Menyusuri Sungai Melaka Dengan Bot Bersama Keluarga



Semasa ke Melaka bulan lepas, kami naik bot menyusuri Sungai Melaka. Bermula dari jeti berhampiran Muzium Samudera, lalu menghulu ke Kampung Morten kemudian patah balik ke jeti permulaan. Saya raasa, sekitar 20-30 minit juga.

Tambang?

RM 22 dewasa, RM 12 kanak-kanak. Untuk warga IC biru.

Jumlah penumpang mengikut saiz bot dan tempat duduk yang disediakan. Jadi, semua orang akan ada tempat duduk cuma susunannya rawak.

Oh! Botnya berbumbung. Insya-allah, tak panas.



Saya sudah pernah naik bot ini sekitar tahun 2012 dahulu, jadi keterujaannya kurang kali ini. Berbeza dengan Hafiz, tersengih-sengih dia sepanjang sebahagian pertama perjalanan.

Sungai Melaka ini bersih, yang ini harus dipuji. Tidak ada bau yang kurang menyenangkan. Kami selesa sepanjang perjalanan. Hiasan dekorasi bangunan yang pelbagai warna di sepanjang tebing juga menyegarkan mata. Elok terurus dan nampak kemas.

Saya jadi geram melalui perkampungan Morten yang masih banyak mengekalkan rumah-rumah tradisional Melaka. Rumahnya comel-comel dan bumbungnya tinggi. Ada pula beranda di depan rumah, santai betul kalau dapat minum teh panas dan pisang goreng waktu petang sambil merenung sungai.

Sebenarnya, bot ada menyediakan audio yang menerangkan lokasi yang dilalui. Seperti Kampung Morten, Jambatan Hang Tuah dan lain-lain. Cuma bunyinya sayup-sayup berebut antara bunyi enjin bot dan kocakan ombak air sungai. Namun saya paling suka dengan muzik latar yang diguna, lagu Dondang Sayang.

Seingat saya, ini saja tarikan yang menggunakan lagu tradisional sebagai muzik latar. Kalau beca, lagu "aku lagi syantik, kau huduh benar" saja yang berkumandang. Hiasan pun menggunakan watak-watak kartun seperti Pikachu dan Hello Kitty. Kecewa betul. Kalau dihias gaya tradisi bukankah bagus? Begitu juga semasa di dalam Menara Taming Sari.



River Cruising ini menarik sebenarnya.

Kalau ada pasar bot seperti di Klong Hae, Hatyai mungkin lebih menarik. Makan asam pedas tepi Sungai Melaka, barulah ada feel saudagar pedagang minyak urat. Heh!

Cuma saya masih belum berpeluang untuk naik bot waktu malam. Katanya pemandangan sepanjang tepi sungai lebih meriah dengan lampu berwarna-warni.

Harapnya bukan lampu Hello Kitty lah.







ITINERARI 3H2M MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 3 hari di Melaka, Malaysia)






Reactions

Post a Comment

0 Comments