Jatuh Cinta Di Seeg

"Alhamdulillah. Dah sampai."

Saya terpisat-pisat membuka mata. Entah bila saya terlelap, saya pun tak pasti. Saya lihat ke luar dari tingkap tengah Opel Vivaro, hari sudah gelap. Cahaya lampu jalan samar-samar menerangi kawasan sekeliling. Kami berada di kawasan perumahan, yang saya kira agak menyeramkan (waktu itu).

Kebanyakkannya rumah banglo dua tingkat. Terasing, tapi tidak jauh dengan rumah jiran sebelah. Ada laman yang agak luas menjadi batas kawasan rumah. Rekabentuk rumahnya pula tidak sama antara satu sama lain, jadi suasananya lebih terasa seperti di Kampung Padang Balai, Kuala Nerang.

Sunyi.

Walhal baru jam 8 malam waktu tempatan.

Namun, Alhamdulillah. Kami sudah pun sampai ke rumah penginapan kami yang pertama.

Di Seeg, Jerman.

Di hadapan laman rumah

Setelah berurusan dengan tuan rumah, kami pun dijemput masuk. Dan untuk masuk ke rumah dari kereta, kami harus menempuh angin malam musim luruh yang sejuk. Terkedek-kedek saya lari masuk ke dalam rumah sambil membawa perut yang layut. Mujur tak terjulur di bawah baju. Malu kokram.

🙈


Rumah Gaya Eropah

Bismillah.

Wah!

Saya kini menjejak kaki ke dalam rumah orang Eropah!

Gaya hiasannya, biasa sahaja. Tidak ada ropol-ropol berlebihan. Almari, katil, meja makan semuanya biasa saja. Ringkas. Tapi menenangkan. Khas gaya Eropah.

"Ni pagar apa? Pelik betul orang Yurop ni, letak pagar dalam rumah. Apakah ini semua?"

Saya bermonolog sambil menggigit kuku jari manis. Ada pagar berwarna putih terletak di bawah tingkap bilik tidur saya. Pelik. Tingkap yang sepatutnya berpagar tak pun berpagar, tapi di bahagian bawahnya ada pula.

Lah!

Rupanya, yang saya sangkakan pagar itu adalah 'heater'. Pemanas, perkataan Melayunya barangkali. Selalunya kita ada pendingin hawa untuk menyejukkan udara, di Seeg mereka ada pemanas hawa untuk memanaskan udara di dalam rumah. Begitu.

Manalah saya tahu.

Saya kuatkan suhu pemanas, dan kini saya seperti berada di Padang Mat Sirat, Langkawi.

Lega.

Saya kemudiannya mandi setelah hampir dua hari berlengas dengan baju yang sama, solat, makan mengalas perut dan kemuncaknya tidur. Letih perjalanan dua hari tanpa henti memerlukan rehat yang tenang.

Di atas katil, mata terkebil-kebil sukar mahu lelap. Ini biasa terjadi bila saya berada selain dari rumah sendiri. 'Beralih tempat', orang kata. Saya berdoa seperti biasa. Kemudian saya mula mengira anak kambing melompat pagar, petua umum untuk cepat lelap. Satu, dua, tiga, empat dan saya nampak anak kambing kelima senyum kepada saya sambil ditunggang hantu Kum-Kum.

Saya pun tidur pura-pura.

Jatuh Cinta Di Seeg - Dalam Rumah

Pagi Di Seeg

Jam 5 pagi, saya sudah terjaga. Jam 5 pagi di Seeg, bersamaan jam 11 pagi di Gombak. Saya segera menunaikan solat Subuh dan kemudian berswafoto di meja makan. Sedih betul kehidupan. Hahaha!

Suasana pagi mula meriah dan masing-masing sudah sibuk dengan macam-macam urusan. Mandi, membuang sisa perkumuhan dan menyiapkan sarapan pagi.

Saya?

Saya duduk di balkoni. Melihat matahari perlahan-lahan naik menerangkan bumi Seeg. Baru jelas waktu ini, kampung Seeg sangat indah. Rumah yang kami inap ini juga cantik. Di balkoni dapur, berpasu-pasu pokok bunga merah yang gemuk subur menjadi penghias. Pemandangannya walau terbatas dengan pokok dan rumah jiran, tetap memikat. Saya nampak anak-anak jiran berjalan beriringan dengan ibu masing-masing menuju sekolah. Haih! Rindu pada Hafiz pun datang.

Jatuh Cinta Di Seeg - Subuh Jatuh Cinta Di Seeg - Anggur Jatuh Cinta Di Seeg - Iklan Jatuh Cinta Di Seeg - SarapanSarapan pagi gaya orang Malaysia; Milo + Maggie Kari

Lamannya pula tidak begitu luas kalau dilihat dari balkoni, tapi cukup selesa untuk sekeluarga bersantai. Di sisi tangga pintu masuk, ada pondok kayu api tersusun untuk persediaan musim sejuk. Dan menjalar tinggi di dinding rumah dari bawah ke tingkat atas, ada pokok anggur tumbuh rimbun dan sedang lebat berbuah.

Tenang.

Saya intai balkoni jiran. Meriah juga dengan bunga berwarna-warni.

Saya sempat merayau sebentar ke seberang jalan. Pokok-pokok tinggi menjadi hiasan jalan, meredupkan suasana. Daun kuning-oren-coklat sudah banyak di lantai, seperti gambaran musim luruh yang saya selalu tonton di tv.

Dari tv, kini merasainya sendiri.

Saya berswafoto semahu-mahunya.

Saya jatuh cinta di Seeg.

Kampung Seeg.

Jatuh Cinta Di Seeg - Balkoni Jatuh Cinta Di Seeg - Jiran





Reactions

Post a Comment

0 Comments