Peristiwa Ngeri Di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, UAE

Semasa memilih-milih tiket kapal terbang ke Istanbul, kami ada dua pilihan.

Satu, transit di Jeddah selama enam jam dengan penerbangan Saudia.

Dua, transit di Dubai selama satu jam dengan penerbangan Emirates. Namun harga tiket RM 300 lebih mahal berbanding tiket Saudia.

Terkenangkan pengalaman lepas (umrah tahun 2012) dan juga pengalaman transit di Riyadh (kedua-duanya di Saudi Arabia), saya jadi serik menunggu lama di lapangan terbang yang tidaklah begitu mesra sejambak Sharulnizam yang dimamah usia. Tak lalu, dik. Maka setelah membuat pertimbangan sewajarnya, kami berdua setuju untuk menggunakan perkhidmatan Emirates saja untuk ke Turki.

Tiket penerbangan Emirates ke Dubai dari KL

Risau

Transit satu jam, sempatkah?

Itu yang menjadi kerisauan saya selepas tiket dibeli. Rata-rata yang menjawab bila saya lontarkan soalan ini, kata mereka sempat. Insya-allah. Lagi pula penerbangan kami masih mengekalkan perkhidmatan Emirates dari Dubai ke Istanbul, jadi sudah tentu pihak Emirates sudah mengatur dengan baik.

Harapnya begitulah.

Pelepasan

Dari Kuala Lumpur International Airport, penerbangan berlepas cantik tepat jam 10.20 pagi. Semuanya lancar sahaja, makan pun mewah. Saya pun mula menyelongkar "entertainment" yang ada. Banyak pilihan filem dan lagu disediakan.

Wow!

Ada lagu-lagu Ramlah Ram, kawan-kawan.

Sudah puas tidur-makan-layan filem, menghampiri jam 1 petang (waktu tempatan) tayar kapal terbang pun menjejak bumi Saudi.

Dan peristiwa ngeri pun, bakal membuka tirai.

KLIA Bersama Riza

Kalut

Sebaik keluar dari badan kapal terbang, kami bergegas mengikut laluan yang telah ditetapkan untuk menaiki kapal terbang berikutnya. Tempoh masa satu jam semakin berkurangan, dan menambah cemas dalam diri kami perlu melalui sekali lagi kaunter pemeriksaan.

Tik tok tik tok tik tok!

Riza sudah lepas ke depan. Dengan suasana yang kalut, beliau tak perasan saya masih lagi tersangkut di belakang. Selesai urusan pemeriksaan keselamatan, saya segera berlari membawa perut yang terlayang-layang ke kiri kanan mengikut hentakan kaki. Jauhnya! Pintu yang paling hujung.

Saya menuruni eskelator dan akhirnya sampai di pintu A10. Anak kapal Emirates tersenyum pada saya yang masih mengah mengawal nafas (dan perut). Beliau memeriksa tiket kapal terbang yang saya hulurkan untuk membuat pengesahan.

Beep!

Saya dipersilakan masuk untuk penerbangan ke Turki. Lega. Saya menarik nafas panjang.

Eh!

Kejap.

Mana beg biru saya? Beg galas yang saya bawa masuk ke dalam kapal terbang dari Kuala Lumpur tadi? Beg yang paling penting kerana dalam itu ada beberapa barang seperti dokumen perjalanan, kamera dan ubat-ubatan.

Aduh!

Tertinggal di kaunter pemeriksaan tadilah ni.

Petugas di kaunter menenangkan saya. Masa sudah suntuk, saya tak dinasihatkan untuk berpatah balik. Beliau cadangkan buat laporan di kaunter "Lost & Found" sahaja melalui panggilan telefon atau email. Aduhai! Saya sudah dirundung kecewa. Degup jantung yang sudah tenang selepas berlari tadi, kini bagai paluan gendang perang.

Saya hampir akur dengan cadangan petugas Emirates itu, tapi kemudian saya sedar yang keputusan itu salah.

Dalam beg itu, ada ubat-ubatan yang saya perlukan. Kesihatan diri memang menjadi kerisauan utama saya dalam perjalanan ini. Walaupun sebenarnya sehingga kembali semula ke Malaysia, hanya empat biji ubat mabuk saja yang digunakan, berbanding dengan jumlah dan jenis ubat yang saya bawa.

