Entah macam mana, saya teringat perkongsian netizen di Facebook tentang satu
tempat di Jerantut yang menjadi tempat percutian. Melalui aplikasi
Booking.com, saya terjumpa Felda Residence Tekam, Jerantut.
Sekali pandang, macam menarik. Harga yang ditawarkan pun, agak berpatutan.
Saya pun buat carian di internet, dan terjumpa beberapa review daripada
pengunjung yang pernah ke sana.
Baik. Hampir semuanya ulasan baik.
Maka saya menempah satu bilik keluarga (Familiy Suite - 3 orang) dan
Standard Room (2 orang). Harga masing-masing untuk satu malam ialah
RM150 dan RM120. Tapi akhirnya kami tukar kepada dua buah bilik
Family Suite memandangkan kedudukan kedua-dua jenis bilik ini terpisah
agak jauh (dua bangunan berbeza), tak sesuai untuk kami 6 beranak.
Ada juga pilihan chalet (dua katil single dan satu katil
double), tapi sudah penuh ditempah pada hari tersebut. Chalet ini lebih
sesuai kalau datang dalam kumpulan yang besar. Kedudukan chalet ini agak jauh
dari bangunan utama (dan kolam renang).
Lewat
Kami sampai sedikit lewat, namun bilik juga masih siap sewaktu kami tiba.
Hampir jam 4.30 petang barulah bilik kami siap. Agak terkilan juga, tapi malas
mahu memanjangkan cerita kami terus saja masuk ke bilik untuk berehat. Dalam
ruangan komen di booking.com, ada saya maklumkan hal kelewatan ini.
Family Suite
Ini bilik kami. Agak selesa. Hanya ada pendingin hawa, tak ada kipas. Untuk
menyangkut baju dalam bilik air pun, tidak ada. Yang lain-lain sama seperti
kebanyakan hotel di Malaysia, bilik kami ada peti sejuk mini, televisyen,
cerek elektrik dan almari baju.
Oh ya! Saya tak pasti dengan internet. Kami hanya menggunakan data talian
telefon masing-masing sepanjang berada di sana.
Kawasan Sekitar Felda Residence Tekam
Saya mesti katakan, menginap di Felda Residence Tekam ini sangat berbaloi
untuk ringgit yang dibelanja. Bagi mereka yang lebih mahukan ketenangan, ini
tempatnya. Hotel ini terletak dalam kawasan Felda yang sudah tentu dipenuhi
warna hijau alam yang menyegarkan. Kawasan penginapan kami tidak lah terlalu
tersorok, tapi tetap saja nyaman dengan pokok-pokok.
Residence ini terbahagi kepada beberapa buah bangunan. Bangunan utama
terletaknya lobi dan kaunter urusan. Bilik Standard Room terletak di bangunan
ini juga, manakala bilik Family Suite terletak di bangunan bersebelahan. Untuk
ke chalet, perlu memandu ke bawah bukit.
Oleh kerana kafe tutup (mematuhi perintah SOP menghindari Covid-19), kami
perlu berjalan untuk ke kafe yang lain untuk sarapan pagi (termasuk dalam
pakej harga bilik) di bawah bukit. Kafe ini bertentangan dengan kawasan
chalet.
Bagus juga.
Dapat kami berjalan-jalan sekejap di kawasan sekitar.
Segar betul!
Seronok kalau dapat tinggal di kawasan begini.
Kolam Renang
Biasalah, kalau bercuti dengan kanak-kanak riang yang dicari mestilah kolam
renang. Felda Residence Tekam mempunyai kolam renang yang sederhana besar. Ada
bahagian kanak-kanak, ada bahagian dewasa. Puas hati Hafiz dapat mandi kolam
dua hari berturut-turut lepas terkurung PKP dekat 4 bulan.
Ada waktu-waktu tertentu saja kolam renang ini dibuka.
Dan kolam renang ini dibuka kepada orang awam dengan bayaran sebanyak RM7
(dewasa) dan RM3 (kanak-kanak). Untuk penginap Felda Residence Tekam, tidak
ada bayaran yang dikenakan. Hanya perlu catatkan nombor bilik dalam buku
catatan di kaunter.
Aktiviti Outdoor
Oleh kerana percutian ini adalah percutia redah, saya tak sempat membuat
persediaan rancangan. Jadinya kami memang semata-mata bercuti rehat sahaja. Di
dalam lobi, ada dipamerkan maklumat berkaitan Gua Kota Gelanggi yang turut
menjadi tarikan pengunjung di Jerantut. Begitu juga Gunung Senyum yang
berhampiran. Ada aktiviti caving sepertimana di Gua Gelanggi.
Yang ini, saya tak ada pengalaman sendiri. Maka, saya ada alasan untuk datang
lagi ke Jerantut. Pihak Felda Residence Tekam juga katanya ada menawarkan
perkhidmatan guide untuk ke gua ini. Mudah kalau begitu.
Video
Ini video pendek sekitar Felda Residence Tekam yang sempat saya rakamkan.
Berbaloi?
Saya rasa begitulah. Jaraknya dengan Gombak pun, tak begitu jauh. Tarikan pelancongan yang ada di sekeliling pun, menarik juga. Tak semestinya di Temerloh atau Jerantut saja, di antara Gombak dan Jerantut sendiri pun banyak kawasan persinggahan. Genting Highlands, Bukit Tinggi, Janda Baik, Hutan Lipur Lentang, Kuala Gandah dan banyak lagi.
Jom.
Kita ke Jerantut.
1 Comments
nice info....
ReplyDelete