Hiking Ke Bukit Saga, Ampang

March 31, 2017

Hiking Bukit Saga, Ampang

Saya hampir tidak pernah mendengar nama bukit ini. Atau mungkin sebenarnya pernah, tetapi tidak terdaftar dalam ingatan. Semenjak saya mula melibatkan diri dengan aktiviti hiking, nama Bukit Saga sering berkumandang. Letaknya berhampiran dengan Lembah Kelang (Ampang), dan menjadi tumpuan ramai warga kota kala cuti hujung minggu.

Ahad 19 Mac 2017, buat pertama kali saya menjejak kaki ke sini. Turut serta anak-anak saya yang bertiga dan kakak Ijah dan anaknya. Seperti sebelum ini, kami "menumpang kasih" aktiviti syarikat Pokme kerana mereka lebih berpengalaman dengan aktiviti di hutan. Ini penting, di hutan lain adatnya. Tak boleh sembarangan, sebab itu perlu ada orang yang lebih berpengalaman.

Ini rentetan peristiwa kami pada hari tersebut.

7.30 am | Sarapan Pagi

Berkumpul untuk sarapan pagi di Jalan Melur, berhampiran Taman Saga. Isi perut itu wajib ya kawan, untuk aktiviti lasak sebegini. Biar ada tenaga. Seeloknya biar ada karbohidrat dan protein. Sempat juga kami dapatkan bekalan air dan gula-gula di 7-11 berhampiran.

8.40 am | Flat Taman Saga

Berkumpul di tapak permulaan. Tanda kawasannya mudah, ada sebuah blok apartment warna putih yang sangat jelas dilihat dari jauh. Saya kongsikan lokasinya di bawah.



Flat Taman Saga
Flat Taman Saga
Trail B Bukit Saga
Menuju ke tapak permulaan Trail B

Saya dimaklumkan ada beberapa pilihan trek untuk mendaki bukit ini. Hari itu kami memilih Trail B, katanya lebih "mencabar" berbanding Trail A.

Itu saya tak tahu.

9.00 am | Trail B

Selepas melakukan senaman meregangkan badan, kami beransur memulakan perjalanan. Tidak sampai 10 minit, trek sudah mula mendaki. Laluan hanya muat untuk satu orang dalam satu-satu masa dan jika ada pertembungan, salah satu pihak perlu berhenti dahulu. Kebanyakan laluan betul-betul di tepi lereng bukit dan gaung di sebelah agak curam dan dalam. Mujur ada tali yang disediakan hampir sepanjang sisi pendakian.

Mendaki Bukit Saga
Mendaki tanpa henti untuk 30-40 minit pertama

Hiking Bukit Saga
Rehat dulu

Entah kenapa, kali ini saya benar-benar penat. Tidak sampai setengah jam saya sudah terasa letih, peluh mencurah-curah mengalir. Saya semakin jauh ditinggalkan anak-anak dan kali ini, saya di belakang sekali!

Aduh! Apa silapnya?

Penangan Saga tak boleh dibuat main, oi!

9.50 am | Bukit Saga Hilltop

Kami tiba di Bukit Saga Hilltop lebih kurang selepas 50 minit. Saya antara yang paling belakang. Ada 2-3 orang dari kumpulan kami sudah berpatah balik, kerana letih dan tidak mampu meneruskan perjalanan. Ya, Bukit Saga rasanya tak sesuai untuk "cuba-cuba". Perlu ada persediaan fizikal dan mental.

Di check-point ini kawasannya agak luas, dan meriah dengan pendaki hujung minggu dan mungkin juga warga Taman Saga dan sekitar. Kemudahan rehat dan senaman disediakan di sini. Kami berehat agak lama menunggu ahli kumpulan yang lain, dan saya berkesempatan mengumpul tenaga.

Berehat di Hilltop
Sampai awal
My Kids + Cousin
Power!
Sekitar Hilltop Bukit Saga, Ampang
Sekitar Hilltop Bukit Saga, Ampang
My Nieces
My Nieces
My Precious
My Precious


10.30 am | Menuju Ke Air Terjun

Setelah berehat (yang agak lama), kami teruskan perjalanan ke air terjun. Ahli kumpulan semakin berkurangan tetapi anak-anak saya semuanya masih bersemangat. Setakat ini, masing-masing masih kekal bertenaga.

Dari Hilltop ke air terjun, lebih banyak laluan menurun yang boleh dikatakan hampir semuanya agak curam. Perlu ada kekuatan kaki (dan lutut) untuk menampung badan. Sesetengah laluan yang berlecak juga memberi cabaran tambahan.

