Ehehehe!
Pantai ini, daripada namanya agak menggamit rasa. Rasa ingin tahu. Kenapa namanya begitu? Lagi-lagi tempat ini di Langkawi, mungkin ada sejarahnya sebagaimana tempat-tempat lain di serata pulau lagenda ini. Itu juga menjadi alasan untuk aku datang ke Pantai Pasir Hitam. Mahu melihat, benarkah pasirnya hitam? Jika betul, kenapa?
Kami ke pantai ini selepas berkunjung ke Pantai Tanjung Rhu. Kebetulan, pantai Pasir Hitam ini terletak dalam laluan perjalanan pulang. Waktu kami sampai, tidak banyak pengunjung yang ada. Ruang parkir memang kosong. Untuk ke pantai, perlu menuruni tangga kerana tempat parkir ini di kawasan tinggi. Sebelum turun, ada bazar yang menjual pelbagai barangan sama seperti di Pantai Tanjung Rhu. Jajan, barangan kraf, pakaian.
Asal-usul nama Pantai Pasir Hitam
Pantai Pasir Hitam, Langkawi |
Terdapat satu plank di bahagian tengah tangga yang menceritakan asal-usul nama pantai ini. Terdapat pelbagai versi, dan yang aku ingat hanya dua.
Pertama, pantai ini menjadi hitam kesan daripada pembakaran kayu api oleh orang kampung untuk mengelakkan serangan dari kerajaan laut. Ada kisah perjanjian yang dimungkiri antara seorang nelayan dan juga puteri duyung.
Kedua, semasa serangan kerajaan Siam ke atas Langkawi orang-orang tempatan telah mengambil tindakan yang sama membakar kayu di sepanjang pantai ini untuk mengelakkan musuh mendarat.
Lebih kurang begitulah.
Jangan percaya keseluruhannya, aku sudah lupa. Rasanya ada gambar plank itu dalam simpanan, tetapi gagal dijumpai.
Tarikan
Pantai ini sekiranya dijaga dengan baik mempunyai potensi yang lebih untuk menarik kehadiran pelancong. Dengan kisah-kisah yang ada, ianya boleh dimanipulasikan untuk dijadikan tarikan pelancong. Tetapi, agak mendukacitakan keadaan pantai ini tidak lah terurus dan bersih seperti Pantai Chenang, Pantai Pasir Tengkorak mahupun Pantai Tanjung Rhu.Bersebelahan dengan pantai ini terdapat jeti kecil untuk kapal-kapal nelayan berlabuh. Pemandangan sebegini memang menarik, terutamanya pecinta fotografi. Sekali lagi, sekiranya jabatan-jabatan tertentu menjadikan tempat ini sebagai tarikan utama pelancong ke Langkawi, nescaya ekonomi tempatan melonjak naik. Ikut sahaja contoh yang sudah ada di Pulau Pangkor, Perak. Ada kilang-kilang makanan laut (satay ikan, keropok ikan dan lain-lain) yang dibina di kawasan perkampungan dan terus-menerus menjadi tumpuan orang ramai dari dahulu sehinggalah sekarang.
Jangan susah-susah kepala bagaimana mahu menjalankan industri makanan ringan ini, kerana di Pangkor pun kebanyakkannya diimport dari Thailand. Langkawi dan Thailand, mana lah jauhnya?
:)
Jeti nelayan, Pantai Pasir Hitam |
Bot nelayan |
Moga aku ada rasa mahu kembali ke sini lagi, suatu hari nanti.
*********************
Klik di sini untuk lokasi-lokasi menarik di Langkawi.
0 Comments