Menyusuri Yamuna Expressway dari Delhi ke Agra

Khamis, 8 November 2012.

Jam 7 pagi, kami semua sudah berkumpul di kafe hotel. Mengisi perut secukupnya, kerana hari ini kami mahu berjalan jauh.

Taj Mahal, kami datang!

Segak bergaya dengan kurta yang masih berbau kedai, aku dan Syah bagaikan maharaja dan maharani zaman silam dalam dunia khayalan. Mujur, tidak ada inang dan dayang yang mengiring. Eheheeh!

Sebelum kami masuk ke perut bas mini (pengangkutan kami hari ini), sempat juga kami seluk kuih-muih dan buah-buahan di kafe untuk dibuat bekal. Kami semua masih belum ada keyakinan untuk membeli makanan di luar.

Siap?

Jom!

Yamuna Expressway
Yamuna Expressway


Permit

Belum pun jauh perjalanan kami, pemandu memberhentikan bas di tepi jalan. Katanya, hendak mengambil permit. Pelik. Permit? Kata dia lagi, untuk masuk ke negeri lain (Agra) memang sudah ditetapkan syarat permit perlu ada. Bukankah kedua-dua negeri ini, masih dalam negara India. Kenapa pula perlukan permit?

Dan hari ini baru aku faham. Permit yang dimaksudkan ialah untuk bas mini kami. Serupa juga seperti di Malaysia. Misalnya mahu menyewa bas sekolah untuk rombongan luar daerah, permit perlu dipohon untuk tujuan tersebut.

Dan sementara kami menunggu Mr Anupam (aku reka saja namanya) menyelesaikan urusan permit, kami memerhati lagi suasana New Delhi di waktu pagi.

Ah! Ada lembu berkeliaran.

Lembu
Lembu

Walaupun adegan lembu berkeliaran atas jalan ini perkara yang biasa dan banyak berlaku di Malaysia, yang mengujakan aku adalah saiz lembu yang besar-besar. Dalam gambar ini, kau sendiri boleh nampak saiznya yang sebesar sebuah kereta. Aku tak pasti, kalau aku ada di atas jalan ini adakah aku berani untuk berjalan bersebelahan. Ehehe!


Yamuna Expressway

Selesai segala urusan, kami meneruskan perjalanan ke Agra. Aku pada mulanya menjangkakan perjalanan jauh ini akan menggunakan jalan-jalan kampung (atau persekutuan), tetapi Mr Anupam memaklumkan kami agak beruntung kerana Yamuna Expressway yang menghubungkan Delhi dan Agra baru sahaja siap dibina. Perjalanan hanya memerlukan masa selama dua jam, kurang lebih dari Kuala Lumpur ke Melaka. Lebuhraya ini agak luas (tiga lorong setiap arah), dan kebanyakkan laluannya merentasi ladang-ladang yang luas. Kalau di Malaysia, ladang kelapa sawit lah.

Tol di Yamuna Expressway
Tol di Yamuna Expressway
Kurta Raj dan Simran
Bergaya dengan kurta di depan bas mini


Terus-terang, aku khayal. Melihat pemandangan di sepanjang lebuhraya ini aku berasa terawang-awang disihir mata. Sayang tidak ada rakaman video, dan tidak ada pula gambar yang sesuai dapat aku kongsikan. Mr Anupam bercerita, tanaman ladang ini ada pelbagai. Pokok mustard, barli, pelabagai jenis ubi dan macam-macam lagi. Ladangnya luas di atas tanah yang agak rata, sayup mata memandang. Dan kerana hari masih pagi, kabus agak tebal menyelubungi ladang-ladang ini. Dan, antara nampak atau tidak, bayang-bayang pokok yang bertompok-tompok di sekitar ladang menjadikan pemandangan di depan mata bagaikan lukisan.

Cantik.

Sehinggalah satu ketika, warna di ladang lebih banyak hijau dan kuning. Ya, pokok-pokok setinggi manusia dan bunga kuning. Sedikit-sedikit dan lama kelamaan semakin banyak. Kata Mr Anupam, itulah pokok mustard.

Pokok mustard
Pokok mustard yang masih kecil

Aku menoleh Syah. Syah membalas pandang.

Tersenyum.

Senyuman seorang Raj Malhotra yang nakal kepada Simran yang polos. Dan di balik rimbunan daun hijau dan bunga kuning itu, Raj dan Simran pun berdendang ria.

Tujhe dekha to yeh jaana sanam
Pyaar hota hai deewana sanam
Tujhe dekha to yeh jaana sanam
Tujhe dekha to yeh jaana sanam
Pyaar hota hai deewana sanam (x2)
Ab yahan se kahan jaaye hum
Teri baahon mein mar jaaye hum

On seeing You, I've learned this sweetheart
That love is crazy, sweetheart
On seeing You, I've learned this sweetheart
On seeing You, I've learned this sweetheart
That love is crazy, sweetheart
Now where shall I go from here?
I will die in your arms


Ya! Kami nampak ladang pokok mustard yang segar bugar. Ladang menjadi lokasi pertemuan Raj dan Simran.

Over, kan?

Tapi rasa teruja itu tak tertanggung, oi!


R & R

Rasa teruja tadi tidak kunjung malap. Aku mahu sahaja meminta Mr Anupam memberhentikan bas kami dan aku melompat ke luar pagar untuk bergambar di ladang mustard itu. Dan aku tahu itu tak mungkin.

Mr Anupam berhenti di satu perhentian rehat dan rawat, dan aku tahu ini mungkin peluang terbaik untuk merakamkan kenangan romantik ini.

Hampa.

Ladang di belakang R&R kontang. Tidak ada tanaman apa-apa pun. Mungkin baru lepas dituai, dan tanah baru digembur untuk kitaran tanaman yang baru. Yang ada, dari celahan pagar di belakang tandas hanyalah kereta lembu yang mengheret "kereta" ditumpang tiga manusia.

Ini juga satu pemandangan menarik, sebenarnya.

Kereta Lembu
Kereta Lembu
Sedang aku khayal mengambil gambar, aku disapa oleh seorang lelaki. Orang muda. Entah apa yang dikatakannya, aku tidak faham. Insiden "wajah Pan Asian" sekali lagi berlaku. Aku disangkanya orang tempatan. Dan ketika itu aku baru sedar. Aku berada di tempat yang agak tersembunyi dan jauh dari ahli rombongan yang lain. Entah, aku agak kuat bersyakwasangka. Mula menjelma fikiran-fikiran negatif. Mengabaikan teguran pemuda tadi, aku terus bergerak mencari Syah dan yang lain-lain.

Mungkin bukan syak wasangka. Mungkin, hanya mahu berhati-hati.

Kami kemudian meneruskan perjalanan.


<< Sebelum
The India Gate
Seterusnya >>
Wajah-wajah Jalanan Agra
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)













Reactions

Post a Comment

0 Comments