Mengenang Masa Lalu Di Bangunan Yayasan Sabah (Menara Tun Mustapha)

Bangunan Yayasan Sabah

"Nanti sebelum masuk ke hotel di KK, abah nak singgah ke Yayasan Sabah."

"Ada apa situ?"

"Ada bangunan yang bentuk silinder tegak tinggi."

"Ok."

Berpandukan tunjuk arah daripada aplikasi Google Map, kami pun akhirnya berjaya bertentang mata dengan bangunan ini.

Hanya saya seorang saja yang keluar dari kereta "menikmati" bangunan ini di bawah rembang matahari yang panas.

Kenapa?

Menara Tun Mustapha

Sedikit maklumat berkaitan bangunan ini.
  • Dibina pada tahun 1977.
  • Mempunyai ketinggian 30 tingkat (122 meter)
  • Tingkat 18 boleh membuat pusingan 360 darjah dalam masa satu jam.
  • Lokasinya di Likas, berhampiran Universiti Malaysia Sabah. Kira-kira 8 kilometer dari bandar Kota Kinabalu.
  • Dinamakan sebagai Menara Tun Mustapha pada 31 Julai 2001, sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan perjuangan Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Bin Datu Harun (bekas Ketua Menteri Sabah).
Sumber; Laman web Wikipedia dan Yayasan Sabah Group.

Jadi, kenapa saya ke sini?

Tidak ada sebab-sebab tertentu, lebih kepada mengenang masa lalu.

Benar. Ini kali pertama saya menjejak kaki ke Sabah, tetapi sebenarnya saya sudah lama "sampai" ke bangunan Yayasan Sabah ini.

Bagaimana?

Untuk mereka yang umurnya sebaya dengan saya (atau sebaya dengan usia bangunan ini), pasti pernah menonton satu klip video di kaca TV di era 80-an (atau 90-an?). Lagu "Rakyat Sabah bergandingan tangan", di mana dalam babak akhir ditunjukkan rakyat Sabah yang pelbagai agama dan budaya berkumpul di bawah bangunan ini.

Ingat?

Mungkin video klip ini boleh membantu.



Pelik?

Mungkin.

Tapi percayalah, semasa berdiri dan meneliti setiap inci bangunan ini dengan mata sendiri, terbit perasaan yang mengharukan. Juga gembira yang menyebabkan saya tersengih seorang diri.

Kerana, semasa gambaran bangunan ini meresap ke dalam ingatan saya bertahun nan lalu, yang terbawa sama ialah perasaan gembira zaman kanak-kanak dan awal remaja saya yang polos. Saya suka kenangan itu. Ia adalah bahagia yang asli dan bangunan Yayasan Sabah ini memberikan kembali kepada saya kemewahan rasa itu.

Pelik?

Ya.

Menara Tun Mustapha

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Kami meneruskan perjalanan ke Masjid Negeri yang berjarak kurang 5 kilometer dari bangunan Yayasan Sabah. Asalnya mahu menunaikan solat di sini, tetapi oleh kerana Hafiz sudah sedikit meragam, kami segera beredar ke hotel selepas makan tengah hari di kedai makan bersebelahan dengan masjid.

Cuaca yang cerah dan langit yang membiru, menjadikan masjid yang boleh membuatkan 12,000 jemaah sangat dominan waktu itu. Cantik. Saya hanya sempat mengambil gambar di bahagian luar sahaja.

Moga ada peluang lain hari untuk menunaikan solat di sini.
   Masjid Bandaraya Kota Kinabalu Masjid Negeri Sabah

ITINERARI 5H4M KUNDASANG-KOTA KINABALU, SABAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 5 hari di Sabah, Malaysia)






Reactions

Post a Comment

0 Comments