggunakan madu ini harganya lebih tinggi, dan tak akan dipamerkan begitu sahaja. Ada tempat simpanan khas.

Wallahualam.

Bagusnya mereka akan bungkus di dalam kotak yang pelbagai saiz. Ada yang boleh memuatkan setengah kilo, ada yang sekilo. Pilih saja mana yang berkenan di hati. Selepas masuk ke dalam kotak, mereka akan bungkus pula dalam plastik kedap udara.

Sempoi!

Katanya boleh bertahan sehingga enam (6) bulan.

Makan sewaktu berbuka, memang membuka selera.

Sedap.

Siapa pergi Istanbul, saya nak kirim!




3) Rempah, Kekacang & Buah-buahan Kering

Hampir di setiap ceruk daerah Sultanahmet ini ada kedai yang memanggil-manggil kita untuk melangkah masuk.

Lain macam betul saka di sini.

Seperti yang satu ini, dari jauh sudah nampak warna-warni jajan yang dijual dan apabila dihampiri, menitislah air liur melihat keindahan makanan yang terbentang.

Buah-buahan kering, kekacang, kurma yang pelbagai saiz dan warna, teh bunga, rempah masakan; meriah!

Semasa di Spice Bazaar, saya sudah tak dapat menahan gejolak nafsu untuk membeli jajan ini. Antara semua yang ada, saya memilih campuran kekacang dan buah-buahan kering (paling rare, jeruk kulit pamelo). Harganya 50 Lira per kilo, lebih kurang RM38 duit kita.

Wow!

Hasil risikan dan sumber maklumat yang boleh dipercayai, di tanah air jualan kekacang campuran ini mencapai harga RM11 per 100 gram.

Jauh betul beza harga.

Yang bagusnya, peniaga di sini menyediakan perkhidmatan pembungkusan kedap udara, jadi makanan ini akan lebih tahan lama dan boleh dibawa pulang ke Gombak dengan hati yang gembira.

Sedap membeli, sampai terberanak beg.

Lantak.

Bukan selalu boleh sampai Turki, kan?



4) Lampu Dan Pinggan Seramik

Ini gila!

Saya sangat jatuh hati dengan hasil seni seramik yang ini. Khas dari Turki. Entah berapa kali saya keluar masuk kedai kecil yang penuh dengan warna menggoda mata.

Ya Ampun.

Saya sudah terbayang potongan nasi impit atau lemang dihidangkan atas pinggan bercorak bunga tulip waktu Syawal nanti. Boleh lah nanti jadi modal untuk bersembang. Gitu!

Ada pelbagai bentuk dan saiz. Harga pun mengikut jenis. Makin sarat ukirannya, makin mahal. Boleh digunakan untuk hiasan dinding ataupun kegunaan harian.

Kalau tak memikirkan beg yang semakin mengecil (ops!), memang saya angkut bawa balik berpinggan-pinggan.

Haih!

Sembang macamlah ada kilang cetak duit di rumah. Harganya tak tahan, oi.




5) Beg / Permaidani / Sejadah / Saprah

Kalau membeli barang dari luar negara untuk kenangan, saya gemar mencari barang yang ada menggambarkan ciri-ciri tempatan.

Beg antara yang menarik perhatian saya.

Coraknya khas Turki. Harganya bergantung pada saiz dan ketelitian hasil akhir. Ada kilim, ada permaidani (sebagai corak beg). Yang penting kena pandai pujuk dia turun harga, sebab penjual punya pujukan pun memang boleh tergoda! Tiga kedai kami pergi, tiga kedai ajak minum teh o gelas sejemput.

"Buat macam rumah sendiri, bang."

Kemain!

Sejadah yang saya beli semuanya di kawasan Grand Bazaar. Bergantung pada saiz dan corak, harga yang ditawarkan agak berpatutan. Kalau ke Madinah/Mekah, permaidani buatan Turki juga banyak dijual dan harganya lebih mahal. Jadi, berbaloilah kalau beli di Istanbul (kalau transit sebelum ke Saudi).

Saya teringat pesan sahabat saya, kalau mencari buah tangan dan mahu dihadiahkan kepada orang, carilah yang berbaloi untuk mereka dan diri kita sendiri. Sejadah misalnya, pasti (Insya-allah) digunakan setiap hari untuk mendirikan solat. Bukankah di situ kita dapat menumpang sedikit "hasilnya"?

Wallahualam.



6) Jaket Kulit

Mulanya saya hanya memandang dari jauh. Cantik betul jaket-jaket kulit yang bergantungan di dalam kedai spenjang jalan Sultanahmet. Singgah satu kedai, membelek-belek dari satu jaket ke jaket yang lain sudah menimbulkan rasa ingin menyarung dan merasa sendiri.

Sehelai. Dua helai.

Satu kedai. Dua kedai.

Akhirnya, sehelai dibawa pulang ke tanah air.

Harganya? Ya, bisa bikin rambut gugur. Tapi bila lagi akan ke Istanbul dan berpeluang membeli jaket kulit yang cantik lagi menawan?

Siap sediakan saja ongkosnya, pak. Julat harga dari RM500 ke atas.

Penting!

Dapatkan kelulusan daripada orang rumah dahulu. Kalau tak, jenuh nak menjawab.

Heh!



7) Fridge Magnet / Keychain / Penanda Buku

Ini cenderamata biasa dibeli. Harga fridge magnet masih masuk akal. 10 TL boleh dapat 3-4 keping pelbagai corak dan warna. Harga yang sama juga untuk key chain.

Penanda buku juga menari untuk dibuat kenangan. Macam yang saya beli, harga sehelai hanya 1 TL. Berbaloilah untuk di selit ke dalam buku.

Err!

Baca buku ke?



Membeli-belah Di Istanbul

Kalau ke Vietnam, Indonesia, Arab Saudi, memang nama "Malaysia" berkumandang di kawasan membeli-belah. Memang suka benar orang kita membeli, ya? Tapi di Turki, katanya dua tahun kebelakangan (semenjak 2017) nama Malaysia semakin menduduki carta teratas sebagai pengunjung yang rajin membeli. Penjual di sana pun sudah "petah" menyapa dengan beberapa ayat mudah bahasa Melayu. Lagi-lagi, peniaga Turki rajin melayan bersembang dan perlahan-lahan kita yang asalnya mahu "tengok-tengok je", terbeli juga lima enam barang.

Kah kah kah!

Real story, kawan.

Ada sesetengah kedai pula akan menjamu kita dengan teh panas gelas kecil. Orang Melayu, memang lemah dengan "tektik" begini. Malu-malu alah, sudahnya duduk juga. Rasa terhutang budi, rasa bersalah. Tu yang sudahnya balik jadi beranak beg tu.

Sediakan sajalah duitnya, kawan!



______
Sharulnizam Mohamed Yusof
Nak shopping pakai duit daun sireh


Nota; Itinerari penuh percutian 16 Hari 15 Malam ke Turki-Saudi Arabia di sini.






Reactions

Post a Comment

0 Comments