Pasar Payang, Kuala Terengganu

Pasar Payang
Pasar Payang
Kalau ke Kuala Terengganu, bagaikan tidak sah jika tidak singgah ke Pasar Payang ini. Terletak berhampiran muara sungai Terengganu, kedudukannya sangat strategik untuk dijadikan sebagai tempat berdagang.

Sedikit catatan berkaitan Pasar Payang dari Wikipedia;
Pasar Payang atau Pasar Kedai Payang (kemungkinan asalnya dari nama perahu payang sejenis perahu nelayan yang memasarkan hasil tangkapan mereka di pasar, ataupun loghat Terengganu untuk Kedai Tempayan) merujuk kepada pasar besar di Kuala Terengganu. Ia merupakan tempat perniagaan tradisional yang popular dikalangan pelancong ke Terengganu.

Pasar Payang terdiri daripada bangunan kompleks 2 tingkat. Di bahagian bawahnya terdapat gerai basah dan gerai menjual pelbagai kuih-muih traditional negeri Terengganu. Di bahagian atas terdapat pelbagai kedai menjual pelbagai barangan. Ia terletak berhampiran dengan jeti Shabandar dan merupakan tempat persinggahan pelancong yang hendak menaiki bot ke pulau-pulau berhampiran.

Pasar Kedai Payang terletak di bandar Kuala Terengganu, Terengganu betul-betul mengadap Laut China Selatan. Bangunan pasar ini dua tingkat terbahagi kepada dua jenis barang utama. Bahagian bawah menjual barangan dapur. Sementara tingkat atas menjual pakaian terutama batik Terengganu dan songket tenunan Melayu.

Pasar Besar Kedai Payang
Pasar Besar Kedai Payang
Kami ke pasar ini untuk memenuhi permintaan mak. Untuk kami sendiri, tidak ada apa yang mahu dicari. Tidak juga untuk mencari kain batik untuk dibuat baju. Kalau ikutkan, tidak ada langsung dalam agenda kami untuk membeli-belah. Hanya berjalan-jalan, dan makan. Tetapi demi kemahuan bonda yang tersayang, kami turutkan sahaja.

Kami mulakan acara dengan sarapan pagi. Mujur urusan mencari parkir dipermudahkan. Kami bertolak awal dari homestay kerana tidak mahu berebut-rebut mencari parkir, kerana kami tahu hari ini pasti sesak dengan orang ramai.

Kami terus sahaja ke tingkat atas bangunan ini untuk ke ruang makan. Kalau mahu membeli-belah, tipsnya ialah pastikan perut sudah berisi. Kalau lapar, pasti rambang mata mahu berbelanja. Itu, pesan orang tua. Ada logiknya juga, seperti ke bazar Ramadhan di bulan Ramadhan.

Sarapan pagi
Sarapan pagi
Sarapan pagi kami ialah mee sup. Yang segera dan mudah. Tetapi hanya setakat untuk mengisi perut. Kepuasannya hampir tidak ada. Lagipun, mee sup bukanlah "Terengganu". Sepatutnya, sarapan di bangunan ikon Terengganu ini biarlah bersifat "Terengganu". Mungkin kami yang tidak mencari, atau mungkin sahaja sebenarnya memang tidak ada.

Usai sarapan, kami memulakan "pengembaraan" di Pasar Payang. Masing-masing terpisah membawa diri dan berjanji berjumpa semula di luar bangunan. Ruang jualan yang sempit menjadikan laluan udara berhawa pengap dan panas. Si kecil sudah mula menggelisah tidak selesa. Dan kami memendekkan lawatan kami di sekitar pasar untuk segera keluar mencari udara segar.

Songket
Songket
Jajan
Jajan
Kain batik
Kain batik
Mengundang kenangan
Mengundang kenangan
Kepanasan
Kepanasan
Menimbun tinggi
Menimbun tinggi

Kami keluar dari bangunan Pasar Payang bila apa yang dicari (entah apa yang dicari pun tak pasti) kami sudah dapatkan. Entah bila mahu mengulang kunjung, tidak kami pasti. Sekurang-kurangnya anak-anak sudah ada pengalaman mereka ke sini. Entah wujud lagi atau tidak bila mereka dewasa kelak, tiada siapa yang tahu.




<< Sebelum
Dari Kuala ke Kuala
Seterusnya >>
Lorong Kenangan Payang, Kuala Terengganu








Reactions

Post a Comment

0 Comments