Siap sedia ke air terjun
Siap sedia ke air terjun
Pemandangan menarik sepanjang laluan
Pemandangan menarik sepanjang laluan
Tunggu giliran untuk turun
Tunggu giliran untuk turun
Laluan yang agak curam dan licin
Laluan yang agak curam dan licin


Waktu ini saya sudah kembali mendapat rentak. Mungkin sudah mendapat rehat yang cukup sebentar tadi. Difikir-fikir, mungkin saya letih kerana sarapan pagi yang belum dihadam penuh ketika saya memulakan trekking. Agaknyalah.

Pemandangan dalam hutan sentiasa memukau. Saya sangat suka dengan pemandangan cahaya matahari yang tersebar ke lantai hutan, menembusi halangan daun-daun yang menjulai tinggi. Warna hijau yang berbelang-belang antara muda dan tua, sangat cantik. Memang mengkhayalkan. Saya tidak pasti nama tumbuhan ini, sejenis pokok palma barangkali. Sepanjang laluan di Bukit Saga akan banyak kelihatan pokok seperti daun nipah ini. Ada yang kata itu pokok rumbia. Wallahualam.

Daun Rumbia
Daun Rumbia


12.00 pm | Air Terjun Bukit Saga

Kami sampai ke kawasan air terjun yang sudah meriah dengan kumpulan-kumpulan pendaki yang lain. Ada yang sudah pun kuyup berendam, ada yang mencari tapak, ada yang sudah siap memasak maggie dan air teh. Kami ke sudut yang agak jauh dari air terjun dan berehat melepaskan lelah.

Anak-anak?

Sekejap saja tahu-tahu sudah ada di bawah air terjun! Ehehe!

Tak apa lah. Memang saya suka anak-anak ikut aktiviti sebegini. Air terjun/sungai selalunya menjadi "upah". Saya mahu selalu ada aktiviti anak-beranak sebegini. Selain saya mahu mencipta memori bersama anak-anak semasa mereka masih kecil, saya juga mahu hubungan mereka adik-beradik tetap utuh. Kalau diikutkan, akan ada satu fasa anak-anak lebih rapat dengan kawan di sekolah berbanding keluarga sendiri. Itu yang saya bimbangkan. Saya mahu mereka kekal bersahabat sesama adik-beradik.

Ambil giliran turun menggunakan tali
Ambil giliran turun menggunakan tali
Air Terjun Bukit Saga
Air Terjun Bukit Saga


Dan melihat mereka tergedik-gedik menahan kesejukan air terjun Bukit Saga, memang mengundang senyum. Masalahnya, sudah kecut lisut begitu selagi tak disuruh berhenti takkan mahu lah mereka berhenti. Haih! Kalau sudah jumpa air sungai/terjun, beginilah jadinya.

Puas berehat, puas berendam. Masa untuk balik.

1.00 pm | Pulang ke pangkal jalan

Kami mengambil keputusan untuk menggunakan laluan berbeza untuk balik. Katanya, laluan ini lebih mudah berbanding dengan laluan datang tadi.

Yup! Memang mudah. Hanya 20 minit yang pertama perlu mendaki agak tinggi, kemudian jalan mula mendatar. Cuma perlu berhati-hati kerana sangat banyak simpang jalan yang ada. Kami betul-betul ikut tanda "dua garis merah" pada pokok-pokok sepanjang laluan. Kadang-kadang ada juga papan tanda yang digantung pada pokok. Berpandukan tanda-tanda ini, perjalanan agak mudah. Kalau tidak, kebarangkalian untuk sesat agak tinggi kerana terlalu banyak simpang denai yang ada.

Dari air terjun, terus mendaki tinggi
Dari air terjun, terus mendaki tinggi
Laluan balik banyak simpang siur
Laluan balik banyak simpang siur. Ikut tanda cat merah di pokok sebagai panduan.
Silap laluan, boleh sampai ke Cheras
Berhenti di simpang menunggu ahli kumpulan. Silap laluan, boleh sampai ke Cheras.
R&R Bukit Saga
R&R Bukit Saga


3.00 pm | Mendarat

Alhamdulillah. Walaupun sedikit risau melihatkan awan yang sangat gelap dan berat sekeliling Bukit Saga, kami sampai ke kereta dalam keadaan yang masih kering. Hanya selepas 10 minit memandu, hujan turun dengan sangat lebat berserta kilat. Memang sangat lega dan bersyukur kerana bukan lagi berada di atas bukit.

Seram oi!

Group Photo
Gambar Kumpulan


Bukit Saga secara keseluruhannya tidak begitu senang, dan tidak juga begitu susah. Stamina perlu ada. Persediaan mental dan fizikal juga wajib. Jangan terikut-ikut, teruja tanpa hala.

Yang penting juga, jagalah alam. Sebagaimana alam berkhidmat kepada manusia tanpa jemu.




Jom naik Bukit Saga!


You Might Also Like

0 comments

Press

press