Subuh Tanpa Qunut Di Masjid Biru, Istanbul



Solat Subuh di Sultanahmet Camii atau dikenali juga sebagai Masjid Biru memberikan satu pengalaman baru kepada saya. Kami beruntung kerana jarak masjid dan tempat menginap hanya memerlukan sekitar lima hingga 10 minit berjalan kaki. Jadi, pagi Ahad itu berdasarkan waktu solat yang kami ada, seawal jam 4.10 pagi kami berdua berjalan kaki menuju ke masjid. Subuh akan bermula pada jam 4.22 pagi.

Sekitar Sultanahmet sunyi dan sejuk. Menyesal juga saya hanya menyarungkan selipar, konon seperti berada di Kampung Beringin Rendang.

Kami melintasi kawasan kedai dan hotel yang pintunya masih bertutup rapat. Tidak ada bangunan tinggi di sini, jadi suasana seakan terasa luas. Lampu jalan dan hotel menyinari laluan memudahkan perjalanan, namun kelibat manusia Istanbul seorang pun tak kelihatan.

Elok kami berdua berjalan menyusuri kaki lima yang mendaki, tiba-tiba ada seekor anak kuda terpacul keluar entah dari mana di sebelah kiri.

Anak kuda?

Bukan, wak.

Anjing!

Besarnya seperti seekor anak kuda. Dan pagi itu ada dua ekor anjing memerhatikan kami, dan perlahan-lahan mengikut dari belakang.

Ya ampun.

Kena lari ke pagi ni? Nak lari ke mana atas bukit ni? Larat ke nak lari?

Saya menjeling mata ke arah anak kuda itu, dia masih kukuh memerhati. Ekornya tidak menegak ke atas, "menandakan" mahkluk itu bukan dalam mood yang membahayakan. Entah fahaman mana saya anuti, janganlah tanya. Mungkin daripada rancangan Dog Whisperer yang selalu saya tonton.

Kami teruskan perjalanan, acah-acah gagah perkasa dan tak menghiraukan anak kuda yang berdua itu. Dan selang beberapa langkah, tiba-tiba ternampak seorang lelaki bergegas ke arah kami.

"Jang, kau tau tak kek mano Taksim Square?"

Selamba saja dia bercakap bahasa Turki dengan kami yang Caucassian ini. Manalah kami faham, tapi dapatlah menangkap perkataan Taksim Square yang disebut. Kami tak dapat membantu, lalu lelaki itu beredar ke bas yang berhampiran. Oh, pemandu pelancong barangkali.

Kami kembali berdua.

Saya toleh ke belakang.

Anak kuda yang berdua itu juga sudah tidak ada.

Lalu, terbitlah air mata kegembiraan kerana hidup tidak lagi dalam ketakutan.

DI MASJID BIRU

Kami tiba di pintu masjid yang pertama. Tutup.

Lalu kami bergerak ke arah pintu utama. Tutup.

Aik?

Tidak ada solat Subuh di masjid kah? Jam sudah menunjukkan waktu 4.30 pagi. Sudah lapan minit waktu Subuh berlalu.

Pelik.

Kami berlegar di bahagian dataran masjid sehinggalah 10 minit kemudian kami ternampak ada orang yang membuka pintu pagar.

Alhamdulillah.

Kami Ruang solat Bumbung Pintu belakang dan ruang solat

Kami akhirnya menjejak kaki ke ruangan masjid yang selama ini hanya dilihat di kaca televisyen. Namun masih tidak nampak "birunya" kerana hari masih gelap dan keliling masjid hanya disinari neon kuning tepi jalan. Kami terus saja masuk ke ruangan solat, dan kalimah Alhamdulillah tidak lepas dari bibir.

Besar. Berseni dan entah kenapa saya bagaikan berada dalam satu zaman yang sangat gemilang.

Lalu kami pun terus mendirikan solat-solat sunat, sambil sesekali mata melilau melihat keliling masjid.

Jam 5.00 pagi, Tok Bilal pun mendendangkan azan.

Kemudian, disambung pula dengan bacaan suci ayat Al-Quran, dan mungkin juga sedikit tazkirah dalam bahasa Turki yang sekalimat pun tidak saya faham.

Saya masih terpinga-pinga, bila sebenarnya waktu Subuh di sini?

5.15 pagi, masih tidak ada tanda-tanda solat akan didirikan, tetapi jemaah sudah semakin ramai. Rata-rata yang datang muda-muda belaka. Majoriti berseluar dan memakai baju sejuk berwarna hitam, tidak ada yang berjubah ataupun berpakaian tradisional Turki (yang saya tak tahu bagaimana).

Ada juga jemaah yang kelihatan seperti dari negara tetangga Malaysia, berdasarkan pakaian mereka.

Jam 5.30 pagi, akhirnya Tok Imam muncul dari belakang. Dengan "songkok" khas orang Turki dan jubah berwarna putih, beliau meminta jemaah mengisikan barisan paling hadapan. Beberapa kali beliau mengingatkan, dan saya yang asalnya di baris kedua belakang Imam, turut dihambat ke saf hadapan paling kiri masjid. Diapit oleh pemuda Turki yang tinggi-tinggi, saya terus saja mengangkat takbir menunaikan solat Subuh yang pertama di Istanbul.

Bacaannya sama sahaja.

Berlagu dan sebutannya sama seperti lidah imam orang Melayu.

Tidak ada Bismillah di permulaan Fatihah dan surah lazim.

Tidak ada Qunut.

Wirid selepas solat, senyap sunyi hanya terdengar suara imam. Tiap kali imam menyebut "Al Fatihah", jemaah tempatan akan menadah tangan berdoa dan membaca surah itu sendirian.

Tidak ada salam sesama jemaah selepas tamat solat.

Ini, memang pengalaman baru.

Selagi tidak ada perbezaan yang ketara dan menyimpang, kita raikan sahaja.

Difahamkan, 74% penganut agama Islam di Turki bermazhab Hanafi.

Mazhab apa sekali pun, kalau tak mendirikan solat tanpa alasan, hanya menunggu untuk diazab sahajalah.

Jangan tinggal solat, kawan.

Santai Di Dataran

Selesai solat dan bergambar di luar masjid, kami ke dataran utama yang memisahkan antara Masjid Biru dan Muzium Hagia Sophia. Tidaklah jauh antara satu sama lain rupanya. Oleh kerana hari masih pagi, tidak ramai orang di sekitar berbanding waktu-waktu lain. Puas juga kami bergambar.



_______
Sharulnizam Mohamed Yusof
Sultanahmet, Istanbul
29 April 2019, 6.35 am





Reactions

Post a Comment

0 Comments