Ada Apa Di Umbai?

Sudah berulang kali kami menyebut mahu ke Umbai, mahu mencuba makan makanan laut yang selalu disebut orang. Ada yang kata sedap, ada yang kata tak berbaloi. Sudahnya kami nekad saja mahu mencuba sendiri.

Kami sampai ketika hari sudah hampir jam 6 petang. Alhamdulillah, agak mudah mencari parkir (faktor sampai awal) dan kami terus saja ke Ikan Bakar Parameswara.

Kecewa!

Hampir semua meja yang ada tertera tanda "Reserved", menandakan sudah ada tempahan awal. Walhal, dalam kedai taklah ramai lagi pengunjung yang datang. Meja yang tak ditempah (untuk pengunjung walk-in), terletak di pinggir-pinggir kedai pun sudah penuh. Kami bertanya kepada pramusaji yang ada, sudahnya kami diberikan meja "backup" yakni meja makan seperti di rumah. Sudah tidak ada pilihan lain, kami akur saja.

Tempahan pun dibuat. Sementara menunggu makanan sampai, kami pun merayau ke sekeliling.

Tapak restoran ini sangat hampir dengan pantai. Ada juga kawasan paya kecil di antara restoran dan pantai, sama seperti Restoran Aroma Ikan Bakar di Jeram, Selangor. Menarik juga untuk bergambar di sini. Waktu matahari terbenam pasti menarik (tapi kami tak sempat menunggu). Ada titi kecil untuk pengunjung berjalan dan bergambar dengan penuh narsis. Perlu berhati-hati di sini, titinya ada kayu yang sudah lapuk dan berlubang.



Jom Makan

Hidangan sudah sampai. Perut pun sudah lapar. Kami pun memulakan jamuan dengan doa makan daripada Imam Muda Hafiz. Eheh!

Menu kami;
Kepah Masak Cili
Kailan Ikan Masin
Jenahak Masam Manis
Sotong Goreng Tepung
Satu Jag Fresh Orange

Total; RM 139 (untuk kami enam beranak)



Rasa?

Hanya Sotong Goreng Tepung yang menepati piawai lidah kami. Yang lain, terutamanya Kepah Masak Cili, agak mengecewakan.

Cukuplah sekali saja kami ke sini.

Sebelum balik, sempat lagi saya di"pau" anak-anak. Ada jualan aiskrim yang berbentuk kubus, tapi rasanya tidak begitu sedap. Hafiz yang hantu aiskrim pun tak lalu habiskan.

Sah.

Sekali ini saja kami ke Umbai.







Reactions

Post a Comment

0 Comments