Travelog Berburu Buku Jakarta - Senen dan Kwitang

Sebaik melepaskan penat dan mengisi perut, kami bergerak ke lokasi berburu buku yang pertama.

Ayo!

Pasar Senen Jaya

Jalan Senen Raya, RW.03, Senen, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10410, Indonesia.

Pasar Senen Jaya
Pasar Senen Jaya


Kami diturunkan (Uber) di kawasan yang agak sesak dan jauh dari tempat tujuan. Jadi, terpaksa berjalan kaki sedikit menuju ke tempat yang mahu dijelajah. Mujur ada +Mohd Fauzi yang ibarat GPS bergerak.  Beliau sudah terlebih dahulu pernah sampai ke sini, maka itu satu kelebihan buat kami.

Pasar Senen Jaya ini besar. Melalui hanya bahagian lantai bawah untuk ke seberang bangunan, kiri kanan kami penuh dengan kedai-kedai menjual jam tangan. Meriah. Itu hanya satu laluan, dan satu tingkat. Bangunan ini agak tinggi, mungkin tujuh tingkat. Sepatutnya dinamakan gedung, bukan pasar.

Bayam (aka Fauzi) cekap memandu kami. Lorong-lorong laluan kami penuh dengan manusia-manusia berdagang. Iya, kotor. Berbau juga. Dan itu bukanlah sesuatu yang baru, kerana kotor dan bau itu juga wujud di tanah airku nan terchenta. Biasalah, bila di negara orang kadang-kadang hanya melihat yang jelek, tanpa mahu membanding dengan tempat sendiri.

Dan kotor dan bau itu, boleh dihilangkan.

Hanya dan hanya jika, ada daya dan ada mahu.

Kami terus menerus berjalan dan sampai ke bahagian jualan pakaian. Saya fikir, seperti baju-baju bundle. Jelas kualitinya tidak begitu baik dan rata-rata agak kusam. Saya hanya memandang, dan terlintas dalam fikiran bagaimana tahap keselamatan di sini?

Iyalah. Dalam timbunan pakaian di sana-sini, ada pula yang mengepul-ngepul asap rokok!

Semoga semuanya selamat, lah!

Jualan jam di Pasar Senen
Jualan pelbagai
Lorong-lorong Pasar Senen
Menuju ke toko buku!

Buku Oh Buku

Akhirnya kami tiba ke aras atas, aras jualan buku.

Oh! Buntanglah mata. Mengangalah mulut. Banyak sekali, buku-bukunya. Banyak! Bertimbun-timbun.

Kami tidak bergerak jauh di aras ini. Di kedai pertama dan kedua, kami sudah tersangkut. Banyak sekali, sudah menjadi rambang mata. Mata saya melingas, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Atas, bawah.

Perasaan ketika itu, ibarat budak-budak terlebih gula!

Bukanlah saya mahu mengatakan yang saya ini "hantu" buku. Mungkin ada sedikit sebanyak, tapi bukan itu yang saya mahu war-warkan. Entah bagaimana mahu saya huraikan. Melihat pelbagai buku yang dijual, dengan harga yang tidak masuk akal, saya rasa, saya sudah disihir. Di tanah air, ya memang ada. Cuma "kemewahannya" tidak seperti apa yang ada di depan mata ketika ini.


Empat Jejaka Berburu Buku
Empat Jejaka Berburu Buku


Buku-buku di Pasar Senen
Membukit

Buku bekas
Buku bekas


Terus. Tanpa berbasa-basi, saya menelek dan memilih. Bukunya pelbagai. Yang langka, yang bajakan (cetak rompak) dan yang bekas (second hand). Sembilan buah buku, sudah bertukar tangan dengan harga IDR 285,000. Tidak sampai RM100. Untuk sembilan buah buku.

Sembilan.

Ada persoalan.

Tidak ada rasa bersalahkah membeli buku bajakan?

Nanti lah. Entri yang lain, saya ceritakan.

Sekarang, mahu ke Kwitang.



Kwitang

Saya maklum asal sebenar penjual-penjual buku di Pasar Senen ialah dari Kwitang. Kwitang tidaklah jauh dari Pasar Senen, kurang dari 500 meter barangkali. Tidak tahu mengapa, mungkin Kwitang mahu dibangunkan semula sebab itu mereka diarahkan berpindah. Kami tiba ketika hari sudah semakin gelap, dan kedai pertama yang kami singgah merupakan yang terakhir yang masih beroperasi hari itu.

Tidak ada apa yang mahu dibeli. Lagipun, kebanyakkan buku yang dijual ada juga di Pasar Senen.

Baju bundle
Baju bundle
Seberang Pasar Senen
Pasar Senen

Aksi entah apa-apa
Aksi entah apa-apa

Usai melawat Kwitang, maka sudah tercatat tanda "selesai" dua daripada enam lokasi berburu buku kami.

Seterusnya, makan malam.

Perut sudah lapar, dan Bayam mencadangkan ke Jalan Kebun Sirih untuk bersantap Nasi Goreng Kambing.

Mantap.

Di Plaza Atrium (juga berdekatan Pasar Senen), kami setia menunggu Sang Uber.

Selfie di Plaza Atrium
Jom selfie!

Jom!



<< Sebelum
Travelog Berburu Buku Jakarta - Clay Hotel
Seterusnya >>
Travelog Berburu Buku Jakarta - Nasi Goring Daging Kambing












Reactions

Post a Comment

0 Comments