Taksim Square terletak di kawasan yang dinamakan "new city", berbanding kawasan penginapan kami di Sultanahmet yang terletak di "old city".
Menggunakan pengangkutan awam (tram), kami tak mengambil masa yang lama untuk tiba di dataran yang besar ini. Saya ingat-ingat lupa, dataran ini pernah terjadinya satu perhimpunan besar yang melibatkan peristiwa politik.
Wallahualam.

Republic Monument
Matahari agak terik ketika kami tiba, namun udara masih sejuk dan nyaman. Kami bergerak ke tengah dataran yang ramai dengan pengunjung, ada sebuah tugu terpacak kukuh di situ; Republic Monument.Menara berbentuk segi empat tepat ini setinggi 36 kaki dan setiap sisinya ada ukiran manusia diletakkan. Ukiran-ukiran itu adalah Mustafa Kemal Atatürk, İsmet İnönü and Fevzi Çakmak, orang yang bertanggungjawab mewujudkan Republik Turki pada tahun 1923.



Dari kawasan dataran, kami kemudian beredar ke sebuah masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat Zohor. Oleh kerana masjid dalam proses pembinaan semula, kami solat di masjid sementara yang agak sempit. Yang saya perasan, jemaah dari Indonesia ramai sekali. Dan sah, memang jemaah Turki memakai stokin sewaktu solat.

Oh ya!
Tidak ada tandas "percuma" di sini. Bayaran sebanyak 1 Lira dikenakan per individu, tak kisahlah mahu berhajat kecil atau besar.
Kebab Turki
Sebenarnya semenjak balik dari kembara ke Eropah tahun 2017 dan ke UK tahun 2018, tekak saya sudah tak lalu untuk menelan kebab Turki. Rasanya yang terlebih masin benar-benar membantutkan selera, jauh berbeza berbanding kebab yang sudah dimelayukan. Tapi kalau sudah sampai di Turki dan tak makan kebab, tentulah tak lengkap.Jadi kami makan kebab di Taksim Square hari itu. Saya memilih daging ayam dan seperti telahan saya, rasanya masin. Mujur ada sos tomato yang dapat meneutralkan rasa. Tak mengapalah, asalkan perut ada isi. Bahaya kalau berjalan-jalan kelaparan.


Usai mencuci mata, kami pun berpatah balik ke Sultanahmet dengan tram.


Nota; Itinerari penuh percutian 16 Hari 15 Malam ke Turki-Saudi Arabia di sini.
0 Comments