Mendaki Kinabalu Park Untuk Mengintai Sang Gunung Gagah Perkasa

Hafiz di Kinabalu Park

Selepas bersarapan di Kundasang, kami pun ke destinasi seterusnya iaitu Kinabalu Park sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Taman ini telah dinobatkan sebagai "World Heritage Site" oleh UNESCO pada tahun 2000. Keluasannya merangkumi kawasan 754 kilometer persegi dan Gunung Kinabalu juga termasuk di dalamnya. Tidak hairanlah kawasan ini mendapat pengiktirafan sedemikian memandangkan kekakayaan flora dan faunanya yang pelbagai.

Ada 4,500 spesis flora dan fauna, termasuk 326 burung dan sekitar 100 spesis mamalia dan lebih 110 jenis siput.

Wow!

Tetapi asalnya saya memang tidak tahu apa yang boleh "dinikmati" di sini kerana maklumat di internet juga agak terhad. Saya sedia maklum ini adalah laluan utama untuk pendaki Gunung Kinabalu, tetapi katanya tempat ini juga sesuai untuk dikunjungi oleh orang awam. Sebab itu saya masukkan ke dalam itinerari.

Tiket Dan Waktu Operasi

Untuk makluman, tiket ini boleh juga digunakan untuk ke Poring Hotspring di Ranau kerana kedua-duanya terletak di dalam Taman Kinabalu, cuma terpisah antara timur dan barat. Di atas tiket tertera kenyataan berikut; "Sah untuk satu hari (atau tiga hari bagi pelawat yang menginap) ke semua destinasi dalam taman yang sama."

Harga Tiket
Dewasa RM 3.00
Kanak-kanak RM 1.00

Waktu Operasi
Setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang

Website
http://www.sabahparks.org.my/the-parks/kinabalu-park

Dengan lafaz Bismillah dan yakin, saya memandu Exora sewa kami mendaki Kinabalu Park yang tinggi.

Lumrah memandu di kawasan berbukit (apa lagi gunung), jalannya sempit dan berbengkang-bengkok. Mak saya di belakang sudah risau, mahu patah balik kerana jalannya juga gelap dilindungi pokok hutan yang tinggi dan tebal. "Spooky" kata orang Minang. Tapi saya memujuk sambil menderaskan sedikit kelajuan.

Kinabalu Park World Heritage

Monumen Kiau Gap View

Ini perhentian kami yang pertama. Saya tak tahu pun ada pelantar yang agak besar di sini untuk menikmati pemandangan Gunung Kinabalu. Selepas saya semak di internet, barulah saya tahu Kiau Gap View ini adalah monumen bersempena mengingati mangsa terkorban semasa kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu pada tahun 2015. Melihat senarai nama 22 orang yang terkorban itu, saya sedikit pilu mengenangkan majoriti adalah kanak-kanak yang berusia 12 tahun. Aduhai! Sebaya anak saya saja. Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.

Namun Kinabalu yang gagah tetap meraikan kami pagi itu. Awan kabus tiba-tiba sahaja hilang dan suasana mencerah, dan kami dapat bertentang mata dengan Kinabalu tanpa ada penghadang.

Allahuakhbar. Subhanallah. Masyaallah.

Hebat benar ciptaan ini.

Saya benar-benar kehilangan nafas dan kata dengan peluang ini.

Di Kiau Gap View Kesayangan Di Kiau Gap View Kami di Kiau Gap View, Kinabalu Park Antara pemandangan di Kiau Gap View

Mengintai Timpohon Gate

Selesai bergambar kami memandu sedikit lagi menuju ke Timpohon Gate, pintu permulaan untuk mendaki ke Gunung Kinabalu. Saya memerhati dengan sedikit rasa iri hati kelibat pendaki-pendaki yang bersemangat dan teruja mahu menakluk puncak gunung setinggi 4,095.2 meter itu. Saya hanya mampu berdoa, satu hari saya juga boleh ke sana.

Tak lama pun kami di sini dan tidak ada apa yang boleh dibuat. Lagipun jalan yang agak sempit memaksa kami untuk beredar segera.

Timpohon Gate Gunung Kinabalu Timpohon Trail

Selamat Tinggal, Kinabalu

Di Kinabalu Park ini rupanya kali terakhir kami dapat melihat Sang Akinabalu. Kerana perjalanan kami seterusnya ditemankan hujan dan kabus, jadi jarak penglihatan menjadi terhad. Namun kami sempat bergambar sekali lagi sebelum keluar ke jalan utama, kerana gunung yang tertinggi di Asia Tenggara ini mahu mengucapkan selamat tinggal dengan penuh kemesraaan.

Selamat tinggal, Kinabalu.

Saying good bye to Kinabalu

ITINERARI 5H4M KUNDASANG-KOTA KINABALU, SABAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 5 hari di Sabah, Malaysia)






Reactions

Post a Comment

0 Comments