Memandu Jauh Ke Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar

Seram.

Bukan main-main boi, memang seram.

Bukan. Bukan tentang muzium ini, tapi perjalanan menuju ke muzium ini. Kami bertolak ke Rembau dari Istana Lama Seri Menanti, menyelusuri laluan kampung yang sangat mendamaikan. Seronok betul melihat suasana kampung yang permai dengan rumah-rumah lama yang masih mengekalkan senibina Minang. Sangat jelas dengan bentuk bumbungnya. Sayang sekali rumah lama ini sudah buruk terbiar usang. Aduhai! Kalaulah ada modal, baik pulih dan jadikan tarikan pelancongan seperti Rumah Pak Ali yang terkenal di Gombak satu ketika dahulu.

Jadi, itukah yang menyeramkan?

Bukan.

Yang membuat hati dag dig dug ialah laluan ke Rembau itu. Selepas melalui kawasan kampung, kiri kanan menjadi sunyi dengan hutan yang agak tebal. Tidak ada kawasan penempatan, dan laluan juga semakin sempit. Waktu itu, hanya kami sebuah kereta saja yang berlegar di atas jalan.

Mujur tak lama!

Menghampiri pekan Rembau, kami kembali ke alam manusia. Gitu!

Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Di hadapan Muzium Rembau
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar


Muzium Rembau

Tak susah mencari muzium ini. Kami betul-betul memandu berpandukan Google Maps. Alhamdulillah, kami selamat sampai, disambut meriah dengan lembu-lembu yang berkeliaran di atas jalan berhampiran pintu masuk.

Kah kah kah!

Kampung People macam saya, tak kisahlah. Tapi kalau dah namanya kawasan pelancongan, kenalah prihatin juga. Kan?

Hanya ada sebuah kereta pelawat yang ada ketika kami sampai, itupun belum sempat kami matikan enjin kereta, mereka sudah beredar. Tinggallah kami enam beranak di depan sebuah istana (replika) Raja Melewar yang datang dari negeri Minangkabau untuk menjadi raja di Rembau ini.

Rumahnya besar. Memang idaman saya.

Barang pamerannya pula, biasa-biasa sahaja. Kita akan mengimbas semula pelajaran Sejarah sewaktu di sekolah dulu. Bezanya kali ini lebih lengkap penerangan dan salah silah salur keturunan pemerintahan yang unik di Negeri Sembilan ini.

Oh ya!

Masuk percuma, seperti muzium-muzium lain di Negeri Sembilan ini.

Mungkin disebabkan bilangan pengunjung yang tak ramai, maka jualan cendera mata pun tidak ada. Atau mungkin ada, cuma tak nampak siapa yang menguruskannya. 

Bukan setiap muzium, ada kuratornya?

Sedikit catatan yang saya perolehi dari laman web Majlis Daerah Rembau;
Replika Istana Raja Melewar telah dibuka kepada orang ramai semenjak September 2004. Replika yang bernilai 2.7 juta ini merupakan daya usaha Pejabat Daerah Rembau dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan dengan bantuan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Tujuan pembinaan Replika ini adalah sebagai objek pelancongan bersejarah agar dapat mengingatkan kembali reka bentuk asal Istana Raja Melewar yang pernah diduduki di tapak asal ini.


Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar


Batu Kasur dan Batu Tikam

Di bahagian luar muzium ini ada replika batu yang dibentuk rata seperti katil (kasur). Dipercayai batu ini ada kena mengena dengan cara pemilihan raja pada suatu ketika dahulu. Menurut catatan yang ada;
Batu Kasur ini terdapat di Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Batu Kasur adalah tempat menguji anak-anak raja Pagar Ruyong sebelum ditabalkan menjadi raja di Negeri Sembilan.

Antara ujiannya ialah mereka harus tidur selama tujuh hari tujuh malam di atas batu ini dengan hanya dilapik daun jelatang iaitu sejenis daun yang gatal. Raja Melewar telah lulus dalam ujian tersebut, maka dengan itu, baginda kemudiannya ditabalkan menjadi Raja di Negeri Sembilan.


Manakala, Batu Tikam menandakan termeterainya perdamaian antara dua adik-beradik yang berselisih.
Batu Bertikam terdapat di Kacamantan (kampung) Lima Kaum, Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia.

Ia dikaitkan dengan bekas tikaman Dato' Perpatih Nan Sebatang sebagai tanda sumpah setia perdamaian sebagai mengakhiri perselisihan faham dalam hal pemakaian Sistem Adat Koto Piliang yang digunakan oleh kakaknya (abang) Dato' Katumanggungan.

Menurut ceritanya, Dato' Katumanggungan juga telah menikam batu dengan kerisnya dan keris itu telah ditempatkan di Sungai Tarab VIII Batu (Bungo Sotangkai, Bulokan Sungai Kayu Balukan Sungai Kayu Batarok) yang dijadikan sebagai pusat pemerintahan Koto Piliang dengan mengamalkan Sistem Adat Dato' Bentara Putih.

Semenjak itu, tidak boleh ada sesiapa mengamalkan sistem adat selain daripada Sistem Ada Caniago tersebut dan ia telah dipakai sama oleh kota-kota yang lain di sekitarnya.

Wow! Siapa sangka kita pun ada versi Excalibur sendiri?

Muzium Rembau Replika Istana Raja Melewar
Kiri; Batu Kasur. Kanan; Batu Bertikam


Jom, kita melawat muzium tempatan. Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mengenal sejarah negeri ini kalau bukan kita pewaris bangsa?






Reactions

Post a Comment

0 Comments