Heru

Di lapangan terbang Adisutjipto, Jogjakarta
Memang kuat drama!

Di atas tempat duduk 25C pesawat AK346 menuju Jogjakarta, saya termangu sepi terkenangkan keluarga. Tapi percayalah, boi. Ini bukan kali yang pertama. Begitulah saya setiap kali berjauhan meninggalkan anak dan isteri. Akan ada saat "homesick" sebelum mood kembara saya benar-benar menguasai suasana.

Rindunya dengan Hafiz.

Lamunan saya segera terhenti apabila anak kapal mula mengedarkan borang kastam Indonesia yang perlu diisi. Segera saya keluarkan pen dari dalam beg yang sudah saya sediakan dari awal dan mula mengisi maklumat yang dikehendaki.

"Ada berapa pennya, bang?"

Saya disapa penumpang kerusi 25B. Mulanya saya sangka dia dan penumpang kerusi 25A adalah rakan, tapi sepanjang 30 minit pertama dalam penerbangan dia hanya senyap melayan diri. Dia seorang diri rupanya.

Apabila orang sudah mahu memulakan bicara, saya pun cubalah beramah mesra.

Oh!

Penumpang 25B berjantinakan lelaki.

Namanya seperti yang sempat saya jeling pada borang kastam, Heru. Saya sangka dia warga Malaysia, tapi bila terlihat passportnya berwarna hijau, saya tahu dia dari Indonesia. Asal Jogjakarta. Berkerja di Bintulu, Sarawak. Sudah hampir tiga tahun berkerja di situ di sebuah kilang kayu.

Kata Heru, setahun hanya dua kali sahaja dia pulang ke kampung, bertemu permata hati. Iyalah, perbelanjaannya bukan sedikit dan cuti juga perlu disusun sebaiknya. Penerbangan pun perlu bertukar beberapa kali. Dari Bintulu ke Kuching, dari Kuching ke Kuala Lumpur kemudian barulah ke Jogjakarta. Kasihan, adat resam orang berkerja dan merantau. Saya mendengar saja pun sudah terasa penat.

Heru sudah berkahwin dan punya anak dua. Saya tanya, tak pernah bawa anak isteri ke Bintulu? Kata dia pernah, tapi hanya seketika kerana anak sulungnya sudah mula bersekolah di Jogjakarta. Dia mahu anaknya mendapat pendidikan di kota kelahirannya sendiri.

Mata Heru bercahaya saat bercerita hal anak-anak. Rindu. Saya pasti dia rindu. Setahun hanya dua kali berpeluang berjumpa kesayangan, pasti rindu penuh mengisi empangan rasa. Senyumnya tak lekang apabila menyebut anak bongsunya bakal genap berusia dua tahun tak lama lagi.

Cinta Seorang Ayah

Haih!

Heru dan saya serupa. Kami bapa. Berjauhan dengan anak, taklah segagah mana. Lemah juga, kerana sayang dan cinta. Cuma Heru lebih kuat dan tabah. Jarak dan masa sangat "kejam" dalam hubungan mereka sekeluarga. Tapi demi kelangsungan hidup, semuanya diredah dengan pasrah.

Saya? Berpisah hanya kerana bercuti. Tapi sakit rindunya tak terperi.

Untunglah jarak pejabat dan rumah hanya 16 kilometer. Itupun sudah merungut-rungut. Kalau nasib sudah jadi seperti Heru, baru tahu erti bersyukur agaknya.

Ah! Kau memang kuat, Heru. Isterimu gagah. Anak-anakmu kental. Semoga kau berbahagia dan segala urusanmu sekeluarga dipermudahkan Allah. Terima kasih kerana mengingatkan.


_____
Bapa Cembeng

#travelyuk
#ceritajogjasharul
#tulistulissharul





Reactions

Post a Comment

0 Comments