Tidak!

Waktu itu waktu kalut yang tak terbendung, maka sesuai dengan keadaan begitu akal fikiran menjadi sedikit mendesak dan keracunan emosi.

"Saya nak ke kaunter tadi, nak cari beg saya!"

Petugas menggeleng kepala. Dia tak menghalang, tak juga menggalakkan. Dia meminta kembali tiket saya, untuk mengeluarkan semula nama saya daripada senarai yang sudah boarding. Kata dia, saya hanya ada 10 minit.

Saya ketatkan tali pinggang.

Saya tarik nafas panjang.

Saya yakin, kebiasaan berjogging dan mendaki gunung akan membantu saya untuk berlari ke kaunter pemeriksaan itu dengan sihat walafiat. Mujur ini bukan kali pertama saya di Dubai Airport, jadi saya sudah cam jalannya.

Hip hap hip hap hip hap!

Semua oksigen di Dubai saya hirup dengan memperbesarkan diameter lubang hidung.



Cari

Saya tiba di kaunter pemeriksaan dan segera bertanya kepada petugas yang ada. Saya ingat di lorong mana saya masuk tadi, dan di situlah saya turut sama membongkok berjengket dengan petugas kaunter.

Tidak ada.

Dan masa kecemasan berbaki kurang lima minit.

Dengan langkah longlai, saya pun berpatah balik ke pintu A10.

Saya sudah merasakan perjalanan yang baru bermula ini, akan menjadi hambar.

Ubat, ya boleh saja dicari di farmasi.

Kamera?

Aduh! DSLR Canon EOS 60D itu sudah menjadi buah hati saya hampir 10 tahun. Merata dunia dia mengembara bersama saya. Ke Iceland, ke Hallstatt, ke Taj Mahal, ke Borobudur, ke gunung, ke hutan. Jasanya banyak.

Sudah tentu, nilainya lebih tinggi kerana setia menabur jasa mengambil gambar merakam kenangan keluarga saya yang tersayang.

Sentimental boi, harganya tak terperi.

Saya tiba semula di pintu A10. Tiket saya hulurkan sekali lagi.

Beep!

Saya dibenarkan untuk masuk.

"Sudah jumpa begnya?"

Petugas Emirates bertanya, dengan wajah sedikit riak simpati.

Saya hanya membalas dengan seulas senyuman tawar, sambil memperbetulkan beg galas yang sedikit berat tersandang di belakang.

Hah?

Aik?

Betul kah?

Beg galas yang membuatkan saya separuh gila mencari dari hujung ke hujung lapangan terbang Dubai ini, yang memaksa saya berlari, yang membuatkan jantung saya hampir pecah berdegup risau, yang hampir membuat saya menitiskan air mata kesedihan; rupanya selama ini elok memeluk mesra belakang saya tanpa sepatah suara.

Kau dah kenapa?!

Kau sanggup mendiamkan diri saja selama ini! Apa, kau feeling-feeling berlakon drama swasta macam babak menguji kesetiaan kekasih? Begitu?

Ya Tuhan Ya Rabbi!

Saya kehilangan kata-kata.

Bersama beg galas di Dubai Airport

Saya masuk ke dalam kapal terbang, Riza sudah menunggu risau. Kami terus ke tempat duduk, dan beg yang menjadi punca simpanan kalori saya megalami defisit hari itu, saya letak di bawah kerusi agar tak terlepas pandang lagi.

Lalu saya ceritakan apa yang berlaku kepada Riza.

Kami ketawa.

Tapi hati menangis, siapa yang tahu.

Begini rupanya perasaan hati dipermainkan. Kejam, tidak berperikemanusiaan.

Cuma saya hairan.

Saya yakin saya sebut "saya kehilangan beg berwarna biru" kepada semua petugas di lapangan terbang yang saya jumpa.

Takkan seorang pun tak perasan yang beg itu ada tergalas di belakang saya? Rasanya lebih lima orang yang "membantu" saya mencari beg itu.

Haih!

Ngeri.








Reactions

Post a Comment

0 Comments