Masjid ini bukanlah asing bagi saya. Ketika berkerja di Mont Kiara sekitar tahun 2000-2002, saya dan rakan-rakan akan ke masjid ini untuk menunaikan solat Jumaat. Waktu itu, saya tak merasai apa-apa keistimewaan, selain menikmati sebuah lagi masjid mewah (di Lembah Kelang) yang berhawa dingin.
Semalam, saya melangkah masuk ke ruangan utama solat ini setelah beberapa tahun tak menjengah.
Allahu.
Terus terimbas kenangan ke Masjid Biru, Istanbul pada bulan April yang lepas. Dari luar, memang seiras benar. Warna pun sudah tak jauh berbeza, kebiru-biruan. Kubahnya saling tak tumpah dengan apa yang saya saksikan di Istanbul dulu. Bulan hanya Masjid Biru, malah hampir kesemua masjid yang saya nampak di sana, begitulah juga kubah yang direka di Masjid Wilayah ini.
Melangkah masuk ke ruang solat utama, terasa seperti di Hagia Sophia pula. Mendongak ke atas, terasa bagai melihat alam yang luas.
Aduh! Jadi rindu dengan Turki.
Insya-allah, satu hari nanti kalau dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, saya mahu ke Turki bersama keluarga tersayang.
Fakta Masjid Wilayah Persekutuan
- Dibina bermula tahun 1997, siap dan dirasmikan pada 25 Oktober 2000.
- Boleh memuatkan 17, 000 jemaah dalam satu-satu masa.
- Kos pembinaannya ialah RM255 juta.
- Berkeluasan 33 ekar, turut memuatkan sebuah sekolah (Sekolah Kebangsaan Agama Ibnu Khaldun).
- Senibinanya dipengaruhi gaya Turki Uthmaniyah dan Melayu.
- Dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalulail.
- Mempunyai 22 buah kubah dan setinggi empat tingkat.
0 Comments