Muzium Hagia Sophia Pertembungan Dua Agama Di Istanbul

Muzium Hagia Sophia sudah tentu menduduki carta teratas dalam itinerari saya. Kalau ke Istanbul tapi tidak ke Hagia Sophia (ataupun Aya Sofia) ini, sudah tentu pengembaraan menjadi tidak lengkap. Alhamdulillah, pada hari keempat kami berjaya masuk ke bangunan bersejarah ini.

Seawal jam 9, kami sudah bersemangat beratur dalam barisan yang panjang untuk mendapatkan tiket. Harga per enti ialah 60 Lira. Sekiranya mahu cepat dan tidak mahu berbaris, ada pilihan untuk "fast lane" dengan tambahan 20 Lira. Bagi saya tak berbaloi kerana barisan biasa ini bergerak dengan cepat tidak perlu menunggu lama.

Melepasi kaunter keselamatan (pemeriksaan bag dan badan), ada pilihan (dengan bayaran) untuk menggunakan perkhidmatan audio yang menerangkan setiap sudut dalam muzium. Saya nasihatkan, ambil lah. Rugi sebab tidak ada sebarang papan penerangan di dalam muzium, jadi saya agak tercangak-cangak memerhati tanpa tujuan.

Sebaik melangkah masuk, saya sengaja tidak mahu melihat terus ke bahagian dewan utama. Saya mahu menyimpan rasa "surprise"dengan menikmati dahulu ruang kaki lima muzium. Di sebelah kiri, ada tayangan kecil tentang Hagia Sophia dan juga tangga menuju ke tingkat atas. Manakala di sebelah kanan ialah jalan keluar muzium dan juga kedai cenderamata. Ada juga dijual buku yang menerangkan tentang bangunan ini, namun harganya membuatkan saya meletakkan kembali buku itu ke atas rak.

Kamera saya tak henti-henti merakam setiap sudut di kaki lima, terutamanya bahagian bumbung yang bercorak. Jaraknya sangat tinggi, memang letih kepala mendongak.

Perlahan-lahan, saya melangkah masuk ke dalam ruang utama muzium melalui pintu utama.

Hagia Sophia

Allahu.

Subhanallah.

Besar dan gah yang tak tahu bagaimana mahu saya huraikan.



Saya ambil langkah menuju ke tengah-tengah dewan dan perlahan-lahan, saya memutarkan badan 360 darjah, melihat keseluruhan bahagian dalam bangunan ini dengan perasaan yang penuh kekaguman.

Memang tak terjangkau dek fikiran, bagaimana manusia pada zaman itu mempunyai kebijaksanaan sedemikian rupa untuk menghasilkan bangunan epik sebegini. Dari proses melontarkan idea, merekabentuk, membina dan seterusnya ramai-ramai berhimpun di dalamnya untuk beribadah. Saya terbayang-bayang berada di zaman kemuncak Hagia Sophia, bersama makmum yang lain menunaikan solat fardu, kemudian bersembang hal-hal kecil di anjung masjid.

Haih!

Saya kemudian melangkah ke bahagian utama, yakni kawasan mimbar dan ruangan untuk muazzin.

Saya sudah menyaksikan di Masjid Biru, Tok Bilal tidak ada pun di bahagian masjid. Sebaliknya ada satu pelantar khas dua tingkat (kira-kira 5 barisan ke belakang dari ruangan Imam) dan Tok Bilal akan menjalankan tugasnya di situ. Bahagian atas pelantar ini tidak berbumbung, sama seperti apa yang ada di dalam Hagia Sophia ini.

Di ruangan Imam dan mimbar, sekali lagi saya terpempan melihat apa yang ada di depan mata.

Mimbar untuk berkhutbah, menjulang tirus tinggi hampir separuh ketinggian dinding. Ada dua tulisan khat kalimah Allah dan Muhammad di kiri kanan mimbar, dicatat pada pelantar hijau berbentuk bulat. Mendongak sedikit lagi ke atas, jelas pula kelihatan lukisan-lukisan tinggalan asal Hagia Sophia semasa berfungsi sebagai gereja sebelum tahun 1453 Masehi. Ada tingkap-tingkap yang berwarna-warni menghiasi dinding, dan apabila cahaya matahari pagi menyinar, biasannya ke dalam muzium ini menjadikan pemandangan sangat mengkhayalkan.



Saya diam berdiri, menikmati pemandangan agung ini.

Dari sebuah gereja, kemudian menjadi masjid dan selanjutnya menjadi muzium, Hagia Sophia terus mencatat sejarah yang terbilang.

Kalau direkodkan sebagai satu keajaiban dunia pun, saya bersetuju.

Tingkat Atas

Puas berkeliling di bahagian bawah, saya menuju ke tingkat atas. Tangganya agak unik. Tidak bertingkat-tingkat seperti kebiasaan, sebaliknya tapak yang rata (dan mendaki), seperti laluan untuk OKU pada hari ini.



Ah!

Saya mula berkhayal.

Saya terbayangkan orang-orang kenamaan zaman Ottoman lengkap berpakaian yang menunjukkan kegagahan tetapi zuhud pada Ilahi, melangkah mendada beriramakan berani.

Ruangnya tidaklah terlalu besar, muat untuk dua orang dewasa jalan beriringan pada satu-satu masa. Setiap kali selekoh, ada tingkap kecil untuk ruang pengudaraan, jadi tidaklah terasa pengap di situ.

Sebaik tiba di atas, yang segera  menangkap perhatian mata saya ialah bumbungnya. Dengan corak yang bersifat alami dan berwarna keemasan, sudah tentu ia sangat menyerlah. Maha luas.

Sambil mendongak, saya melangkah perlahan menuju ke bahagian kanan tingkat atas ini. Ada satu bahagian, dipagar dengan pintu berjubin yang dulunya menjadi bilik khas untuk raja, serta kegunaan ahli gereja untuk bermesyuarat.

Di dalamnya, ada beberapa bahagian dinding masih lagi mengekalkan lukisan-lukisan zaman Kristian berkuasa di Hagia Sophia.



Turun

Puas melihat dan menikmati pemandangan di dalam muzium, saya pun beredar turun. Kalau tadi tangga menuju ke tingkat atas terletak di bahagian belakang, tangga turun pula terletak di bahagian depan. Ada laluan ke kawasan perkuburan melalui tangga ini, mungkin makam untuk golongan pembesar zaman dahulu. Jika mahu menziarah kubur ini, perlu melalui pintu di bahagian luar Hagia Sophia. Masuk percuma, namun tak dibenarkan untuk mengambil gambar.

Sebaik saja keluar dari muzium ini, ada sebuah binaan kecil yang agak unik. Mulanya saya tak tahu apa kegunaan binaan itu, setelah di"wikipedia"kan, rupanya itu merupakan tempat mengambil wuduk.



Melawat Muzium Hagia Sophia ini, seperti sudah lengkap lawatan kami ke Istanbul.

Hanya Istanbul.

Bumi Turki masih luas untuk diteroka.

Semoga ada rezeki lagi ke tanah jajahan Empayar Ottomaniah ini.

Video Hagia Sophia

Ada video pendek sekitar Hagia Sophia buat kenangan.




Nota; Itinerari penuh percutian 16 Hari 15 Malam ke Turki-Saudi Arabia di sini.






Reactions

Post a Comment

0 Comments