Pilih punya pilih, akhirnya kami memilih Sultan's Inn.
Bukan main lagi namanya, boi.


Sultan's Inn Hotel
Kenapa?Sebab harganya murah, sekitar RM 120 satu malam untuk Standard Room berserta sarapan. Lokasinya juga tidak jauh dari tarikan utama Istanbul seperti Topkapi Palace, Blue Mosque dan Hagia Sophia. Kawasan sekitar juga mesra pelancong; ada kedai makan, kedai cenderamata dan juga kedai runcit.
Sebenarnya, banyak lagi hotel yang menarik dari segi harga dan lokasi. Tetapi memandangkan kami membuat carian pada saat-saat akhir (sekitar dua mingu sebelum ke sana), pilihan yang ada agak terhad.
Terima sajalah.
Hotel ini setinggi lima tingkat, dan untuk empat malam kami menginap di bilik di tingkat dua. Tidak ada lift, jadi perlu kuat untuk naik turun tangga. Keperluan asas seperti tuala, cerek, peti sejuk ada disediakan. Sarapan pagi disediakan di tingkat lima, dan boleh makan di atas bumbung sambil menikmati pemandangan sekitar Sultanahmet.
Oh! Bilik agak kecil. Belum kentut satu bilik dah berbau. Kah kah kah!

Sarapan Pagi Yang Plain
Kami memilih hotel ini kerana menyediakan sarapan. Malang sekali, tekak Melayu totok saya tak dapat menghadam sajian yang serupa dihidangkan setiap hari. Gaya sarapannya gaya Turki. Roti, keju, mentega, zaitun dan keratan tomato.
Hello, kami Melayu yang tekaknya seawal pagi sudah menjamah nasi, roti canai, lontong dan segala bentuk makan yang kaya dengan rasa.
Tawar sebegitu, saya tak lalu.
Sudahnya makan Maggie untuk mengenyangkan perut.
Kah kah kah!
Kami hanya bersarapan pada pagi pertama. Selepas itu, cari makanan sendiri.
Shopping & Selfie
Laluan di sekitar hotel yang mesra pelancong, menjadikan jalan yang agak mendaki itu sedikit santai. Memanglah, lepas 10 meter berhenti kedai Turkish Delight. 10 meter lagi, kedai jaket kulit. 30 meter lagi, kedai menjual pelbagai jenis seramik.Jalan tak letih, yang penat dompetlah!
Jaga-jagalah, kawan.
Saya bukan jenis rajin berbelanja kalau mengembara, memikirkan beban untuk dibawa balik. Tetapi di Turki, entah disampuk belacan mana, saya begitu dermawan. Sampai beg pun beranak-pinak.
Bangunan-bangunan pun banyak dihias cantik. Jadi, sangat mesra "selfie". Ada rezeki, boleh jumpa pokok bunga tulip yang merimbun di tepi-tepi jalan.
Kalau ada kaki bergambar, jenuh juga ni.




Sultan's Inn dan kawasan sekitarnya saya fikir berbaloi untuk dijadikan pilihan untuk penginapan. Tidak mewah, tetapi cukup baik untuk tidur dan membersihkan diri.
0 Comments