Saya tak tahu bagaimana mahu mengkategorikan bandar ini.
Mungkin Garmisch Partenkirchen bukan bandar utama, bolehlah dikategorikan
sebagai bandar kecil seperti bandar-bandar lama yang ada di negara kita.
Tenang.
Tidak sibuk.
Santai.
Tidak ada kesesakan jalan raya.
Bangunan juga tidak tinggi menjulang langit.
Saya sudah lama mengimpikan suasana sebegini. Selalunya hanya menonton di kaca
TV, kali ini benar-benar di depan mata. Saya suka dengan keadaan yang boleh
membuatkan kita santai menikmati makan tengah hari (atau petang!) tanpa perlu
sibuk memikirkan hal-hal sepele seperti tempat yang sesak dan kotor.
Kebab Untuk Makan Tengah Hari
Makan tengah hari kami hari itu ialah kebab dan nasi yang bernuansakan selera
Timur Tengah. Sempat juga kami bungkuskan lebihan yang ada untuk makan malam.
Hidangannya agak besar, satu set boleh dijamu untuk dua hingga tiga orang.
Harga makanan di sini sebenarnya agak "murah", kalau kita melihat mata wang
Euro itu sebagai Euro, bukan RM.
Kalau dalam kepala sudah berkira-kira menukar Euro ke RM setiap kali
berbelanja, silap-silap nanti tak lalu nak habiskan makanan sekali harung.
Berjimat. Eheh!
Solat Di Kaki Lima
Sebelum meneruskan perjalanan, kami menjamak solat Zohor dan Asar terlebih
dahulu. Katanya nak ke penginapan kami seterusnya memakan masa empat jam.
Eloklah selesaikan apa yang patut.
Solat di kaki lima bukanlah kali pertama buat saya.
Di Malaysia juga saya pernah. Di Indonesia juga. Jadi tidak ada "perbezaannya"
solat di kaki lima bangunan di Garmisch Partenkirchen.
Benarkah?
Jujurnya, saya ada sedikit risau. Takut dengan "islamophobia" negara barat
yang tidak berkesudahan. Tanpa khusyuk seadanya, saya menunaikan solat mungkin
sedikit gopoh kerana mahu segera selesai.
Teruk, kan?
Saya lebih "takut" kepada benda yang tak pasti, tak tahu bagaimana penerimaan
orang Jerman. Tapi saya boleh "mengabaikan" kuasa Yang Maha Esa.
Astaghfirullah.
Saya selesai solat tanpa ada gangguan.
Moga solat saya diterima-Nya. Moga lantai marmar di kaki lima sebuah bangunan
di Garmisch Partenkirchen menjadi saksi.
Santai, kan?
Kalau di Malaysia, suasana begini rasanya ada di pekan-pekan lama.
0 Comments