Mengintai Masjid Kampung Kling, Melaka

Sewaktu menyertai bengkel street photography bulan September yang lepas, saya sempat detour beberapa minit dari kelompok kumpulan saya menuju ke Masjid Kampung Kling, Melaka. Jujur, pertama kali melihat menara masjid dari balik dinding tinggi, saya menyangka ini rumah ibadat agama lain. Masjid ini tidak mengikut "skema" masjid yang sudah diterima pakai, kubah bulat yang besar dan menara dengan bumbung tirus seperti payung kuncup; pagoda.

Perlahan-lahan, saya menyusuri kaki lima jalan dan menghampiri pintu utama.

Assalamualaikum wbt.

Dengan kaki kanan, saya melangkah masuk.

Ah!

Comel. Tak ubah seperti Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Hulu.


Harmoni

Masjid ini terletak di Jalan Tukang Emas yang lebih dikenali sebagai Jalan Harmoni.

Mengapa?

Kerana sepanjang jalan ini, berdiri kukuh berhampiran satu sama lain rumah ibadat untuk tiga agama utama di Malaysia; Masjid Kampung Kling, Kuil Sri Payyatha Viyanagar Moorthi dan juga Tokong Cheng Hoon Teng.

Memang harmoni!

Oleh kerana tergesa-gesa mengejar masa, saya tak sempat untuk menunaikan solat sunat di dalam masjid ini. Namun saya tak lepaskan peluang untuk melihat sekeliling, termasuk di ruangan solat dan sempat merakamkan beberapa keping gambar.



Fakta Masjid Kampung Kling

  1. Dibina pada tahun 1748, terletak di daerah Melaka Tengah, Melaka.
  2. Di masa masjid ini dibangunkan, kawasan sekitar masjid ini didiami oleh penduduk daripada kawasan selatan negeri India, dan penduduk-penduduk ini dipanggilkan “Keling” (daripada perkataan Kalinga).
  3. Masjid Kampung Keling dibina menggunakan tapak segi empat sama.
  4. Motif hiasan yang menghiasi pintu, tingkap dan juga hiasan pada tepi tebing bumbung juga dipengaruhi hiasan China.
  5. Segala ukiran yang masih ada di dalam masjid dibuat khas tukang ukir dari masyarakat Melayu.

Sumber rujukan; Wikipedia








Reactions

Post a Comment

0 Comments