Kalau Ke Kuala Pilah, Jemput Singgah Ke Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti

Sudah beberapa kali saya mengidam mahu ke istana yang gah diperkata orang ini. Tahun 2018, saya pernah singgah mahu melawat malangnya masih belum dibuka kepada umum. Ada kerja baik pulih, katanya. Kecewa betul. Selama ini hanya melihat di internet atau kaca TV, saya memang teringin betul menjejak kaki ke sana.

Alhamdulillah, hajat saya termakbul. Semasa melawat Muzium Negeri Sembilan saya sempat bertanya kepada petugas di sana tentang Istana Lama Seri Menanti. Saya memang melangkah kanan, muzium ini baru saja dibuka beberapa hari untuk kunjungan orang ramai.

Memandangkan masa masih panjang, tentu saja saya segera memandu ke sana. Tak lama pun, sekitar 40 minit perjalanan kami sudah pun sampai di perkarangan parkir istana lama ini.

Subhanallah.

Cantik.

Dengan gaya tradisional dan berlatarbelakangkan bukit menghijau, senang benar hati seorang Sharulnizam terpikat.

Kah kah kah!

Jiwang sokmo.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Di hadapan Istana Seri Menanti


Cerah

Kami tiba waktu hari sudah menjelang tengah hari. Sudah ada beberapa kumpulan pengunjung sampai sebelum kami, namun keadaan tidak begitu sesak. Boleh bergerak ke sana ke sini dengan bebas untuk bergambar. Eheh!

Istana ini direka berbentuk rumah panggung, kosong di tingkat bawah. Kami terus naik ke tingkat pertama dan hanya boleh naik setakat tingkat dua. Di tengah-tengah ruang, ada sebongkah kayu besar yang reput diletakkan di situ. Rupanya itulah antara tiang istana yang reput dimamah usia dan menyebabkan muzium ini ditutup untuk kerja baik pulih. Entah berapa usia tiang kayu itu, saya pun sudah lupa apa jawapannya bila ditanya kepada petugas muzium. 100 tahun, mungkin.

Tidak banyak ruangan yang boleh dimasuki, jadi kami melihat apa yang ada saja seperti di dalam gambar ini.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti



Sejarah Pembinaan

Sedikit catatan yang saya jumpa di laman web Lembaga Muzium Negeri Sembilan;
Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.

Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari JKR, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu dari jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut.

Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun 1992, atas kesedaran DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium Diraja adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan. Mulai saat inilah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti


Ada satu catatan berhampiran istana ini yang menceritakan asal-usul orang Minang;
Asal-usul Minangkabau

Diriwayatkan berlaku pertelingkahan antara pemerintah Melayu dan pemerintah sebuah negara jiran. Untuk mengelakkan pertempuran, satu pertandingan lawanan kerbau telah diadakan.

Pihak musuh telah membawa seekor kerbau yang besar dan ganas, manakala pemerintah Melayu pula mempertaruhkan seekor anak kerbau yang lapar dan tanduknya diasah tajam.

Anak kerbau tersebut meluru ke arah kerbau dewasa yang dibawa oleh pihak musuh kerana disangka ibunya, sementara kerbau dewasa tidak menyangka anak kerbau akan membahayakannya.

Tanduk anak kerbau yang tajam telah merodok perut kerbau dewasa pihak musuh hingga mati lalu memberi kemenangan kepada pihak pemerintah Melayu.

Semenjak itulah, puak ini telah dikenali sebagai "menang kerbau", yang singkatannya disebut sebagai "Minangkabau".

Dikatakan bahawa kerinduan anak kerbau kepada ibunya telah membawa kepada sistem kekeluargaan bernasabkan ibu bagi puak tersebut, dan bentuk tanduk kerbau pula menjadi inspirasi bagi bumbung rumah dan bangunan yang meruncing.

Selamat berkunjung! Jom cuti-cuti Malaysia





Reactions

Post a Comment

0 Comments