Berjalan Kaki Merentasi Galata Bridge Istanbul Menuju Spice Market

Pulang dari membeli Baklava di Karaköy Güllüoğlu, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki merentasi Galata Bridge menuju ke Spice Market di seberang. Jaraknya tidak begitu jauh dan cuaca juga tidak begitu panas.

Memang kalau dibaca pada kebanyakkan blog, pelancong disarankan untuk memperuntukkan masa melalui jambatan yang menghubungkan tanah bergelar Golden Horn. Saya pada waktu itu sudah keletihan, kalau tidak mahu juga menunggu sehingga matahari terbenam kerana katanya waktu itulah pemandangn bumi Istanbul akan lebih mempersonakan.



Dari jambatan ini memang pemandangannya jelas, laluan perairan penuh dengan bot pelbagai saiz menjadikan suasana sangat sibuk. Ada feri penumpang yang pelbagai saiz dan warna memang menjadi tarikan pelancong. Dengan bayaran yang setimpal feri akan membawa penumpang merentasi Selat Bosporus, selat yang memisahkan tanah Eropah dan Asia.

Hagia Sophia, Masjid Biru, Topkapi Palace, Galata Tower yang melatari pemandangan dari Galata Bridge, melayangkan saya ke satu masa yang pernah menyaksikan kegemilangan bumi Turki. Meremang bulu roma membayangkan bagaimana manusia-manusia yang penuh dengan ilmu, kepakaran, kepandaian dan kebijaksanaan membangunkan Istanbul menjadi sebuah negeri yang gemilang.

Maka tak hairanlah, jambatan ini menjadi ilham kepada penyair, penyajak, pelukis dan penulis novel untuk menghasilkan karya seni mereka.

Melalui lensa kamera saya juga, jelas kelihatan bangunan Çamlıca Mosque, masjid terbesar di Turki Asia. Siap dibina dan dirasmikan pada 4 Mei 2019, masjid ini boleh memuatkan 63,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Sayang, kami tak berkesempatan ke sana disebabkan kekangan masa.



Balik Ekmek

Saya dan Riza terus menyelusuri jambatan Galata yang pernah mencatat peristiwa besar satu ketika dahulu. Tiupan angin laut terasa menyegarkan badan, dan burung camar turut bersidai di atas wayar menyanyikan lagu petang. Sesekali saya mengintai ke bawah, melihat bot dan feri berlumba di atas air laut biru yang tenang. Entah bagaimana, semuanya nampak tersusun dan ada persefahaman antara pemancing yang ramai di sepanjang jambatan. Joran dan tali kail mereka dihalakan di tempat yang tidak menghalang laluan bot dan feri.

Saya mengintai ke dalam baldi, entah ikan apa yang ditangkap mereka saya pun tak tahu. Katanya, ikan-ikan yang ditangkap ini akan dijual di restoran yang terletak di tingkat bawah jambatan untuk dijadikan sajian Turki yang terkenal; Balik Ekmek. Ianya hidangan seperti burger, isinya digantikan dengan daging ikan ("balik") yang dipanggang dan diapit roti ("ekmek") khas Turki.



Jeti Iskele Yolu

Kami tiba di jeti feri Iskele Yolu selepas berjalan kurang 30 minit dari hujung jambatan satu lagi. Di sini juga ada laluan untuk masuk ke restoran Balik Emek yang banyak di bawah jambatan. Kami pula mahu meneruskan perjalanan ke Spice Bazaar, menggunakan laluan bawah tanah. Pilihan kami tepat kerana sepanjang laluan ini ada kedai-kedai yang menjual cenderamata seperti fridge magnet, keychain, tshirt dan lain-lain dengan harga yang agak murah.

Sekiranya mahu menggunakan tram, pastikan turun di stesen Eminonu.



Keluar saja dari laluan bawah tanah, saya sudah "kehabisan bateri". Penat. Memang trip kali ini memerlukan saya berjalan dengan banyak dan saya pula sudah sangat jarang menjaga kecerdasan diri. Silap besar, sepatutnya semua ini sudah boleh dijangka.

Apa boleh buat.

Usia pun sudah semakin renta.


Nota; Itinerari penuh percutian 16 Hari 15 Malam ke Turki-Saudi Arabia di sini.






Reactions

Post a Comment

0 Comments