14 Jam Terbang Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich

Seumur hidup, ini penerbangan yang paling lama pernah saya tempuhi. 14 jam terbang dari Kuala Lumpur hingga ke Munich, Jerman memang naik kematu punggung dibuatnya. Belum dicampur lagi 10 jam transit, jadi terseksa dibuatnya. Namun untuk mendapatkan kepingan daun maple musim luruh di Eropah, ketempuhi jua. Heh!

Sejarah

3 Oktober 2017 mencatat sejarah bagi seorang Sharulnizam. Dengan shabat-sahabat baru; Hizam, Danial, Hawa, Nadiah, Shikin dan Adila, kami bertujuh berkumpul di KLIA untuk pengembaraan yang bakal menciptakan pengalaman baru. Manakala Irwan Dahnil, ketua rombongan kami akan menunggu di lapangan terbang Munich nanti.

Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - 1 Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - 2 Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - 3 Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - Saudia

Penerbangan pertama kami dari Kuala Lumpur (KLIA) ke Riyadh menggunakan perkhidmatan Saudia, mengambil masa 7 jam 20 minit. Bertolak jam 3 petang, kami tiba di lapangan terbang antarabangsa King Khalid di Riyadh beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang.

Penumpang hari itu tidak ramai. Puaslah saya dapat merajai tempat duduk kapal sewenang-wenangnya. Namun apalah gunanya. Saya jadi muak. Cemuih.

7 jam 20 minit diisi dengan aktiviti makan, makan dan makan. Sesekali terkentut memecah sunyi. Mujur kusyen empuk dan menyerap bunyi. Lepas makan, layan cerita di tv. Entah apa-apa entah pilihan cerita yang ada dalam penerbangan Saudia ni. Cari cerita Mera Mann tak ada, sudahnya layan The Hobbit 1 & 2.

Makan, memang mewah. Kenyang lah.

Alhamdulillah, kami tiba di Riyadh tanpa ada sebarang masalah. Selepas makan (lagi) dan solat, kami bertebaran mula cari habitat untuk tidur.

Tidur atas kerusi, wak.

Ya Alloh. Nak merasa sangat kan travel secara bekpeker (konon). Selama 10 jam, tidur merengkok di atas kerusi sampai jadi sakit pinggang. Adeh! Sudahnya tidur-tidur dangdut, kejap terbangun kejap mengigau panggil bini. Eh!

Mereputlah di lapangan terbang selama 10 jam, menunggu penerbangan seterusnya.

Jom Ke Munich

Penerbangan kami seterusnya ke Munich, Jerman hanya beberapa minit selepas azan Subuh berkumandang. Oleh sebab sudah sampai masa untuk boarding, kami hanya mengambil wuduk sebelum masuk ke dalam kapal terbang.

Solat, jangan tinggal.

Merasalah solat dalam kapal terbang.

Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - Saudia

Eh!

Apa tu?

Bumi Eropah?

Awak, kita dah sampai Yurop lah!

Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - Eropah

Debaran Menempuhi Imigresen Di Flughafen München 

Alhamdulillah. Selepas 6 jam penerbangan dari Riyadh, kami selamat mendarat di Flughafen München, lapangan terbang Munich.

Angin sejuk musim luruh sudah menyapa, saya kelu.

Nikmat sebegini besar yang saya perolehi, menjejak bumi Allah yang jauh dari tanah kelahiran sendiri memang tak pernah saya sangka. Syukur ke atas ihsan-Mu, wahai Maha Pengasih.

Kami bertujuh terus menapak menuju ke imigresen, sebelum benar-benar merasmikan upacara menjejak tanah ke bumi Jerman. Pada siapalah saya mahu adukan, debar di jantung bagaikan rebana ubi yang dipalu ketika perang.

Dup dap dup dap!

Cerita-cerita yang saya baca di internet tentang "diskriminasi" pegawai imigresen di sesetengah lapangan terbang negara barat, menerbitkan rasa risau. Lagi-lagi, saya ini mempunyai nama "bin Mohamed", sudah tentu menjadi "tarikan" untuk disoalsiasat.

Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - Airport Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - Airport

Giliran saya tiba. Saya serahkan passport merah. Peluh dingin yang tak kelihatan, berjuraian jatuh membasahi lantai. Saya cuba berlagak tenang seperti yang sudah dipesan rakan-rakan, dan kemudian menguntumkan senyum kepada lelaki berhidung belang, eh, berpakaian seragam di balik kaunter.

Pegawai itu tak memandang pun.

Saya senyum sumbang.

"Good morning."

Dia terus mengambil dokumen saya dan menyemak. Entah apa yang dicatitnya, saya menanti setia di balik kaca.

"Berapa lama di sini?"

"12 hari."

"Untuk apa?"

"Mengembara, bersama rakan."

"Berapa wang tunai yang kamu bawa?"

"600 Euro."

"600 Euro untuk 12 hari?"

"Ya, tuan."

"Ada bawa kad kredit?"

"Ada."

"Tunjukkan kepada saya."

Saya pun cuba berlagak tenang, menyerahkan kad kredit seperti yang diminta. Dia memeriksa, kemudian kad itu diserahkan semula.

Passport saya pun dicop.

Saya dibenarkan untuk masuk ke Jerman.

Rasmilah sudah, seorang Sharulnizam masuk ke Eropah.

Alhamdulillah.

Dan menyaksikan di luar lapangan terbang, ada deretan pokok-pokok dengan dedaunan kuning menanti masa untuk gugur ke tanah, membuatkan senyum saya terus mekar tak tertahan.


Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - Autumn 1 Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - Autumn 2 Dari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - VolkswagenDari Kuala Lumpur Hingga Ke Munich - We are ready

Jom, kita jalan-jalan ke Yurop!





Reactions

Post a Comment

0 Comments