Meredah Kabus Ke Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills

Antara tarikan utama di Cameron Highlands ialah pasar malam. Sebelum ini pasar malam beroperasi di Brinchang, betul-betul di kiri-kanan jalan utama. Memang tak sah kalau tak sesak di situ setiap kali pasar malam beroperasi. Saya sendiri sempat ke sana beberapa kali dan memang "nightmare", terutamanya dalam hal mencari parkir.

Saya tak pasti sejak bila (ada mengatakan bermula tahun 2017), pasar malam di Cameron Highlands sudah beralih ke Golden Hills yang terletak di antara Brinchang dan Tanah Rata. Tempat ini lebih baik kerana terasing dari laluan utama dan pekan.

Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Lokasi pasar malam yang baru


Bila sebut pasar malam, sudah tentu sasaran kami ialah makanan! Ini yang saya cadangkan kalau mahu beli di sana;

1/ Jagung Kukus / Panggang

Cari jagung Mutiara atau yang terbaru, jagung Susu. Jagung ini sangat manis walau dimakan mentah. Sedapnya hanya tuhan yang tahu nak huraikan. Beli, dan terus makan panas-panas di tepi gerai. Memang berebut nak habiskan.

Oh ya! Harga setongkol (kukus) untuk jagung Mutiara ialah RM5. Untuk jagung Susu, RM8. Mahal? Memang sangat mahal. Tapi bukan makan tiap hari dan selalu. Kami pun memang dah jangka harganya begitu berdasarkan pengalaman lepas. Jadi, makan saja dengan penuh khusyuk!

Untuk bawa balik, pastikan jangan tertipu ya. Ada juga jagung Mutiara murah, tetapi tidak manis. Selalunya datang dari Ipoh, bukan dari Cameron Highlands.

Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Jagung kukus yang manis!



2/ Strawberry Coklat

Walaupun dah puas makan di Big Red Strawberry Farm, kami ulang lagi di pasar malam. Harga lebih murah, masam strawberry masih sama. Cuma coklatnya taklah selemak dan sepadu di kedai. Boleh lah, buat berebut anak-beranak.



3/ Ubi Keledek Manis

Sama ada yang sudah siap dikukus atau mentah, memang sedap diratah sewaktu sejuk angin gunung menggigit. Ada juga yang sudah dibentuk menjadi bebola dan ditabur bijan, terpulang pada selera masing-masing.

Lepas tu lawan kentut siapa paling busuk. Kah kah kah!

Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Abang Haris makan ubi rebus


4/ Teh

Di sini bolehlah beli Teh Boh yang dijual dengan pelbagai perisa. Kesukaan kami sekeluarga ialah teh berperisa lemon, strawberry dan biasa. Harga sekotak sekitar RM11-RM12. Beli tiga, harganya RM30.



5/ Sayur-sayuran / Buah-buahan

Produk di Cameron Highlands semestinya produk tanaman. Jadi rambang mata melihat sayur dan buah yang segar. Dengan RM5, macam-macam jenis sayur boleh kita bawa balik. Buah pun, selain jagung dan strawberry ada juga buah-buahan lain yang menarik seperti limau. 

Tapi durian tak ada. Kenapa ya?


Itu antara belian wajib kami kalau ke pasar malam. Kalau tak berpeluang ke sini, kami akan pastikan singgah ke Kea Farm. Daripada segi harga antara kedua tempat ini, saya rasa Kea Farm lebih murah. Cuma kami tak ke sana kali ini sebab tak mahu mengadap jalan yang sesak!



Pasar Malam Musim PKP

Seperti mana tempat lain, pasar malam Cameron Highlands juga tak terlepas daripada peraturan PKP yang diwartakan satu Malaysia. Hanya ada satu laluan masuk (ye ke?), semua orang perlu beratur untuk diambil suhu dan rekod kedatangan (gunakan aplikasi MySejahtera). Kanak-kanak tanpa topeng muka, tak dibenarkan masuk sama sekali.

Selesai, boleh masuk ke dalam kawasan pasar malam sambil mengucapkan selamat tinggal kepada perintah "penjarakan sosial". Adui! Elok je semua berurusan seperti biasa. Mujur kami datang awal, orang masih belum ramai. Semasa membeli, anak-anak kami perintahkan duduk di tepi gerai, jauh dari orang ramai.

Hati-hati, kawan.

Dalam kita mahu berseronok bercuti, jangan lupa hakikat keadaan masih belum "selamat" seperti dulu.

Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Suasana pasar malam


Kabus

Pertama kali juga sepanjang kedatangan kami di Cameron Highlands, kabus tebal mengelilingi kami semasa berada di pasar malam. Cukup tebal, sehinggakan jarak penglihatan terbatas beberapa meter sahaja. Sakanlah kami bergambar di dalam kabus. Eheheh! Tak lama pun, mungkin sekitar 15 minit kemudian matahari kembali muncul dan Golden Hills kembali terik.

Tak apalah.

15 minit yang terbaik!

Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills
Pasar Malam Cameron Highlands Di Golden Hills


Selamat membeli-belah!






Reactions

Post a Comment

1 Comments

  1. There’s no bonus code required, but you’ll have to satisfy the wagering necessities inside 7 days to money out your earnings. Active players will earn VIP factors as they continue playing in} on line casino video games. As you stage up inside Spin Casino’s loyalty membership, you’ll 바카라사이트 get increasingly bonus credits to make use of as you wish.

    ReplyDelete