Ikan-ikan Yang Comel Lagi Jinak Di Sungai Moroli, Ranau



"Tagal Sungai Moroli" adalah antara cadangan yang sering keluar di internet semasa saya mahu menyusun itinerari ke Sabah. Melihat pada gambar dan video di Youtube, terus saja saya masukkan dalam senarai kerana satu perkara; bisa bikin kanak-kanak gumbira!

Begitulah kalau bercuti. Perlu ada aktiviti-aktiviti yang mesra kanak-kanak. Dah namanya pun percutian keluarga.

Selesai membeli-belah di Kundasang, kami memandu terus ke Ranau. Jarak antara Kundasang ke Kampung Luanti Baru, Ranau ialah 32 KM. Mengikut Google Map, masa yang diperlukan untuk memandu ialah 45 minit. Berdasarkan jarak dan masa yang dicadangkan, sudah boleh diagak jalannya kecil dan pastinya penuh onak dan duri.

Kah kah kah!

Jalan baik sahaja. Cuma sempit, maklumlah jalan kampung.

Dalam keadaan langit yang mendung, kami berharap cuaca tetap baik saja di Ranau nanti. Sepanjang perjalanan, mata puas melihat pemandangan kiri kanan yang masih kekal dengan keindahan alam semula jadi. Saya kurang pasti di mana, mungkin berhampiran pekan Ranau, ada kawasan sawah padi. Iya, sawah padi di Kuala Selangor pun ada, tetapi yang saya lihat ialah sawah padi berlatarbelakangkan gunung-gunung yang memasak bumi. Cantik! Suasana desa yang selalu ada dalam bayangan saya.

Sambil berborak-borak dan mengunyah makanan, kami pun sampai ke destinasi. First impression, parkir agak tidak terurus dan seperti mana-mana di Kundasang, anjing sangat banyak berkeliaran. Walaupun tidak mengganggu, tetap juga ada rasa kurang selesa. Pasrah. Pejam mata, teruskan saja melangkah.

Tiket Dan Waktu Operasi

Untuk masuk ke kawasan sungai, agak jauh ke dalam. Dan yang membuatkan saya sedikit geram, kaunter tiketnya nun jauh dalam warung berhampiran jalan besar, walhal saya sudah masuk ke dalam untuk parkir. Saya kurang jelas kenapa kaunter tiketnya jauh dan terasing dari pintu ke sungai.

Tiketnya, bukanlah murah juga.

Dewasa RM5.00
Kanak-kanak RM2.00
Untuk "mandi bersama ikan", RM10.00

Amacam? Berani nak mandi dengan ikan sebesar lengan tangan remaja? Bukan seekor tahu, boleh jadi 30 ekor! Haha!



Tagal

Dalam bahasa Kadazan Dusun, "tagal" bermaksud tidak dibenarkan menangkap sebarang kehidupan sungai (ikan sudah tentu). Maka sebab itu ikan-ikan di sungai ini sangat sihat, gebu dan gagah perkasa. Saya tak pasti ikan apa, tapi katanya Ikan Pelian. Warnanya yang hitam (dewasa) dan keemasan ditambah saiznya yang besar sedikit sebanyak menimbulkan rasa gerun.

Tak perlu pun ke tengah sungai. Ikan akan tergedik-gedik datang pada kedalaman separas buku lali.

Abah Hafiz gelak-gelak geli, walhal nak "cover" rasa takut.

Kakak Hanim dan abang Haris selamba. Elok saja masing-masing sua tangan dan kaki pada ikan. Kadang-kadang menjerit bila geli dan sakit bila digigit. Atuk Hafiz pun nampak gaya macam dan geram-geram dengan ikan yang montel-montel tu, maklumlah bekas pemancing tegar.



Seronok.

Apa lagi melihat abang Haris menyakat si Hafiz. Bengkok kaki si adik ke atas bila diacah-acah si abang mahu merendam kaki Hafiz ke dalam sungai. Suara dia yang paling kuat menjerit. Kah kah kah! Kakak Hanis pun takut-takut berani. Hulur makananan pun jauh-jauh saja.

Sejuk air sungai dan cuaca yang cerah menjadikan aktiviti kami di situ menjadi kenangan yang tak terlupakan. Senyum dan gelak ketawa yang terukir di setiap wajah kesayangan saya sangat membahagiakan.

Tagal itu maksudnya tidak membenarkan sebarang tangkapan, tapi rupanya membebaskan rasa aman dan damai.

Sebal saya (parkir, anjing dan tiket) pun hilang memudar.

Terima kasih, Sungai Morolo Kampung Luanti.

Ini ada video pendek semasa kami di sana.



ITINERARI 5H4M KUNDASANG-KOTA KINABALU, SABAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 5 hari di Sabah, Malaysia)






Reactions

Post a Comment

0 Comments