Usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Lohan selepas bermain ikan di Sungai Moroli, kami pun memandu terus ke Poring Hotspring. Berdasarkan maklumat internet, ini tempat yang paling ideal untuk si kecil saya merendamkan badan.
Piknik!
Tapi itulah. Tak dapat diagak cuaca di Ranau ni. Hari hujan sepanjang perjalanan, tapi cerah bila kami sudah sampai ke ruangan parkir. Segera kami berjalan ke pintu masuk dan membayar tiket.
Dan, kasihan betul pada mak dan abah.
Rupanya dari pintu masuk menuju ke kawasan utama jaraknya agak jauh untuk berjalan kaki. Walaupun abah dan mak mengikut saja, saya tahu mereka kepenatan. Dan telahan saya benar, sampai saja di kawasan utama mak dan abah duduk berehat di bangku yang disediakan.
Saya kasihan, tetapi dalam masa yang sama saya gembira kerana dapat membawa kesayangan saya yang berdua ini bercuti bersama. Pergerakan tentulah terbatas, tidak semua tempat sesuai untuk mak abah pergi tetapi tetap menjadi satu kenangan yang terpahat dalam hati. Semenjak kecil, abah rajin juga membawa saya dan adik-beradik berjalan-jalan ke serata tempat. Walaupun kereta kecil, tetapi perjalanan percutian kami sekeluarga sangat menyeronokkan.
Itulah yang saya cuba terapkan dengan keluarga saya. Kebersamaan. Bercuti dengan keluarga.
Kolam-kolam Di Poring Hotspring
Kawasan mandi di situ agak ramai dengan orang awam ketika kami sampai. Terus, "semangat" untuk bermandi-manda merudum jatuh. Lagipun Hafiz seorang saja yang ada persalinan mandi, abang kakak semua tak mahu mandi bersama. Mulanya kami berehat di kawasan yang berpondok, tetapi sudahnya kami keluar dari situ tak sempat pun Hafiz berendam. Mujur dia pun tak meragam.Yang saya perhatikan, tempat mandi ini terbahagi kepada beberapa bahagian.
1) Kolam Outdoor
Kalau diperhatikan dalam gambar di bawah, kawasan ini berbumbung dan beberapa kolam buatan pelbagai saiz dibina boleh memuatkan beberapa orang dalam satu-satu masa. Ada dua sumber air (paip), yang panas dan yang sejuk. Jadi kalau mahu mandi, suhu air boleh dikawal dengan mencampurkan kedua-dua jenis air. Kami bawa Hafiz mandi di kolam ini, tapi itulah. Rekabentuk kolamnya yang agak dalam dan air paip lambat mengisi kolam menjadikan sesi berendam itu tidak mengujakan. Lagipun airnya terkepung tidak mengalir, bercampur pula dengan orang lain memang jadi tak selesalah.2) Kolam Indoor
Terdapat pilihan untuk mandi air panas secara tertutup di dalam pondok / rumah khas yang dibina di sekitar tapak mandi. Ini sesuai untuk keluarga atau mana-mana kumpulan yang mementingkan privasi. Sudah tentu, ada bayaran yang dikenakan.3) Rock Pool
Ada satu kolam di satu sudut tapak ini yang berisi air sungai (yang sejuk). Saya lebih suka jika mahu mandi di kolam ini kerana air yang digunakan adalah air sungai yang mengalir bersebelahan. Lebih sejuk dan lebih segar. Hafiz juga sudah teruja, tetapi disebabkan tidak ada seorang pun abang kakak mahupun abah yang mahu meneman, terpaksalah kami pujuk dia agar tidak mengamuk. Mujur ada kedai jual aiskrim. Kah kah kah!4) Kolam Berbayar
Saya tidak ingat berapa bayaran yang dikenakan. Kolam ini seperti taman air mini di mana ada beberapa permainan seperti gelongsor terus masuk ke kolam disediakan. Di sini agak privasi dan tak begitu ramai pengunjung.Pulang
Sebenarnya ada banyak aktiviti boleh dibuat di Poring Hotspring ini. Saya sempat merayau sekejap dan nampak beberapa papan tanda seperti Taman Rama-rama, Jambatan Gantung dan beberapa lagi. Disebabkan "mood" kami sudah tidak seghairah awal-awal tadi, maka kami putuskan untuk balik saja. Perut yang sudah kelaparan juga mempengaruhi suasana, ditambah dengan cuaca mendung yang tak menentu.Kami pun bergerak pulang dan sempat singgah di KFC Ranau untuk membeli makan tengah hari (dan malam).
Poring Hotspring sesuai dikunjungi sekiranya masa diperuntukan ke sini paling tidak, setengah hari. Kalau seperti kami yang agak terlewat, tak banyak yang boleh dibuat.
Oh!
Ini ada satu peringatan kalau mahu ke sini. Ingat ni, ya?!
ITINERARI 5H4M KUNDASANG-KOTA KINABALU, SABAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 5 hari di Sabah, Malaysia)
(Senarai lengkap aktiviti selama 5 hari di Sabah, Malaysia)
0 Comments