Jadi tak hairanlah Kuching Waterfront sendiri mempunyai beberapa tarikan yang tersendiri.
Apa yang boleh dibuat di sini?
1) Sarawak Traditional Boat Cruise
Saya sebenarnya tak menjangka akan naik bot yang kecil, di mana paras air sungai dan dinding bot hampir sama tinggi! Allahurobbi, memang mengucap sepanjang atas bot. Walaupun faktor keselamatan tersedia (life jacket), saya yang tak mesra kawasan air dalam memang kurang selesa.Bermula dari dataran Waterfront, bot akan membuat satu bulatan besar sepanjang Sungai Sarawak. Jadi penumpang boleh melihat aktiviti harian dan suasana sepanjang sungai yang lebar dan dalam.
Saya lupa dengan kadar tambang yang dikenakan, mungkin sekitar RM20 per kepala.
Untuk bot yang lebih besar, tambangnya RM60 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak.
Menaiki bot tambang merentasi Sungai Sarawak
2) Melintas Jambatan Darul Hanah Ke Bangunan DUN Sarawak
Oleh kerana gayat, saya memilih untuk tidak naik ke atas jambatan yang baru siap dibina pada tahun 2018 ini. Dengar cerita orang tempatan, banyak juga yang membantah pembinaan jambatan ini atas sebab-sebab tertentu. Antaranya, mengganggu perusahaan perahu penambang dan juga mencacatkan pemandangan Sungai Sarawak.Wallahualam.
Katanya, pemandangan waktu matahari terbenam sangat romantis di sini.
Dan Bangunan DUN Sarawak ini sangat unik. Saya kira, pemandangan dari Waterfront lebih menarik dengan bentangan Sungai Sarawak di hadapan, serta banjaran gunung kejauhan di belakang. Sewaktu cuaca cerah,
Jambatan Darul Hana
3) Naik Perahu Penambang Membeli Kek Lapis Sarawak
Dengan kadar bayaran RM1 sehala, kita boleh menyeberangi Sungai Sarawak menuju ke perkampungan Boyan di seberang. Banyak perahu yang dihias cantik untuk menarik perhatian pelancong, mujur tak keterlaluan seperti beca "Hello Kitty" atau "Minion" berdangdut di Melaka. Mungkin, tak sampai pun 5 minit di dalam perahu tetapi lebih berbaloi daripada memandu yang memakan masa hampir 20 minit.Tiba di seberang (Kampung Boyan), bolehlah membeli buah tangan Sarawak yang terkenal yakni Kek Lapis. Ada beberapa buah kedai yang sering didatangi pengunjung bandar Kuching di sini. Pilih saja, dan sediakan saja wang yang mencukupi.
Harga sepotong kek ialah RM10. Beli 10, dapat satu percuma. Pekedai juga akan membungkuskan kek dalam kotak khas untuk mereka yang mahu membawa pulang jauh ke Semenanjung.
Oh! Ada juga jualan Ikan Terubuk Masin. Kalau malas mahu ke Pasar Satok, bolehlah beli di sini. Harganya mengikut saiz.
Antara kedai kek lapis yang terkenal
4) Bergambar Dengan Cat Statue
Tak lengkap rasanya kalau tak singgah ke roundabout yang mempunyai ukiran patung kucing ini. Kalau mahu berjalan kaki, mudah saja. Tak jauh pun dari Hotel Grand Margherita.5) Makan Malam Di TopSpot
Lokasi makan yang paling banyak disebut orang, TopSpot.TopSpot ini berkonsepkan food court, terletak di tingkat paling atas bangunan UTC Kuching. Menu utamanya, sudah tentu makanan laut. Dan yang paling agung, sayur Midin. Setiap kali ke sana, tak pernah gagal kami membuat pesanan sayur Midin masak belacan. Sedap betul kalau dimakan dengan nasi panas. Makan begitu saja pun, sekelip mata habis sepinggan.
Ada macam-macam menu lagi yang boleh dicuba, kalau kena selera.
Di tengah-tengah food court ini, ada gerai menjual air tebu. Bezanya, air tebu ini dicampur dengan potongan limau. Rasa manis tebu bergaul dengan masam limau, menimbulkan sensasi saat air yang sejuk itu dihirup. Cubalah!
Sebenarnya, banyak lagi tempat makan yang kawan-kawan saya cadangkan kalau datang ke Kuching. Tetapi memandangkan kami sekeluarga bukanlah jenis "food hunter", maka kami tak cerewet memilih.
6) Menyaksikan Persembahan Kuching Waterfront Musical Fountain
Persembahan ini ada tiga sesi; 8.30 malam, 9.30 malam dan 10.30 malam. Setiap persembahan berlangsung selama 15 minit. Sewaktu kami ke sana, hari gerimis namun tak menghalang pengunjung berkumpul di tepi Sungai Sarawak untuk menyaksikan persembahan air, muzik dan cahaya berlatarbelakangkan bangunan DUN Sarawak.Pemandangannya memang hebat.
Pengunjung dapat menonton sejarah dan latar belakang negeri Sarawak yang multi-budaya. Sewaktu muzik lagu Puteri Santubong berkumandang, entah dari mana terselinap rasa terharu melihat keindahan dan kekayaan bumi Sarawak ini. Untung sekali orang Sarawak.
Oh ya!
Persembahan ini hanya ada pada malam hujung minggu. Jumaat, Sabtu dan Ahad.
7) Menikmati Pemandangan Sunset Dan Sungai Sarawak
Saya bukanlah photographer by profession, tapi saya yakin orang yang suka mengambil gambar pasti tak mensia-siakan peluang untuk merakamkan pemandangan matahari terbenam di balik Gunung Santubong. Tiga petang saya di sana, hanya sekali saja berpeluang menyaksikan pemandangan alam yang sangat memukau sewaktu senja mengganti langit cerah.Subhanallah.
Dari tingkat 7 Riverbank Suite saya melihat matahari perlahan-lahan menghilang ke barat, meninggalkan serakan warna jingga yang melatari langit Kuching. Sungai Sarawak masih sibuk dengan perahu penambang, bot kecil juga feri. Sayup-sayup, alunan suara qari mengaji menunggu waktu Maghrib yang bakal menjelma.
Khayal!
Saya memang mengimpikan suasana sebegini setiap hari.
Entah bilalah berpeluang ke Kuching lagi.
0 Comments