Sejarah Basilica Cisterns Di Bawah Bumi Turki



Sebenarnya saya sudah hampir lupa dengan Basilica Cisterns yang sudah dicatat dalam itinerari awal. Ini disebabkan sudah banyak rancangan bertukar semenjak hari pertama kami tiba di Istanbul. Mujur teringat semula ketika berjalan mencari makan di restoran Malaysia Nur Muhammad, kami perlu melintasi binaan bersejarah ini.

Seperti mana-mana tarikan lain di Istanbul, pengunjung perlu beratur panjang untuk mendapatkan tiket sebelum masuk ke dalam bangunan. Harga tiket ialah 20 TL per kepala.



Sebaik melangkah masuk, semuanya gelap dan hanya ada lampu kuning suram menyuluh lantai dan bumbung. Lantai sedikit basah, jadi perlu berhati-hati terutamanya ketika menuruni tangga.

Terus-terang, saya tidak begitu cakna dengan kewujudan sistem pengairan yang wujud sejak zaman Konstantinapol ini. Basilica Cisterns bukanlah satu-satunya kolam takungan air yang wujud, tetapi ia adalah yang terbesar antara beratus-ratus kolam yang lain.

Musykil juga.

Walaupun fungsinya "sekadar" menjadi tempat takungan air, kerja pembinaannya masih penuh seni dan budaya.

Ah!

Manusia sememangnya ciptaan Allah yang unik dan agung.

Sedikit maklumat tentang Basilica Cisterns;
  1. Berkeluasan 9,800 meter persegi.
  2. Boleh memuatkan air sehingga 80, 000 cubic metres.
  3. Bumbungnya disokong oleh 336 tiang marmar (marble) yang setiapnya setinggi 9 meter.
  4. Tiangnya bersusun 12 baris dan 28 lajur dan setiap satunya berjarak 5 meter antra satu sama lain.
  5. Ada antara tiang yang digunakan adalah tiang kitar semula dari bangunan lain.


Ada juga beberapa tiang yang menjadi tumpuan orang ramai. Satu daripadanya sentiasa basah seperti "menangis" yang dinamakan Hen's Eye. Dikatakan, tiang ini seolah-olah menangisi pekerja yang terkorban semasa pembinaan Basilica Cisterns ini.

Tidak jauh dari Hen's Eye, ada beberapa tiang pula yang mempunyai ukiran kepala Medusa di bahagian dasarnya. Ada yang berkedudukan terbalik, ada pula seperti terbaring. Medusa merupakan kepercayaan orang-orang Greek tentang seorang perempuan yang mempunyai ular sebagai rambut. Pandangannya bisa membunuh.



Kami segera beredar setelah habis meronda sekeliling "tangki" yang juga pernah digunakan sebagai lokasi penggambaran salah satu filem James Bond. Sebelum keluar, ada pentas khas dibina untuk pengunjung bergambar dengan pakaian zaman lampau. Saya tak sempat bertanyakan harga, tapi di keliling Sultanahmet memang banyak perkhidmatan gambar sebegini.

Basilica Cisterns adalah cebisan kemajuan pada zamannya dan semua ini hanya bisa terjadi jika ilmu dipraktikkan dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

Nota; Itinerari penuh percutian 16 Hari 15 Malam ke Turki-Saudi Arabia di sini.






Reactions

Post a Comment

0 Comments